Isnin, 11 Julai 2022 | 12:00pm
Negara kita memerlukan pemimpin dan masyarakat yang bersatu padu., terutama ketika negara berdepan pelbagai cabaran dari dalam serta luar. - Foto hiasan/BERNAMA
Negara kita memerlukan pemimpin dan masyarakat yang bersatu padu., terutama ketika negara berdepan pelbagai cabaran dari dalam serta luar. - Foto hiasan/BERNAMA

Berbeza ideologi politik usah sampai langgar ajaran Islam

Teguran Raja-Raja Melayu berhubung sikap pemimpin politik Melayu ketika ini yang dilihat terus berbalah dan berkonflik sehingga mengancam perpaduan serta keharmonian rakyat pada prinsipnya amat berasas.

Sebagai 'Payung Negara', Raja-raja Melayu berhak menasihat dan menegur pemimpin politik khasnya Melayu dan beragama Islam supaya meredakan sebagai pertelingkahan, walaupun berbeza pandangan atau ideologi demi kepentingan lebih besar, iaitu rakyat serta negara.

Seperti dizahirkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pembangunan serta kemajuan negara amat bergantung kepada kepemimpinan yang stabil.

Jika pemimpin Melayu gagal menunjukkan kepemimpinan yang baik dan bertanggungjawab, kaum lain akan hilang rasa hormat, sekali gus tidak akan memberi sokongan yang padu kepada pemerintahan orang Melayu.

Dalam permasalahan ini, pemimpin politik Melayu perlu merenungi kembali asbab Allah SWT menjadikan manusia dalam keadaan pelbagai rupa, kehendak dan pendapat.

Kepelbagaian ini menunjukkan manusia akan bertindak sebagai pelengkap antara satu sama lain dalam menampung sebarang kekurangan dan kelemahan dalam urusan kehidupan.

Perbezaan pendapat antara manusia menunjukkan insan itu berbeza dari segi tahap kefahaman dan luasnya ilmu Allah SWT. Melihat kepada pelbagai polemik politik dan kepartian yang bangkit sejak kebelakangan ini, hakikatnya setiap umat Islam, terutama pemimpin politik perlu kembali kepada ajaran al-Quran dan sunah Nabi SAW.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisa ayat 59 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah serta ulil-amri (ketua, orang berkuasa) dalam kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantahan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya".

Perbezaan dan perselisihan yang wujud sama ada dalam bidang agama, politik dan pentadbiran, bahkan sukan sekali pun mesti bersandarkan kepada asas utama iaitu adab, disiplin ilmu dan keterbukaan dalam menerima pandangan serta pendapat orang lain.

Kita sedia maklum dalam situasi hari ini, sebahagian besar masyarakat berada dalam kesusahan akibat kenaikan harga barangan asas, pandemik yang belum selesai, masalah pekerjaan serta pendidikan.

Cabaran utama kini ialah mengeluarkan masyarakat daripada kemelut kesusahan dan tekanan hidup yang semakin menekan serta bukan sibuk mencari atau menuding kesalahan kepada mana-mana pihak.

Jika hendak dicari siapa yang salah dan siapa benar, masalah berbangkit tidak akan selesai malah akan menjadikan lebih teruk lagi. Dalam perselisihan politik misalnya, ketaasuban dan ketamakan menjadi punca utama mengheret masyarakat ke kancah perbalahan. Akhirnya, rakyat menjadi mangsa sedangkan pemimpin politik nanti tetap berharap sokongan rakyat apabila pilihan raya diadakan.

Mendepani cabaran dalam perjuangan politik misalnya, umat Islam wajib bersatu bagi membina kekuatan dan kesejahteraan. Asas penyatuan ummah perlu bersandarkan kepada al-Quran dan sunah Rasulullah SAW diikuti dengan menerima keputusan ulama serta dan perbandingan.

Selain itu, 'urf dan waqi' (situasi sebenar sesuatu) negara juga memainkan peranan sangat penting dan tidak boleh diketepikan. Oleh sebab itu, pemimpin politik Islam perlu menghayati peringatan Rasulullah SAW menerusi hadis bermaksud: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunah (Nabi SAW)". (HR Imam Malik)

Hakikatnya, umat Islam akan lebih dihormati jika mereka bersatu. Dalam hal ini, seruan ini bukan mahu menakutkan golongan bukan Islam, sebaliknya penyatuan ummah adalah perintah Allah SWT.

Negara kita memerlukan pemimpin dan masyarakat yang bersatu padu. Hal ini sebenarnya patut digerakkan orang Melayu yang juga umat Islam seperti diperintahkan Allah SWT dan Nabi SAW.

Bermakna, pemimpin dan ketua parti politik perlu menghindarkan perpecahan serta perbalahan, terutama ketika negara berdepan pelbagai cabaran dari dalam serta luar.

Walaupun berbeza pandangan dan ideologi, pemimpin politik perlu menyedari sempadan ditetapkan Islam dalam berpolitik dengan tidak menyebabkan kedudukan agama terjejas dan kehidupan umat terkesan.

Cahaya kesejahteraan dan keindahan Islam akan memancarkan sinarnya kepada golongan bukan Islam jika pemimpin politik dan umat Islam bersatu, sekali gus menjadi dakwah kepada mereka untuk mendalami Islam atau paling tidak menghormati ajaran Islam.

Perselisihan tercetus akibat perbezaan pandangan, pendirian dan ideologi hanya menjerumuskan umat Islam kepada api kebencian dan permusuhan berpanjangan.

Penulis adalah Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

* Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X