Isnin, 27 Jun 2022 | 11:15am

Beralih daripada 'negara subsidi' kepada skim pembiayaan sosial

NEGARA maju di Barat seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Jerman dan kebanyakan negara di Eropah sedang bergolak dengan kemungkinan kegawatan ekonomi serta kadar inflasi tinggi, tahap perkembangan ekonomi lemah diikuti krisis import khususnya bagi barang makanan.

Kita selalu merumuskan Malaysia juga mungkin mengalami keadaan sama. Ini adalah satu kesilapan tanggapan. Kita seolah-olah menganggap Malaysia tertakluk di bawah jajahan negara maju seperti AS sehingga apabila AS terbatuk, ia akan terus menular ke seluruh dunia.

Minggu lepas Pengarah Bank Dunia menegaskan lagi bahawa Malaysia adalah suatu senario pengecualian - negara ini dijangka mengelak daripada mengalami kegawatan kerana Malaysia mengeksport komoditi penting minyak mentah dan minyak kelapa sawit yang terus meningkat harganya dengan permintaan pasaran kukuh.

Kita juga mengelak kesan kegawatan kerana cuba mengelak berdagang dengan mata wang AS, sebaliknya berdagang dengan China. Jadi Bank Dunia terus menganggarkan ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar lebih daripada 5.5 peratus pada 2022 dengan unjuran peningkatan penggunaan peribadi melebihi 8.5 peratus.

Walaupun kita yakin ekonomi Malaysia akan terus berkembang naik tahun ini selepas keluar daripada kegawatan pada suku keempat 2021, kita perlu mengkaji kelemahan ekonomi bagi bersedia menghadapi kemungkinan negatif pada masa terdekat.

Isu paling penting sedang kita hadapi ialah peningkatan kos sara hidup yang banyak disumbangkan kos makanan. Walaupun hanya mengakaunkan 29.5 peratus daripada jumlah penggunaan isi rumah, jika kita ambil kira makanan di luar rumah dan minuman, komposisinya hampir 40 peratus daripada kos sara hidup isi rumah - 16.95 peratus untuk makanan di rumah, makanan di luar rumah (11.5 peratus) dan minuman bukan alkohol (11.5 peratus). Barang makan di rumah naik pada kadar lebih 5 peratus, manakala makanan di luar naik hampir 10 peratus. Ini tentu membimbangkan.

Pemberhentian subsidi minyak masak berbotol menyulitkan lagi keadaan kerana banyak peniaga kecil kini menggunakan minyak masak berbotol. Jadi harga barang makan dimasak di restoran dan gerai makanan dijangka akan meningkat lagi.

Isi rumah perlu segera kembali kepada tabiat asal untuk lebih banyak makan di rumah daripada di luar atau membeli makanan siap dari luar untuk mengurangkan tekanan permintaan ke atas barang makanan masak di luar dan mengurangkan kos sara hidup mereka.

Harga ayam juga dijangka meningkat dengan penarikan balik subsidi ayam RM0.60 sekilogram kepada penternak. Kerajaan sudah membuat persediaan dengan melonggarkan syarat pengimportan ayam tanpa memerlukan permit import (AP). Ini sepatutnya meningkatkan bekalan ayam di pasaran - dengan ayam beku yang kosnya jauh lebih rendah (pada RM5.90) berbanding harga kawalan RM8.90 hari ini.

Namun, tidak banyak yang boleh dibawa masuk oleh peruncit, pasar raya dan pasar raya besar. Alasannya kerana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengehadkan pembekal diiktiraf halal. Contohnya banyak pembekal ayam di Thailand diberi tauliah halal oleh kerajaan Arab Saudi tidak dibenarkan masuk ke Malaysia kerana mereka tidak mendapat sijil halal daripada JAKIM.

Kerajaan membuat keputusan memberhentikan subsidi secara pukal (kepada semua pengguna) dengan menggantinya kepada subsidi khusus dan tersasar kepada kumpulan memerlukan. Bantuan wang tunai akan diberi penekanan.

Kini RM2,500 bagi setiap keluarga diumumkan untuk lebih 4 juta isi rumah. Ini ditambah lagi RM100 hasil daripada penjimatan subsidi ayam yang akan diagihkan kepada lebih 6.8 juta isi rumah, orang bujang dan warga tua. Jumlahnya memang nampak kecil, iaitu RM210 bagi setiap keluarga berbanding kos sara hidup sebenar sebanyak RM 2,500 sebulan.

Namun, ia adalah tahap tertinggi pernah diberikan setakat ini oleh kerajaan Malaysia dan membayangkan simbol keprihatinan kerajaan terhadap kumpulan memerlukan ini.

Apa lagi patut dilakukan oleh kerajaan? Kerajaan tidak boleh terlalu menekankan kepada pemberian subsidi secara pukal kepada semua isi rumah. Malaysia perlu mengelak daripada dilihat sebagai sebuah lagi negara menekankan subsidi seperti Sri Lanka. Ini boleh memberikan imej dan persepsi negatif bahawa kerajaan bersikap boros dan tidak berhemah dalam mengurus kewangan negara.

Jadi untuk mencapai kelestarian dalam skim bantuan kepada isi rumah, kerajaan perlu memantapkan program keselamatan sosial dengan mewujudkan Tabung Endowment Nasional bagi mengumpul modal dalam skim pembiayaan sosial.

Kita hanya perlu mengukuhkan Tabung Wawasan sedia ada dengan mewujudkan mekanisme untuk setiap syarikat milik kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat tersenarai, peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta individu untuk menyumbang kepada tabung ini dengan insentif cukai dalam bentuk penangguhan cukai, rebat cukai dan potongan cukai.

Syarikat GLC misalnya boleh meminjamkan saham pelaburannya kepada tabung ini untuk satu tempoh. Matlamatnya adalah untuk mewujudkan jumlah pelaburan endowment hingga RM100 bilion yang akan dilaburkan dengan matlamat pulangan pelaburan tahunan RM5 bilion yang akan diagihkan kepada kumpulan memerlukan dan sebagainya digandakan melalui skim takaful bagi melindungi kumpulan memerlukan – isi rumah B60 dan M20.

Kerajaan perlu lebih agresif dalam strategi penggantian import untuk input makanan seperti makanan ternakan, bahan makanan, beras, tepung, gula, minyak masak, sayur, buah, susu, daging, ikan dan lain-lain.

Dalam jangka panjang, kerajaan perlu segera melaksanakan strategi keselamatan makanan melalui program seperti Buku Hijau Generasi Baharu yang akan menjadikan bukan sahaja negara mencapai tahap keselamatan makanan, malah kebanyakan keluarga akan juga mencapai tahap kendiri dalam keperluan makanan seperti sayuran, buah-buahan dan sumber protin.

Penulis adalah Profesor Emeritus di Universiti Tun Abdul Razak (UTAR)

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X