Jumaat, 24 Jun 2022 | 10:30am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Perluas inisiatif, jadikan amalan kitar semula budaya masyarakat

Kelangsungan kehidupan generasi masa depan dan alam semula jadi amat bergantung kepada bagaimana komuniti yang hidup hari ini menguruskan sisa, terutama pepejal.

Justeru, amalan kitar semula adalah antara pelan berkesan menjamin kelangsungan hidup manusia pada masa depan dan ia wajar dijadikan cara hidup dan amalan masyarakat, sama ada di setiap kediaman, industri dan institusi pendidikan.

Dalam isu ini, masyarakat perlu bertindak pantas untuk mengamalkan kitar semula dalam kehidupan kerana jumlah bahan buangan atau sisa dihasilkan setiap individu semakin meningkat.

Ketika ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merangka dasar peralihan pengurusan sisa pepejal ke arah ekonomi kitaran yang menekankan amalan Penggunaan dan Pengeluaran Mampan (SCP).

Inisiatif dilaksanakan antara lain, membangunkan sistem WEGIS (Waste Executive Geographical Information System) dan meneruskan pelaksanaan sistem pemberian ganjaran Trash to Cash.

Inisiatif 'Trash to Cash adalah kaedah membeli sampah harga tertentu. Justeru, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) meletakkan sasaran kadar kitar semula negara mampu ditingkatkan kepada 40 peratus menjelang tahun 2025 berbanding 32 peratus kadar sedia ada.

Tumpuan turut diberi dalam menambah baik program Komuniti Sifar Sisa (KOSIS). Objektif KOSIS adalah untuk mendidik komuniti mengasingkan sisa pepejal, membantu meningkatkan ekonomi keluarga B40, membudayakan amalan menghargai sisa sebagai sumber, bukan bahan buangan akhir tiada nilai serta mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan.

Sehingga Oktober 2021, jumlah keseluruhan penyertaan KOSIS adalah 25 peratus dan sejak dilancarkan pada 2019, program ini berjaya mengumpulkan 158 tan sisa kitar semula dan menghasilkan pendapatan penduduk sehingga RM46,257.

Program berkenaan memudah dan membantu penduduk khususnya di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi menjalankan rawatan sisa makanan serta menghantar barangan kitar semula melalui kaedah penebusan mata ganjaran serta kaedah Trash to Cash, sekali gus mendorong komuniti PPR membudayakan amalan kelestarian alam sekitar.

DBKL turut menjalankan inisiatif pertukaran sampah kepada potongan bayaran sewa rumah dan mendapatkan barangan keperluan asas menerusi program '1Komuniti 1Kitar semula (1C1R).

Menerusi inisiatif menggunakan konsep sistem barter ini, penduduk PPR yang membawa barang kitar semula ke kios 1C1R akan mendapat mata ganjaran yang boleh dikumpul dan kemudian ditukar kepada bayaran sewa rumah serta barangan keperluan harian.

Misalnya, bagi setiap satu kilogram (kg) sisa tin aluminium dikitar semula, ia mewakili 12 mata ganjaran yang boleh ditukar dengan sepeket gula, manakala setiap satu kg minyak masak terpakai diberi mata ganjaran bernilai RM2.

Jika mata sisa ini dikumpul sehingga memperoleh 1,240 mata ganjaran (50kg) ia boleh ditukarkan bayaran sewa bulanan bernilai RM124.

Terkini, DBKL bercadang memperluas penggunaan mesin automatik bagi barangan kitar semula (RRVM) berkapasiti 220 liter di kawasan tumpuan orang ramai di sekitar ibu kota. Melalui kaedah ini, setiap barang dikitar semula boleh mendapat ganjaran sebanyak lima sen yang akan dimasukkan ke akaun bank pengguna.

Di Selangor, KDEB Waste Management (KDEBWM) mensasarkan untuk membina lima pusat kitar semula bahan (MRF) pada tahun ini menjadikan jumlahnya sebanyak tujuh pusat bagi merancakkan aktiviti kitar semula.

Selanjutnya di Pahang, Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) mensasarkan 100,000kg bahan kitar semula untuk dipungut sehingga penghujung tahun ini.

Dapat disimpulkan, dalam jangka panjang, amalan kitar semula lebih menjimatkan berbanding usaha menyelenggara tapak pelupusan sampah.

Amalan ini juga dapat menyelamatkan alam sekitar kerana bahan terbuang dikitar semula, sekali gus pencemaran dikurangkan. Maka, program seperti di atas harus disebar luas dan digalakkan supaya menjadi budaya dalam masyarakat.

Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X