Ahad, 3 April 2022 | 11:36am

Usah terperangkap momokan media sosial

RAKAMAN viral pensyarah dikatakan memperlekehkan golongan B40 ketika memarahi pelajarnya kerana tidak mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dengan menggunakan komputer mencetuskan keributan dalam media sosial.

Reaksi marah itu tidak hanya bersimpang-siur dalam dunia maya, bahkan turut menarik perhatian ahli akademik, ahli agama, pentadbir dan ahli politik yang mengeluarkan kenyataan, termasuk di media sosial atau menggunakannya untuk mengaitkan dengan usaha dijalankannya atau partinya.

Sememangnya kenyataan merendah-rendahkan golongan B40 bukan sahaja tidak wajar, bahkan bersifat prejudis sekiranya mengaitkan sesuatu kelompok dengan sesuatu sikap negatif.

Langkah pentadbir universiti merehatkan pensyarah terbabit sementara siasatan mengenai insiden dilakukan adalah tepat. Diharapkan siasatan dilakukan itu dapat memperkasa peranan, adab dan etika serta profesionalisme pensyarah secara keseluruhannya, sekali gus meningkatkan mekanisme kebajikan pelajar, terutama dalam penyediaan infrastruktur diperlukan sesuai dengan perubahan semasa.

Bagaimanapun, insiden itu mendedahkan senario yang berlaku dalam sikap dan mentaliti masyarakat tidak kira generasi lama mahupun generasi baharu dalam dunia maya yang sebenarnya meneruskan nilai negatif sebelum ini.

Rakaman itu bukan sahaja ditularkan, bahkan turut dihamburkan sekali dengan kutukan dan sumpah-seranah, malah ironinya ungkapan prejudis turut dilontarkan kepada pensyarah berkenaan. Ia belum lagi dengan perkongsian pengalaman biasanya bukan individu yang mengalaminya, sebaliknya saudara-mara atau kenalan, sekali gus garis realiti dan fiksyen menjadi kabur.

Dalam dunia media sosial, apa yang berlaku ini boleh dikaitkan dengan imej torch and pitchfork mob sinonim dengan filem Frankenstein pada 1931. Filem itu antara lain memaparkan adegan gerombolan penduduk desa mengamuk dengan membawa obor dan serampang jerami untuk membakar istana Dr Frankenstein yang mencipta raksasa, sekali gus dipercayai asal-usul ungkapan torch and pitchfork mob.

Ungkapan itu kemudian turut digunakan untuk menunjukkan kesan ikutan daripada pemikiran kelompok atau perusuh yang lebih didorong perasaan emosional atau semangat semata-mata, walaupun tindakan itu menyebabkan situasi lebih buruk.

Torch and pitchfork mob dan pemikiran perusuh ini sangat signifikan dalam cancel culture atau budaya penolakan, pengenyahan dan pemulauan yang boleh menjatuhkan seseorang atau mengeluarkannya daripada lingkungan sosial atau kerjayanya.

Diakui cancel culture boleh mendedahkan belang sebenar seseorang tokoh berkepentingan dan dikenali ramai, apatah lagi jika ia membabitkan jenayah atau sikap berbahaya seperti perkauman.

Bagaimanapun, ia juga boleh menyebabkan reaksi berlebihan dan melampau terhadap seseorang yang disasarkan, termasuk buli siber atau ancaman terhadap keselamatan diri. Ia juga membawa kepada persoalan sejauh mana masyarakat dilengkapi dengan pengetahuan dan sikap dalam interaksi mereka dengan sesuatu pendedahan individu atau penularan insiden seumpama?

Dengan mantera 'pengetahuan di hujung jari', ramai menjadikan sumber ilmu mereka adalah daripada apa diperoleh dan dicerap daripada apa yang dikemukakan dalam media sosial atau media komunikasi.

Bagaimanapun, setiap aplikasi media sosial mempunyai teknologi algoritma yang menentukan apa-apa sahaja muncul di laman media sosial seseorang adalah berdasarkan pengalaman mereka melayarinya sebelum ini, manakala media komunikasi pula biasanya membabitkan kenalan yang walaupun tidak dikenali di dunia sebenar, memiliki banyak persamaan daripada cara berfikir hingga cara bergaya.

Hal ini yang menyebabkan seseorang bukan sahaja kurang terdedah dengan pendapat atau input berlainan, bahkan apa sahaja diterima, termasuk fakta sudah pun dibentuk untuk mengukuhkan pandangan atau sikapnya. Harus diingatkan ia tidak hanya berlaku kepada generasi muda, bahkan sindrom sama ditunjukkan dalam generasi lebih berusia, termasuk dalam kalangan mereka yang sepatutnya dimatangkan dengan usia.

Hal sebegini sekiranya bergabung dengan ketiadaan penerapan pendidikan akhlak, moral dan etika diperlukan dalam komunikasi media, ia menyebabkan reaksi terhadap sebarang insiden seperti yang berlaku akan lebih memburukkan keadaan lagi. Inilah yang mengulangi babak torch and pitchfork mob seperti yang berlaku dalam filem Frankenstein itu, iaitu reaksi diberikan bukan sahaja menyamai kesalahan atau keburukan, bahkan cenderung melampau.

Di sinilah sebenarnya kita memerlukan sikap bijaksana dan sifat budiman diperlihatkan golongan seperti ahli akademik, birokrat serta ahli politik dengan tidak turut sama melompat ke dalam bandwagon kumpulan 'warga media sosial' yang marah-marah itu.

Dalam hal ini, pepatah dahulu sangat wajar menjadi sempadan kepada golongan sebegini, iaitu hendak memadam api tengah menyala, disiramkan minyak pula ke atasnya. Pada masa sama, penekanan terhadap aspek teknologi, termasuk Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) bukan sahaja dari aspek infrastruktur, bahkan lebih penting secara intelektual dan spiritual hingga kita tidak terus mengulangi babak torch and pitchfork mob itu dalam bentuk baharu.

Pengarang Berita (Minggu dan Rencana) BH

Berita Harian X