Jumaat, 1 Julai 2022 | 11:00am
Muka depan BH 1 Julai 1957.
Muka depan BH 1 Julai 1957.

Selepas 65 tahun, BH kekal bawa wadah pembaharuan

Pada hari ini 65 tahun lalu, Raja-Raja Melayu dalam perutusan yang disiarkan di muka depan edisi pertama Berita Harian (BH) menyatakan seperti berikut.

Suratkhabar2 yang bebas lagi tiada berpehak dan yang mengeluar-kan perkhabaran yang benar serta memberi teguran yang adil dan membina walau dalam apa bahasa jua pun tetap akan memberi fa'edah besar kepada negeri.

Suratkhabar bahasa Melayu yang sedemikian itu tersangat-lah di-kehendaki di-negeri ini. Tambahan pula apabila negeri ini mendapat penuh kemerdekaan supaya dapat-lah pembacha2nya berfikir dengan sendiri-nya dengan tidak di-pengaruhi oleh apa2 faham jua pun.

Beta sakalian harap-kan suratkhabar Berita Harian ini akan dapat sokongan dan kejayaan yang penoh di-dalam alam persuratkhabaran di negeri ini.

Perutusan daripada Raja-Raja Melayu itu bersempena penerbitan sulung BH pada 1 Julai 1957, iaitu dua bulan sebelum pengisytiharan Hari Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya pada 31 Ogos tahun berkenaan.

Hari ini BH, akhbar bahasa Melayu pertama dicetak dalam tulisan rumi berusia 65 tahun. Utusan Melayu diterbitkan lebih awal, tetapi dalam tulisan jawi.

Berbalik kepada perutusan Raja-Raja Melayu, ketika itu mereka menyedari kepentingan profesionalisme dalam kalangan wartawan atau pengamal media.

Media juga perlu bebas dan berkecuali, serta berani membuat teguran membina. Media harus melaporkan yang benar dan tepat serta memberi keadilan kepada pihak ditegur untuk mempertahan diri dan menjawab kepada kritikan awam atau right of reply.

Seperti dinyatakan Raja-Raja Melayu dalam perutusan mereka, peranan media yang bebas, berkecuali, adil, tepat dan teguran membina tanpa halangan atau campur tangan pihak pemerintah atau kerajaan serta pihak lain akan memberi manfaat besar kepada negara.

Lebih penting, bagi Raja-Raja Melayu biar pembaca, pendengar dan penonton berpeluang berfikir sendiri tanpa dipengaruhi pihak lain.

Sehubungan itu, BH yang meraikan ulang tahun ke-65 hari ini, berazam menjadi wadah pembaharuan ketika negara mengharungi cabaran pada peringkat domestik dan global melanda dunia sekarang. Ia termasuk krisis ekonomi global dan perubahan iklim yang turut memberi impak kepada negara.

Kemelut politik negara mutakhir ini juga perlu diberi perhatian dan BH mahu memainkan peranan dalam proses mengembalikan kegemilangan negara.

Bergerak ke hadapan, BH berhasrat untuk terus berperanan membantu pembinaan negara bangsa sebagai instrumen semak dan imbang dalam mendukung demokrasi sihat, berasaskan Perlembagaan dan prinsip Rukun Negara.

BH mahu menjadi media rujukan massa, bebas dan berkecuali dengan liputan dan laporan berimbang, adil dan tepat.

Dasar diperkenalkan bekas Pengarang Kumpulan, Khaidir A Majid diperkemaskan bagi mengukuhkan kedudukan BH sebagai media diyakini dan dipercayai serta menjadi pilihan pembaca.

Wadah pembaharuan BH, termasuk membawa suara dan aspirasi masyarakat. Walaupun mereka boleh bersuara di media sosial, blog dan saluran YouTube peribadi masing-masing, BH akan menulis dan melaporkan rasa hati dan denyut nadi mereka.

Selain menyiarkan suara rakyat dalam bentuk berita, BH menyediakan sehingga empat muka surat untuk menyiarkan rencana, komentar dan surat pembaca setiap hari bagi memberi peluang kepada anggota masyarakat bersuara serta menyatakan pandangan mereka dalam pelbagai perkara dan isu.

Pakar dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, alam sekitar, teknologi pentadbiran dan pengurusan diberi peluang berkongsi pandangan dan saranan untuk tatapan pelbagai pihak, khususnya pemerintah dan sektor swasta, perniagaan dan perdagangan. Mereka mungkin tidak berpeluang menyampaikan terus pandangan dan saranan kepada pihak terbabit, tetapi perlu diberikan ruang dalam media sama ada media cetak, dalam talian atau forum menerusi platform yang disiarkan menerusi media elektronik seperti televisyen dan radio serta media sosial dan platform TV digital.

Pihak berwajib yang berkaitan disaran meneliti pandangan mereka sebagai panduan memperbaiki dan memperkemaskan dasar dan perancangan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Kita faham tidak semua yang akan dilaporkan, khususnya yang berkaitan sentimen kaum dan agama bagi memastikan laporan yang disiarkan tidak menggugat keselamatan dan keamanan negara. Peraturan dan undang-undang perlu dipatuhi dan ada batasan yang wajib diikuti.

Memetik ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika merasmikan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 pada 29 Mei lalu, beliau berkongsi pandangan dengan Raja-Raja Melayu pada 1957 mengenai peranan dan fungsi penting media.

Katanya, profesion kewartawanan perlu kekal bebas dan berfungsi tanpa gangguan serta campur tangan pihak lain demi menjamin kebebasan bersuara di negara ini.

Beliau juga menegaskan kerajaan tidak pernah menghalang media daripada menyiarkan sebarang laporan berita, yang ada kalanya dijadikan panduan oleh pihak berwajib untuk mengambil tindakan susulan seperti menyalurkan bantuan untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.

"Kerajaan sentiasa mendengar dan prihatin terhadap laporan yang dibangkitkan media. Semua kementerian dan agensi kerajaan sentiasa memberi kerjasama kepada media dalam membantu memudahkan penyaluran maklumat yang seimbang, sahih dan memuaskan hati.

"Saya beri jaminan bahawa tiada apa yang hendak disembunyikan oleh kerajaan dalam penyaluran maklumat demi kepentingan Keluarga Malaysia dan pembangunan negara," katanya.

Penulis adalah Pengarang Kumpulan BH

Berita Harian X