Ahad, 10 Julai 2022 | 12:00pm
Jemaah Haji mengelilingi Kaabah di masjidil Haram Saudi Mekah, pada hari pertama perayaan al-Adha yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia. - Foto AFP
Jemaah Haji mengelilingi Kaabah di masjidil Haram Saudi Mekah, pada hari pertama perayaan al-Adha yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia. - Foto AFP

Ibadat haji ajar erti kepatuhan, jambatan satukan ummah

Memasuki jendela Zulhijah 1443 Hijrah, ia amat sinonim dengan ibadat haji. Bagi umat Islam yang sedang berada di bumi Makkah mengerjakan ibadat haji, saat lisan menyebut dan telinga mendengar bacaan talbiah, entah mengapa, bacaan talbiah itu benar-benar menusuk kalbu.

Begitu juga sahabat dan sanak saudara berada di Malaysia, apabila menonton televisyen, terdengar sahaja lafaz talbiah, hati mula berasa sebak. Inilah maksud bacaan talbiah.

"Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Ya Allah, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu, Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian dan nikmat dan pemerintahan adalah milik-Mu. Tidak ada sekutu bagi-Mu".

Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 96 dan 97 bermaksud: "Sesungguhnya rumah ibadat yang mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayat bagi umat manusia. "Di situ ada tanda keterangan nyata (menunjukkan kemuliaannya; antaranya ialah) makam Nabi Ibrahim dan sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa kufur (ingkar kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk".

Ibadat haji mengajar erti kepatuhan dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Seseorang itu berkorban wang ringgit, tenaga dan serba-serbi kepayahan semata-mata untuk menunaikan Rukun Islam.

Inilah lambang taat setia seorang hamba kepada Allah SWT, semua ini dilakukan semata-mata mencari reda Tuhannya. Baginda Rasulullah SAW bersabda dalam hadis direkodkan Imam Bukhari dan Muslim bermaksud: "Sesiapa melakukan ibadah haji dengan tidak mengucapkan perkataan keji, tidak melakukan perkara fasik, dia akan kembali ke negerinya dengan fitrah jiwanya yang suci seperti bayi baru dilahirkan daripada perut ibunya".

Syukur Alhamdulillah, tahun ini jemaah dari negara kita berpeluang mengerjakan ibadat haji. Selepas tertangguh dua tahun akibat pandemik
COVID-19, tahun ini, kerajaan Arab Saudi memberikan jumlah kuota sebanyak 14,306 jemaah haji kepada negara kita.

Persiapan serapi mungkin dilakukan Tabung Haji (TH), merangkumi aspek bangunan penginapan, penerbangan, pengangkutan, program bimbingan dan keilmuan, kesihatan termasuk prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, sajian makanan dan kemudahan lain bagi memastikan kelancaran pengendalian jemaah pada tahun ini.

Pada musim haji tahun ini, seramai 600 petugas TH termasuk pasukan perubatan berada di Tanah Suci untuk mengurus dan menyantuni jemaah Malaysia.

Usia TH melebihi 50 tahun. Mengundur terowong masa, pada 1959, Prof Diraja Ungku Abdul Aziz membentangkan kertas kajian beliau bertajuk 'Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-Bakal Haji' kepada kerajaan.

Selepas itu pada 1960, Jawatankuasa Kebajikan Ekonomi Bakal-Bakal Haji dibentuk untuk mengenal pasti masalah dihadapi umat Islam mahu mengerjakan haji khususnya kaedah penyimpanan wang mereka untuk tujuan itu.

Selepas beberapa siri mesyuarat dan libat urus, sebuah institusi iaitu Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji ditubuhkan pada November 1962.

Bagi menghadapi tugasan lebih komprehensif dalam pengurusan haji, Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) ditubuhkan secara rasmi pada 8 Ogos 1969.

Sehingga sekarang, TH melalui pelbagai episod mematangkannya sebagai agensi pengurusan haji. Dunia Islam sentiasa memandang Malaysia dan TH sebagai model pengurusan terbaik haji.

Ketika saya diundang menjadi pembicara pada Simposium Perdana Haji di Makkah 4 Julai lalu, dunia Islam sentiasa menyebut contoh kecemerlangan pengurusan TH.

Pengiktirafan ini adalah satu kebanggaan buat negara. Jemaah haji kita pula amat berdisiplin serta mematuhi arahan pihak berkuasa, selain orang kita amat tertib dan murah dengan senyuman.

Saya selalu berpesan kepada pengerusi dan seluruh pengurusan TH untuk menjaga amanah sebaiknya. TH adalah amanah umat Islam. TH bukan milik peribadi. Ia mesti diurus dengan penuh dedikasi dan integriti. Semoga Allah memberkati semua insan membangunkan TH sejak hari pertama ia ditubuhkan.

Arafah menjadi lokasi sejuta umat Islam dari seluruh dunia berhimpun tahun ini. Jarak di antara Makkah ke Arafah sejauh 21.9 kilometer (km) manakala jarak antara Mina dan Arafah kira-kira 14.9km.

Berada di bumi Arafah pada kemuncak haji
dipanggil wukuf menjadi rukun haji. Jemaah ketika di Arafah memanfaatkan setiap saat dan detik berharga, memperbanyakkan istighfar, berzikir, berdoa, bertalbiah, bermuhasabah diri dan bermunajat kepada Allah SWT.

Hari Arafah adalah hari pengampunan dosa dan pembebasan daripada azab api neraka. Daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Tiada hari paling banyak Allah membebaskan hamba-Nya daripada neraka berbanding hari Arafah. Sesungguhnya Allah mendekati (dengan rahmat-Nya). Kemudian Dia berbangga dengan semua hamba-Nya kepada malaikat sambil berkata. "Apa lagi yang diinginkan oleh mereka?"

Semoga Allah SWT mengampunkan dosa kita sebagai hamba-Nya. Tidak kira walau siapa pun kita, semua sama sahaja pada pandangan Allah.

Pembeza kita hanyalah takwa. Apabila kita sedar diri adalah hamba, maka segala sifat sombong dalam diri perlu dibuang jauh-jauh. Jangan pernah kita merendah-rendahkan sesiapa sahaja kerana boleh jadi orang itu lebih mulia daripada kita.

Ibadat haji yang menghimpunkan sejuta umat Islam dari seluruh pelosok dunia mengajar erti penyatuan. Ia memperkukuh semangat persaudaraan dan membuang segala bibit kesumat.

Ibadat haji mendidik umat untuk saling menghormati, tolong-menolong dan berkasih sayang atas nama iman serta Islam. Setiap individu Muslim perlu menjadi jambatan menyatukan umat Islam, bukan meruntuhkan permuafakatan.

Apabila umat Islam bersatu dan berpadu, ia memperteguhkan kekuatan umat. Semangat ini mesti dibawa pulang ke negara Malaysia. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 10 bermaksud: "Sebenarnya orang beriman itu bersaudara, maka damaikan di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat".

Penulis adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Berita Harian X