Isnin, 6 Oktober 2014 | 6:55pm

Kemapanan fiskal penting untuk peningkatan penarafan - Moody's


Moody's Investors Service. - Foto Reuters

KUALA LUMPUR: Jangkaan kemapanan fiskal dan pembaharuan serta kestabilan ekonomi makro adalah faktor penting untuk sebarang peningkatan prospek penarafan Malaysia.

Moody's Investors Service (Moody's) berkata, faktor terbabit juga adalah pemacu penting di sebalik keputusannya pada November 2013 untuk menukar prospek penarafan Malaysia kepada positif daripada stabil.

Ia menyifatkan tindakan Malaysia mengurangkan subsidi bahan api untuk kali kedua dalam tempoh lebih setahun Khamis lalu sebagai positif untuk negara ini kerana ia akan membantu mengurangkan jumlah subsidi kerajaan dan menyumbang kepada kemapanan fiskal.

"Bagaimanapun, pembaharuan seterusnya diperlukan jika kerajaan mahu memenuhi matlamat mencapai bajet seimbang menjelang 2020," kata Moody's sambil menambah ujian fiskal seterusnya untuk Malaysia akan tiba apabila Bajet 2015 dibentangkan Jumaat ini.

"Kerajaan berkata, ia menyasarkan defisit tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK ) tahun depan. Kami berpendapat ia akan melaksanakan lebih banyak langkah pengukuhan fiskal bagi mencapai matlamat itu," kata Moody's dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengikut firma itu, kenaikan harga bahan api baru-baru ini menandakan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membendung defisit fiskal yang diunjurkan akan berkurang kepada 3.1 peratus daripada KDNK tahun ini berbanding 3.9 peratus pada 2013 dan di bawah sasaran rasmi 3.5 peratus.

Kenaikan 20 sen seliter, peningkatan 9.5 peratus untuk bahan api itu dan kenaikan 10 peratus untuk diesel, mencerminkan pengurangan subsidi bahan api kerajaan pada September 2013 sejajar dengan dasarnya menjadikan rasionalisasi subsidi sebahagian penting daripada usaha kemapanan fiskalnya.

Jumlah keseluruhan subsidi kerajaan sudah meningkat dengan pesat dalam tempoh sedekad lalu berikutan peningkatan harga minyak.

Pengurangan subsidi dalam tempoh setahun lalu menyebabkan perbelanjaan subsidi sebagai sebahagian daripada perbelanjaan operasi kerajaan jatuh kepada 17 peratus untuk separuh pertama tahun ini selepas mencatat lebih 20 peratus pada 2011 dan 2012 berbanding 13 peratus pada 2009.

Moody's berkata, jumlah hutang negara ialah 54.7 peratus daripada KDNK pada akhir 2013, lebih tinggi daripada penarafan A negara membangun lain, iaitu 41.4 peratus.

"Akan tetapi dengan gabungan jangkaan pertumbuhan KDNK sebenar lebih kukuh tahun ini sebanyak enam peratus, meningkat daripada 4.7 peratus pada 2013, defisit fiskal yang lebih kecil akan mengurangkan hutang negara.

"Ini akan memberikan kerajaan ruang yang lebih luas untuk bergerak di bawah siling hutang yang ditetapkannya, iaitu 55 peratus daripada KDNK," tambah Moody's. - BERNAMA

Berita Harian X