Khamis, 28 April 2022 | 10:30am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Pastikan saliran lancar elak rumah 'tenggelam' ketika balik kampung

ESOK, sebahagian warga Lembah Klang akan mula pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri. Sudah pasti ramai ingin menyambut hari raya selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian, apatah lagi cuti pun agak panjang.

Sudah pasti banyak rumah termasuk di ibu kota ditinggalkan sepi tidak berpenghuni. Selain kes kecurian pada musim perayaan, nampaknya warga kota juga perlu membuat persiapan rapi sekiranya berlaku banjir kilat yang berisiko boleh menenggelamkan rumah mereka.

Secara sejarahnya, Kuala Lumpur pernah dilanda banjir besar pada 1971 hingga 60 peratus kawasannya ibarat seperti di lautan. Pada Disember tahun lalu pula, banjir besar melanda beberapa negeri terutama Selangor menjadi iktibar kerana ramai tidak bersedia menghadapi banjir yang mengorbankan banyak nyawa dan memusnahkan harta benda.

Perubahan iklim yang berlaku dengan cepat menyukarkan ramalan dibuat secara tepat mengenai bila dan di mana banjir besar akan berlaku. Lihat sahaja kejadian banjir kilat pada 7 Mac lalu yang menyaksikan enam kawasan di ibu negara dilanda banjir kilat, manakala Sungai Klang dan Sungai Gombak melepasi paras berbahaya.

Malah, Isnin lalu, sekali lagi banjir kilat melanda ibu kota dengan beberapa jalan utama seperti Jalan Segambut, Jalan Kuching, Jalan Pudu, Jalan Ampang, Jalan Genting Klang, Jalan Sungai Besi, Jalan Tun Razak dan Jalan Tuanku Abdul Halim ditenggelami air susulan hujan lebat berterusan kira-kira sejam.

Banjir sering dikaitkan faktor semula jadi melalui perubahan monsun dan tiupan angin serta faktor manusia yang selalu memikirkan pembangunan bersifat wang ringgit semata-mata tanpa memikirkan kemampanan alam sekitar.

Pembangunan pesat tidak lestari seperti kawasan perumahan tidak sesuai dengan lokasinya dan pejabat serta pusat perniagaan tidak terancang menyebabkan kawasan bandar menjadi hutan batu. Bangunan tidak dapat menyerap air hujan berintensiti tinggi, sistem saliran tidak diselenggara dengan baik dan pembuangan sampah sarap boleh mengundang banjir kilat.

Pakar berpendapat hujan lebat berterusan dalam tempoh tiga jam dengan taburan melebihi 155 milimeter boleh menyebabkan sebahagian Kuala Lumpur dan beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang tenggelam sekiranya tiada langkah mitigasi segera diambil.

Apabila membincangkan isu banjir, aspek utama ditekankan lebih terarah kepada kepentingan menyelamatkan nyawa. Namun, sekiranya kita semua membuat persiapan awal menghadapi banjir, harta persendirian boleh diselamatkan dan kerosakan boleh diminimumkan.

Oleh itu, sebelum pulang ke kampung, ada baiknya kita memastikan sistem saliran air dan perparitan di kawasan rumah berada dalam keadaan baik serta diselenggara. Di sini peranan persatuan penduduk perlu diperkasa dalam aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perumahan, terutama di kawasan longkang bagi memastikan air hujan dapat mengalir dengan baik.

Penduduk perlu memaklumkan segera kepada agensi kerajaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya terdapat masalah berkaitan longkang, pembentungan dan sungai yang mungkin menjadi punca banjir.

Dari aspek keselamatan harta pula, dokumen penting perlu dibawa bersama pulang ke kampung atau diletakkan di tempat selamat serta disimpan di dalam bekas kalis air. Haiwan peliharaan perlu dihantar ke pusat jagaan sementara atau dibawa bersama.

Perabot rumah dan kereta ditinggalkan di rumah khususnya yang berisiko terjejas dengan banjir kilat perlu dipindahkan ke tempat lebih tinggi dan selamat atau diletakkan di rumah saudara-mara tidak pulang ke kampung ketika perayaan.

Dalam keadaan ini, warga kota yang memilih atau terpaksa beraya di bandar, boleh membantu jiran yang pulang ke kampung dengan memberi maklumat semasa berkaitan banjir di kawasan perumahan dan bersedia untuk menyelamatkan harta benda jiran sekiranya banjir masih pada peringkat awal.

Warga kota juga dinasihatkan membeli insuran bencana alam banjir untuk kereta, selain sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai taburan hujan dan keadaan banjir daripada laman web Jabatan Meteorologi, Portal Bencana atau JPS.

Dari sudut keselamatan kawasan kejiranan, pembinaan penghadang banjir sementara bagi menghalang air banjir masuk ke rumah mereka seperti t di beberapa kawasan perumahan di Kelantan juga boleh diberikan pertimbangan.

Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub

Berita Harian X