Sabtu, 2 Julai 2022 | 10:30am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Jaringan strategik pastikan program agihan zakat lancar

Salah satu teras meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi menguruskan hal ehwal zakat adalah sejauh mana masyarakat yakin dan percaya serta berpuas hati dengan khidmat layanan ketika berurusan dengan agensi berkaitan.

Memandangkan Malaysia mempunyai 14 agensi mengurus zakat, maka terdapat 14 cara berlainan urus agihannya.

Walaupun hakikatnya setiap negeri menguruskan zakat masing-masing dengan cara tersendiri, tetapi di mata masyarakat apa yang mereka tahu hanya satu, iaitu ia tetap agensi zakat yang mempunyai peranan sesuai dengan penubuhannya.

Tanpa menafikan, proses agihan zakat di Malaysia jauh ke depan berbanding negara lain yang menganggotai Forum Zakat dan Wakaf Sedunia (WZWF).

Ketika membentangkan kertas seminar pada Simposium Wakaf Sedunia di Universiti Sabahattin Zaim, Istanbul, Turki baru-baru ini, Prof Dr Mehmet Buluth menyatakan jika masyarakat dunia ingin belajar urusan wakaf mungkin Turki menjadi negara rujukan.

Namun jelas beliau, jika dunia ingin belajar pengurusan zakat, maka negara yang terbaik dijadikan rujukan adalah Malaysia. Walaupun pada peringkat nasional, masih ramai kurang senang serta tidak berpuas hati dengan prestasi agensi mengurus zakat, secara hakikatnya Malaysia berada pada landasan terbaik dan diiktiraf negara luar.

Buktinya, apabila Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) membuka seluas-luasnya pintu kepada negara luar belajar berkaitan pengurusan zakat di negara kita, banyak negara hadir berkampung untuk belajar program kutipan dan agihan zakat untuk dilaksanakan di negara mereka.

Daripada kehadiran delegasi itu, baru disedari Malaysia adalah negara terbaik menguruskan dana zakat berbanding negara lain di seluruh dunia.

Selari perkembangan teknologi, sudah pasti perkembangan pesat sistem kecerdikan buatan (AI) dan data raya perlu dioptimum penggunaannya bagi tujuan mempermudahkan proses agihan tanpa menggunakan tenaga sumber manusia yang banyak, tetapi dapat mempercepatkan proses berkenaan.

Melalui pemerkasaan teknologi inilah, LZNK memperkenalkan aplikasi 'Zakat on Touch' bagi mempermudahkan pembayar zakat dan penerima mendapatkan semua jenis maklumat berkaitan kutipan, agihan mahupun projek terkini.

Langkah LZNK ini dapat memastikan masyarakat percaya wang zakat mereka diuruskan dengan telus dan terbaik, seterusnya meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat ini.

Pada masa kini, masih belum ada satu sistem data golongan miskin bersepadu khusus bagi agensi agama di seluruh negara untuk digunakan semua agensi menguruskan zakat bagi mengenal pasti golongan benar-benar layak menerima bantuan.

Dalam usaha memperkasakan sistem penyampaian agihan zakat kepada masyarakat, perkara paling penting dilakukan adalah membangunkan warga kerja institusi supaya lebih proaktif.

Kakitangan agensi zakat perlu sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat sama ada pembayar zakat mahupun penerima zakat.

Bagi tujuan memastikan program agihan dapat berjalan dengan lancar, jaringan strategik amat diperlukan antara institusi, ahli akademik, masyarakat awam serta golongan penerima bagi membentuk ekosistem lebih harmoni dan menjadikan proses agihan bantuan berjalan lancar.

Agensi menguruskan dana zakat, wakaf dan baitulmal di Malaysia ibarat sebuah keluarga besar. Bagaikan kuku dan isi. Dicubit paha kanan, paha kiri terasa.

Oleh itu, menjadi kewajipan kepada semua agensi mengurus dan zakat, wakaf, sedekah, jariah dan sebagainya untuk melakukan terbaik bagi menjaga nama baik serta imej institusi agama dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pengurusan Sekolah Zakat Kedah merangkap Timbalan Ketua Pemuda Forum Zakat dan Wakaf Sedunia

Berita Harian X