Khamis, 14 Julai 2022 | 12:00pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Pastikan Aturan Kerja Fleksibel 'untungkan' majikan, pekerja

Pindaan Akta Kerja 1955 membenarkan semua pekerja di negara ini memohon Aturan Kerja Fleksibel (AKF) dengan majikan masing-masing mulai 1 September ini.

Pindaan akta ini jelas membuktikan komitmen dan keprihatinan kerajaan untuk meningkatkan keharmonian serta kesejahteraan dalam dunia pekerjaan, secara tidak langsung menyumbang kehidupan lebih gembira dan panjang umur dalam kalangan rakyat.

Dasar diumumkan ini memberi peluang kepada majikan untuk mempertimbangkan pelbagai kategori AKF yang sesuai untuk organisasi mereka seperti bekerja dari rumah (BDR), waktu anjal, tugas berkala, perkongsian kerja, peranan diubah, persaraan berfasa, minggu bekerja dikumpul, pulang kerja lebih awal, hari pelepasan pilihan pekerja, pertukaran syif, waktu kerja berperingkat dan pengurangan kerja.

Menurut Kementerian Sumber Manusia, pekerja hanya perlu memohon kepada majikan perubahan waktu bekerja, hari bekerja dan perubahan tempat kerja.

Majikan pula perlu memberi jawapan dalam tempoh 60 hari secara bertulis mengenai status permohonan sama ada menerima atau menolak dengan mengemukakan alasan difikirkan munasabah.

Secara dasar, AKF mula mendapat tempat dalam negara kita dan di serata dunia apabila COVID-19 menular, mengancam kesihatan dan nyawa manusia sejak mula dikesan pada awal 2020.

Kemudahan seperti kebenaran bekerja dari rumah dan penggiliran diberikan kepada pekerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serba sedikit membantu mengurangkan kadar jangkitan COVID-19 di negara ini.

 Mahir guna pelbagai aplikasi moden 

Secara tidak sedar, pelbagai kategori AKF diuji dari segi keberkesanan dan implikasinya oleh majikan sepanjang tempoh dua tahun ini. Majikan dan pekerja juga lebih mahir dan matang menggunakan pelbagai kemudahan serta aplikasi moden dalam talian ketika AKF dilaksanakan.

Tambahan pula, kebanyakan organisasi membuat pelaburan yang banyak untuk membangunkan kemudahan, sistem dan infrastruktur berkaitan menyokong AKF seperti BDR.

Ada majikan terus melaksanakan pelbagai kategori AKF seperti amalan kerja secara hibrid walaupun negara memasuki fasa peralihan ke endemik dan amalan ini mula diterima sebagai norma baharu dalam sistem kerja dalam kalangan pekerja mahupun majikan.

Justeru, tidak keterlaluan jika AKF boleh dilaksanakan di negara ini tanpa banyak halangan. Walaupun AKF mungkin masih baru di Malaysia, pelbagai negara sudah lama melaksanakannya sebelum COVID-19 lagi.

Finland, Australia, Norway dan Sweden boleh dikatakan terkehadapan dalam perkara ini dengan penggubalan undang-undang dan akta berkaitan mewajibkan kemudahan ini diberikan kepada golongan sasar seperti pekerja mempunyai keluarga dengan anak kecil.

Negara lain seperti Belgium, Perancis, German, New Zealand, Belanda dan United Kingdom (UK) antara lain menyediakan kemudahan AKF yang boleh dimohon pekerja sama seperti akan dilaksanakan Malaysia.

Kelebihan pelaksanaan AKF tidak dapat dinafikan untuk majikan dan pekerja. Rata-rata majikan dan pekerja di serata dunia mengakui peningkatan produktiviti secara ketara menerusi AKF.

Majalah Forbes baru-baru ini melaporkan pekerja yang bekerja secara jarak jauh, sebenarnya bekerja lebih 1.4 hari setiap bulan atau lebih 16.8 hari setiap tahun berbanding dengan mereka bekerja dari pejabat.

Cisco dalam kajian terkini mendapati 60 peratus pekerja di Malaysia percaya kualiti kerja mereka meningkat, manakala 55 peratus berpandangan produktiviti kerja mereka bertambah baik dengan amalan kerja secara hibrid.

Kajian TalentCorp dan United Nations Development Programme (UNDP) Malaysia dalam kalangan majikan dan pekerja mendapati 60 peratus responden melaporkan peningkatan dalam produktiviti dengan AKF.

Antara penyumbang kepada peningkatan produktiviti ini adalah pekerja jarak jauh lebih gembira kerana tidak perlu menghabiskan masa lama untuk berulang alik ke tempat kerja setiap hari.

AKF membolehkan kos minyak bahan api, tol, parkir, penyelenggaraan kenderaan atau tambang pengangkutan awam untuk berulang alik ke tempat kerja serta kos lain seperti membeli pakaian untuk ke pejabat dan makanan boleh dikurangkan.

Ini dapat membantu mengurangkan beban kos sara hidup pekerja terutama B40. Bagi majikan pula, terdapat peluang untuk mengurangkan kos overhed tertentu jika AKF dirancang dengan teliti.

Masalah ketidakhadiran ke tempat kerja dan berhenti kerja dalam kalangan pekerja juga dapat dikurangkan, membolehkan majikan mengekalkan tenaga kerja terlatih dan berkemahiran tinggi.

Society for Human Resource Management melaporkan dapatan FlexJobs 2020 yang mendapati 81 peratus pekerja menyatakan kesediaan untuk kekal setia bersama organisasi yang menyediakan kemudahan AKF.

Pekerja juga dikatakan lebih komited apabila bekerja secara AKF kerana mereka menghargai majikan yang bersedia mengubah suai sistem kerja sedia ada.

Kemudahan AKF yang menarik juga membolehkan majikan menarik lebih ramai bakat baharu, terutama golongan profesional wanita untuk menyertai organisasi mereka.

 Tahap kesihatan pekerja jadi lebih baik 

Pekerja yang berpeluang menikmati kemudahan AKF melaporkan tahap kesihatan fizikal dan mental mereka menjadi lebih baik berbanding bekerja mengikut sistem tradisional yang memerlukan mereka hadir ke pejabat setiap hari.

Kajian Cisco melaporkan 79 peratus pekerja Malaysia menyatakan kesejahteraan hidup mereka bertambah baik dalam lima aspek iaitu emosi, kewangan, mental, fizikal dan sosial ketika mengikuti aturan kerja hibrid dan kerja jarak jauh.

Namun, pandangan majikan berkenaan pelaksanaan AKF juga perlu diambil perhatian. Ruang dan masa secukupnya perlu diberikan kepada majikan untuk melaksanakan AKF.

Ketika ini, kebanyakan perniagaan belum pulih sepenuhnya selepas bergelut dengan COVID-19. Industri tertentu belum beroperasi dalam kapasiti penuh disebabkan kekurangan pekerja.

Majikan juga dilapor berdepan peningkatan ketara kos perniagaan disebabkan penguatkuasaan dasar gaji minimum RM1,500. Namun, keputusan kerajaan bahawa AKF tidak bersifat 'mengikat' majikan, sebaliknya memberi pilihan menentukan kesesuaian pelaksanaannya adalah wajar.

Kejayaan pelaksanaan AKF bagaimanapun bergantung kepada kesungguhan dan komitmen pengurusan majikan. Kerjasama pekerja juga penting untuk turut bersama majikan membantu membangunkan AKF bersifat menang-menang dan memanfaatkan kemudahan diberikan dengan sebaiknya.

Pensyarah Pengurusan dan Gelagat Organisasi, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X