Isnin, 16 Mei 2022 | 11:55am
Guru menjadi tunjang terpenting dalam sistem pendidikan negara. - Foto hiasan
Guru menjadi tunjang terpenting dalam sistem pendidikan negara. - Foto hiasan

Guru berperanan terap 14 elemen SEJAHTERA

BUKAN sahaja guru, murid dan ibu bapa juga menanti-nantikan Hari Guru yang disambut pada hari ini.

Bagi pihak kerajaan, objektif sambutan adalah untuk menghargai peranan guru dalam pembinaan perpaduan dan integrasi kebangsaan, pembangunan negara serta perkhidmatan kepada masyarakat, selain menarik perhatian ibu bapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting guru dalam masyarakat.

Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di negara kita mula diadakan pada 1972 dengan tema Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara. Bermula tahun itu, sambutan diadakan setiap 16 Mei tanpa gagal. Kementerian Pendidikan (KPM) akan memilih tema relevan dengan isu semasa pendidikan negara.

Bagi tahun ini, tema dipilih ialah Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA. Relevannya tema ini adalah disebabkan guru menjadi tunjang terpenting dalam sistem pendidikan negara.

Peranan dan kefungsian guru bukan sahaja menyampaikan ilmu kepada murid, bahkan berperanan untuk memastikan murid lahir daripada sistem pendidikan negara mempunyai sahsiah serta daya saing tinggi melalui penjiwaan amalan baik diterapkan di sekolah secara semula jadi.

Dalam hal ini, guru perlu berperanan secara berkesan ke arah mewujudkan persekitaran pembelajaran menerapkan 14 elemen SEJAHTERA di dalam dan luar kelas untuk dijadikan amalan dalam kehidupan murid di sekolah dan luar sekolah.

Akronim menggabungkan 14 elemen nilai murni, iaitu S membawa maksud selamat, seronok dan sihat; E (etika dan empati); J (jati diri); A (adab sopan); H (harmoni); T (tekun, teliti, dan terampil); E (eksplorasi); R (rasional) dan A (artikulasi).

Serentak dengan kemeriahan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Kelantan pada tahun ini, dunia pendidikan kita juga dihangatkan pelbagai isu khususnya berkaitan beban tugas guru.

Ramai memberikan pandangan bahawa guru di negara kita dibebankan dengan pelbagai urusan bukan pengajaran, pengisian data secara dalam talian yang tidak perlu atau arahan membuat kerja berulang dan terpaksa terbabit dengan pelbagai program yang pada pandangan kasar hanya untuk kepentingan pihak tertentu.

Bercakap mengenai isu beban tugas, memang semua profesion dan kerjaya di negara kita ada beban tersendiri. Namun, dalam konteks beban tugas guru ini, apa dimaksudkan ialah tugasan tidak relevan dengan skop tugasan guru diberikan kepada mereka.

Harapan warga guru adalah pihak KPM dapat duduk semeja dengan pemegang taruh utama seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bagi menyelesaikan kemelut tidak berkesudahan itu.

Guru sesungguhnya perlu diberikan lebih ruang dan masa untuk melaksanakan tugasan berkait pengajaran dan pembelajaran (PdP) tanpa gangguan berat tugasan lain.

Sebagai Presiden NUTP, penulis melihat KPM juga sedang berusaha ke arah merungkaikan kekusutan itu, namun mereka tidak boleh bersendirian tanpa pembabitan pemegang taruh pendidikan yang sememangnya mempunyai pelbagai maklumat sahih dan benar daripada golongan guru pada peringkat bawah.

Tidak ketinggalan juga, ada jentikan beberapa pihak mempertikaikan berkaitan kesahan dan kebolehpercayaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dilaksanakan guru kita khususnya di sekolah rendah apabila Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dihapuskan pada 2021.

Ini kerana golongan terbabit masih tidak dapat mengeluarkan diri mereka daripada sistem persekolahan berasaskan peperiksaan yang beberapa tahun kita tinggalkan.

Sebelum ini, semua pihak bersetuju agar sistem pendidikan Malaysia dikeluarkan daripada sistem berorientasikan peperiksaan.

Dalam hal ini, KPM tidak membuat tindakan terburu-buru, tetapi pelbagai sesi percambahan fikiran, sesi libat urus membabitkan pelbagai pihak sekitar 2009 hingga 2010 diadakan. Fokus perbincangan dalam semua sesi ialah peperiksaan awam perlu dikurangkan dan dicadangkan alternatifnya.

Antara persoalan pokok dan menarik dikemukakan ketika itu ialah sekiranya tiada peperiksaan awam, bagaimanakah pihak sekolah dapat menentukan pencapaian murid secara individu dan sistem pendidikan secara keseluruhan?

Oleh itu, apabila UPSR dimansuhkan, PBD diperkasa dan dijadikan medium untuk mentaksir murid. Dengan pemansuhan UPSR, tekanan secara psikologi oleh guru berkait perbandingan antara sekolah dapat dihapuskan.

Bagaimanapun, penulis tidak menafikan guru masih memerlukan sokongan profesionalisme berterusan terhadap penguasaan pelaksanaan PBD di sekolah.

Dalam hal ini, sudah pasti ia memerlukan perancangan dan pelaksanaan rapi menuntut peruntukan kewangan banyak terutama keperluan sumber kewangan pada peringkat sekolah.

Dalam isu PBD ini, terdapat juga rungutan guru apabila terdapat sesetengah pejabat pendidikan daerah (PPD) sering meminta data berkait PBD hingga menjejaskan tumpuan guru untuk mengajar.

Tambah menjejaskan emosi guru adalah apabila data PBD diterima dijadikan perbandingan antara sekolah dan daerah.

Sepatutnya semua pihak perlu kembali kepada matlamat asal PBD, iaitu memberikan autonomi dan autoriti kepada guru dalam mentaksir murid, seterusnya merancang semula proses kemajuan murid untuk masa akan datang hasil pencapaian semasa.

Data hasil pentaksiran yang dibuat sepatutnya hanya untuk sekolah menjalankan intervensi mengikut kesesuaian dan kesediaan lokasi, bukannya perlu dilaporkan kepada pihak lain khususnya PPD.

Jika hal ini berterusan, matlamat sebenar PBD akan terkubur lantaran data PBD dijadikan perbandingan antara sekolah sama seperti era sekolah berorientasikan peperiksaan dahulu.

Besarlah harapan penulis agar 16 Mei 2022 menjadi titik mula untuk KPM meletakkan warga guru dalam posisi betul ke arah mengurangkan beban tugas tidak relevan yang masih dipikul mereka serta konsisten dalam melaksanakan PBD di sekolah tanpa berkira-kira untuk mengembalikan apa-apa bentuk ujian ala UPSR.

Penulis adalah Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP)

Berita Harian X