Selasa, 5 Julai 2022 | 12:30pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

BH perlu jadi platform berpolemik sihat, seimbang

Tanggal 1 Julai lalu, BH menyambut ulang tahunnya ke-65. Ini pasti sesuatu sangat membanggakan sebagai satu-satunya akhbar berbahasa Melayu diterbitkan tanpa henti sejak negara merdeka.

Kejayaan ini tentunya sangat manis di tengah-tengah ketidaktentuan terhadap masa depan akhbar di seluruh dunia.

Di Amerika Syarikat (AS), seperti dilapor Medill School of Journalism, Media and Integrated Marketing Communications, Northwestern University pada minggu lalu, ada sehingga dua judul akhbar terpaksa ditutup setiap minggu kerana faktor ekonomi dan jumlah pembaca.

Laporan sama juga menyebut 40 daripada 100 akhbar utama di sana juga hanya mengeluarkan satu edisi digital seminggu, berbanding edisi cetak setiap hari sebelum ini. Situasi ini pastilah menggusarkan industri penerbitan akhbar serta pembaca.

Benar, memang mudah untuk kita meramalkan betapa malapnya masa depan penerbitan akhbar, terutama bercetak pada era digital ini. Namun, ramai percaya akhbar masih kekal relevan meskipun dengan kehadiran pelbagai sumber maklumat menerusi internet.

Edisi cetak sesebuah akhbar masih berperanan sebagai 'perakam' sejarah dan masa bagi sesebuah komuniti dan negara. Saat sesuatu berita dicetak dan diedarkan, ia tidak boleh lagi dipadam atau diubah.

Tentunya hal ini sangat berbeza dengan media digital masa kini kerana sesuatu laporan masih boleh dikemas kini atau diubah bila-bila masa.

Selain itu, dengan adanya akhbar bercetak, sesuatu perkara dapat ditentukan kesahihannya dengan mudah kerana ia tidak dapat dipinda lagi.

Dengan begitu banyak laporan berita palsu, khabar angin dan fakta alternatif bertebaran sewenang-wenangnya menerusi media digital, kita dan generasi masa depan pastinya mahukan sesuatu bukti konkrit serta tepat berkenaan sesuatu peristiwa berlaku pada satu-satu masa dalam kehidupan ini.

Akhbar bercetak juga memainkan peranan penting bagi mereka tidak mendapat akses sewajarnya kepada sumber maklumat. Contohnya, masih terdapat warga tidak berkemampuan untuk memiliki peranti dan hanya bergantung kepada akhbar bercetak yang boleh dibaca secara percuma di perpustakaan awam dan sekolah.

Masih terdapat juga warga tidak mempunyai tahap pengetahuan digital tinggi untuk mengakses maklumat secara digital, tetapi akhbar bercetak dan laporan berita jam 8 malam di kaca televisyen masih menjadi sumber maklumat utama buat mereka. Inilah golongan yang akan terkesan jika akhbar dihentikan penerbitannya.

Dengan sejumlah cabaran terpaksa dihadapi syarikat penerbitan akhbar di seluruh dunia, pastinya terdapat juga banyak peluang bagi mereka untuk terus berkembang.

Akhbar tidak boleh berfungsi sebagai wadah melaporkan berita secara bercetak semata-mata, sebaliknya perlu menjadi organisasi pelbagai media menawarkan berita sahih, analisis kritis dan pandangan bijaksana menerusi pelbagai medium seperti video, ciapan di media sosial serta audio siar.

Mereka juga boleh terus meneroka idea digital baharu sebagai 'lidah' kepada komuniti setempat, bukan sahaja untuk menguar-uarkan isu berkenaan komuniti, tetapi juga platform untuk berpolemik secara sihat dan seimbang.

Justeru, warganya dapat berbicara secara matang dan boleh bersetuju untuk tidak bersetuju, sambil mengajar ahli komuniti bagaimana untuk berfikir, bukan apa yang perlu mereka fikirkan.

BH dilihat berada di landasan tepat untuk terus berkembang dan berjaya pada era digital ini seperti akhbar gergasi lain di luar negara, contohnya New York Times, Washington Post dan Wall Street Journal di AS dan The Guardian di Britain yang berjaya meneruskan edisi digital dan cetak.

Selamat ulang tahun BH, semoga tetap teguh sebagai wadah pembaharuan untuk 65 tahun seterusnya.

Pensyarah Akademik Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak

Berita Harian X