Ahad, 15 Mei 2022 | 11:00am
Ketiadaan dasar yang jelas dalam kalangan parti bertanding menyukarkan rakyat untuk membuat pilihan pada pilihan raya umum. - Foto hiasan/Rosela Ismail
Ketiadaan dasar yang jelas dalam kalangan parti bertanding menyukarkan rakyat untuk membuat pilihan pada pilihan raya umum. - Foto hiasan/Rosela Ismail

Manipulasi cauvinis, kebangkitan kleptokrat cetus dilema pengundi

Tentu ramai masih ingat peristiwa tujuh menteri ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir kerajaan termasuk Timbalan Perdana Menteri bergegas ke sebuah sekolah menengah di Puchong pada Januari 2020 susulan isu tanglung.

Sekolah itu kekal satu-satunya di Malaysia yang pernah dikunjungi tujuh menteri dan beberapa timbalan menteri serentak.

Sekolah itu sejak beberapa hari sebelumnya menjadi buah mulut netizen selepas mendapat bantahan kerana memasang perhiasan tanglung dikatakan agak berlebihan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Sebagai tanda perpaduan daripada kerajaan PH, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengetuai lawatan berkenaan turut menyerahkan 20 tanglung tambahan kepada pihak sekolah untuk digantung sekitar sekolah sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han.

Selain Dr Wan Azizah, turut datang ialah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abd Rahman dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching; EXCO Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Dr Mahanom Mat Sam.

Sebelum itu pula timbul polemik 'pembelasahan' sangat dahsyat terhadap usaha Menteri Pendidikan, Maszlee Malik memperkenalkan pengajaran tulisan jawi dalam subjek Bahasa Melayu bagi pelajar Tahun 4 di sekolah vernakular.

Kabinet pada 14 Ogos 2019 memuktamadkan keputusan meneruskan pembelajaran tulisan Jawi dalam Bahasa Melayu itu mulai 2020 namun perlu mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa.

Bagaimanapun, 12 pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil dilapor menolak keputusan itu.

Pertubuhan dipimpin Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mendakwa pengenalan tulisan Jawi bagi murid di sekolah vernakular tidak bertepatan keperluan sebenar pembelajaran Bahasa Melayu.

Rentetan bantahan keras itu, pada 2 Januari 2020, Maszlee mengumumkan meletak jawatan.

Dua contoh daripada pelbagai kontroversi kerajaan PH, meninggalkan bekas amat mendalam kepada orang Melayu, kaum majoriti di negara ini.

Sudah tertanam di benak fikiran mereka bukan perpaduan terhasil daripada penubuhan kerajaan PH, sebaliknya golongan cauvinis mendapat tempat hingga menjadi 'bagai kaduk naik junjung'.

Puak cauvinis dikatakan menanam, memperbesarkan dan meraih manfaat daripada isu seperti pembelajaran jawi serta tanglung supaya bukan Melayu marah kepada Melayu kononnya mereka ditindas.

Malah kerajaan PH dikatakan terpalit hipokrasi dengan membela dan melebih-lebihkan bukan Melayu atas isu dilambung kumpulan cauvinis.

Bibit rentak sumbang kerajaan terus menonjol dan denyutnya dirasai parti berasaskan Melayu dan pemimpin Melayu dalam PH.

Dari situ mula kedengaran usaha supaya tingkah mencolok mata itu dihentikan. Ini susulan beberapa pilihan raya kecil (PRK) menunjukkan orang Melayu mula menjauhkan diri daripada PH.

Dari situlah terjadinya 'Langkah Sheraton' hingga menyebabkan kerajaan PH tumbang dan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan dan dilantik sebagai Perdana Menteri Interim pada 25 Februari 2020. Selebihnya adalah sejarah.

Ramai berpendapat 'Langkah Sheraton' antara gerak kerja politik paling tak bijak dalam alaf ini. Ini kerana langkah itu dikatakan memberi semula parti dikaitkan amalan kleptokrat kuasa dalam kerajaan.

Namun, berdasarkan pemerhatian pada peringkat akar umbi mendapati rakyat keseluruhan terutama orang Melayu senang dengan perkara ini.

Kerajaan Melayu Islam Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kini Keluarga Malaysia di bawah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menamatkan kebimbangan orang Melayu 'dibuli' kumpulan minoriti seperti sebelum ini.

Malah, impak positif kerjasama BERSATU, PAS dan Barisan Nasional (BN) diterajui UMNO, nampak jelas di luar bandar.

Banyak tempat dulunya agak ketara 'ketidakmesraan' antara orang PAS dengan UMNO, kini perkara itu sejarah hampir dilupakan.

Aktiviti penduduk bersosial menjadi lebih mesra dan mudah terlaksana. Tiada lagi puak terutama susulan langkah tiga wakil kerajaan diberi peranan dalam urusan kampung.

Warga kampung mengakui keadaan sekarang sangat baik dan berharap dapat dipertahankan. Ramai berpendapat jika PH terus jadi kerajaan, orang Melayu akan jadi terpinggir secara sistematik hingga jadi seperti orang Melayu Taiwan.

Mungkin agak berlebihan analogi itu, tetapi ia pernyataan 'rasa lega' mereka terhadap corak pentadbiran negara kini.

Begitupun, ramai juga sedar potensi bahaya jika keadaan ini tidak dipertahankan dan parti tertentu terpalit kontroversi kes mahkamah umpamanya kembali berkuasa.

Apabila memikirkan kemungkinan itu, ramai tertanya semula apa pilihan mereka ada? Daripada situasi itu, ramai menyuarakan adakah PH boleh menjadi pilihan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi mengelak rakyat jatuh pula kepada keadaan pra-PRU-14?

Kumpulan kleptokrat berkuasa. Perkara besar bagi mereka adalah adakah PH sudah menebus maruahnya dan tampil dengan dasar jelas untuk kestabilan dan memacu kemakmuran negara ini.

Setakat ini, mereka sedar tiada dasar besar dan inklusif hendak dibawa PH. Kumpulan dalam PH memperjuangkan 'Malaysian Malaysia' atau Malaysia milik rakyat Malaysia dengan menolak ketuanan kaum umpamanya, tidak tampil dengan pernyataan bagaimana kesepaduan berbilang kaum hendak diterjemahkan.

Sebaliknya yang terjadi sebelum ini adalah ada kaum dibela berlebih-lebihan, seolah-olah mereka dianiaya kaum majoriti.

Kumpulan cauvinis kaum turut 'meningkat'. PKR dan AMANAH juga nampaknya tiada perancangan bagaimana Malaysia hendak dibawa.

Peluang PH untuk tebus diri mungkin terserlah jika ia berani ketengahkan dasar membina yang sudah diinginkan rakyat negara ini.

Selain dasar perekonomian, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan peluang pekerjaan, PH yang nak sangat ketengahkan isu perpaduan, patut kembangkan lagi usaha mewujudkan satu bangsa Malaysia bermula sekolah satu aliran umpamanya.

Jika PH berani tampil dengan dasar konkrit sebegini, mungkin peluangnya menebus kegagalan lalu semakin cerah, sekali gus membentangkan opsyen lebih meluas kepada rakyat negara ini.

Tapi sekarang dengan ketiadaan dasar jelas daripada PH, ramai mendakwa rakyat negara ini tersepit dengan pilihan terhad. Jika pilih PH mungkin kegagalan penyatuan silam berulang dan jika pilih satu lagi mungkin mereka terpaksa terjun semula bersama kumpulan kleptokrat.

Penulis adalah Pengarang Berita BH

Berita Harian X