Ahad, 3 Julai 2022 | 10:30am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Tubuh suruhanjaya semak akta lapuk

Di sebalik sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 yang bakal diraikan tidak lama lagi, satu aspek yang menarik perhatian ramai adalah keperluan mengkaji dan menyemak semula undang-undang lapuk.

Setakat ini negara mempunyai lebih 800 undang-undang diwujudkan menerusi Parlimen tetapi lebih 200 akta digubal dan dipinda selepas 2000.

Ini bermakna sekitar 60 peratus dibentuk dalam tempoh empat dekad selepas merdeka bagi memenuhi keperluan semasa, kebanyakannya wujud sebelum era internet, malah ada diwarisi daripada sistem penjajah.

Akta nombor satu dalam senarai diluluskan Parlimen adalah Akta Penyemakan Undang-Undang 1968 untuk menyemak dan mencetak semula undang-undang dan perundangan subsidiari, iaitu peruntukan mengkaji perkara tidak sesuai dan bagi memenuhi keperluan negara.

Penggubalan dan pemindaan akta ialah proses dinamik. Kita perlu terus mewujudkan undang-undang baharu supaya relevan dengan cabaran dan kehendak semasa. Ini perlu dilakukan bukan sahaja di peringkat Persekutuan, bahkan negeri.

Justeru, arahan Perdana Menteri agar 147 undang-undang lapuk disemak semula dialu-alukan. Kerajaan akan menelitinya sama ada untuk dipinda atau dimansuhkan, seiring transformasi undang-undang bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Arahan itu selari dengan dasar pembaharuannya sejak diberi amanah sebagai Perdana Menteri, Ogos tahun lalu. Sebelum ini, beliau mengumumkan pelaksanaan langkah proaktif memperkasa undang-undang negara, antaranya memansuhkan hukuman mati mandatori, selain membangunkan Rang Undang-Undang (RUU) antilompat parti.

Sebelum 2018, RUU itu dianggap bertentangan dengan kebebasan diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun, pada hari ini sudah ada keperluan mustahak untuk penguatkuasaan.

Selain itu, RUU Dana Sumbangan Politik bakal diperkenalkan demi meningkatkan ketelusan sumbangan politik dengan mengurangkan risiko rasuah dan penyalahgunaan kuasa berkaitan dengannya. Kedua-duanya akan mengisi kekosongan, sekali gus memenuhi keperluan menggantikan peruntukan lapuk sedia ada.

Sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), senario semasa menunjukkan negara perlu ada pembaharuan atau transformasi dari segi perundangan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara dinamik, sekali gus menyediakan asas lebih kukuh dalam pembangunan dan pertumbuhan.

Oleh itu, arahan Perdana Menteri wajar memandangkan banyak perkara termasuk trend jenayah semasa berubah dalam era teknologi digital. Penambahbaikan undang-undang diperlukan untuk kekal relevan dengan keadaan semasa dan kemajuan teknologi.

Bukan sahaja jenayah, kita perlu menyediakan persekitaran membina bagi mencapai prinsip demokrasi dan kebebasan rakyat.

Kita tidak boleh menganggap hanya undang-undang diperlukan untuk mengawal, mencegah dan memerangi jenayah. Undang-undang sifatnya lebih membina dan dinamik amat diperlukan perlu untuk memenuhi hak asasi manusia.

Dengan menyemak semula undang-undang lapuk, kita boleh berlaku adil kepada rakyat yang mengharapkan kerajaan membawa pembaharuan bagi menambah baik kehidupan mereka.

Dengan kemunculan pelbagai jenis teknologi komunikasi dan media moden menggunakan kemudahan dalam talian, ramai mula mempersoalkan hak peribadi serta kebebasan mereka tersekat disebabkan ketiadaan undang-undang relevan.

Lebih dua dekad lalu, Akta Penyiaran digantikan dengan Akta Multimedia dan Komunikasi. Kita memerlukan lebih banyak undang-undang terkini lagi relevan.

Kajian holistik diperlukan supaya pihak berkuasa dapat menguatkuasakan undang-undang dengan berkesan. Kajian semula undang-undang lama perlu bagi mengelakkan sebarang pertindihan.

Kerajaan boleh memberi pertimbangan untuk mengkaji segala jenis undang-undang lapuk termasuk peruntukan undang-undang menjamin hak asasi dan kebebasan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga Undang-Undang Tubuh Negeri.

Ini termasuk perkara berkaitan kebebasan untuk berpersatuan, bersuara atau bergerak dengan bebas. Kebebasan diberikan kepada setiap warga negara jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Semakan segera terhadap undang-undang lapuk tertentu diperlukan bagi memastikan aspek penguatkuasaan dilaksanakan dengan berkesan.

Peruntukan bersifat terkini perlu disediakan untuk sistem kehakiman mentafsir dengan baik. Mahkamah tidak boleh bertindak sendiri tanpa adanya peruntukan diluluskan dewan perundangan.

Kajian perlu membabitkan semua kementerian dan agensi supaya matlamat akhir dapat dicapai. Mengambil kira kehidupan kita dalam satu ekosistem menyeluruh, kajian semula membabitkan semua aspek kehidupan adalah penting.

Semua peraturan lapuk dan tidak lagi relevan perlu dimansuhkan sekiranya Malaysia ingin berada dalam senarai antara negara paling kompetitif di dunia. Bagi meningkatkan daya saing, mempunyai tadbir urus baik dan boleh diyakini setiap pemegang taruh.

Bagi merealisasikan arahan semakan semula undang-undang lapuk, pembentukan suruhanjaya khas adalah penting. Entiti ini boleh mengemukakan hasil kajian kepada kerajaan untuk menyediakan peruntukan baharu sesuai dengan perkembangan.

Setiap kementerian juga perlu menyediakan senarai semakan semula semua peraturan sudah lama bagi menambah baik mutu sistem penyampaian.

Libat urus bersama semua pihak dan rakyat semua lapisan perlu disegerakan. Diharap menjelang sambutan Hari Kebangsaan akan ada satu khabar baik mengenai hasil tindakan awal untuk menambah baik akta dan undang-undang negara di peringkat nasional dan negeri.

Pengamal Undang-Undang dan Profesor Adjung di Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita Harian X