Khamis, 2 Disember 2021 | 10:00am
Pelan strategik 2021-2025 yang akan dilancar memperkukuhkan lagi peranan dan kedudukan UPM sebagai menara ilmu
Pelan strategik 2021-2025 yang akan dilancar memperkukuhkan lagi peranan dan kedudukan UPM sebagai menara ilmu

Universiti mesti berfikiran global, bertindak secara lokal

Kurang tempoh sebulan daripada sekarang, kita akan melangkah ke tahun baharu 2022. Banyak pihak melihat 2021 sebagai kesinambungan daripada 2020, apabila kita masih lagi berhadapan dengan impak penularan pandemik COVID-19.

Meskipun kes positif COVID-19 menurun dengan tahap vaksinasi rakyat Malaysia yang tinggi, kita perlu kekal berjaga-jaga.

Lebih-lebih lagi, pengumuman Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kelmarin bahawa fasa peralihan daripada pandemik kepada endemik ditangguhkan susulan penularan varian membimbangkan (VOC) COVID-19 dikenali Omicron.

Mesyuarat Kuartet COVID-19 memutuskan supaya usaha untuk peralihan kepada fasa endemik ditangguhkan seketika sehingga kementerian mengetahui lebih lanjut mengenai varian Omicron yang sudah ditemukan di beberapa negara seperti Australia, Belgium, Botswana, Britain, Denmark, Jerman, Hong Kong, Israel, Itali, Belanda, Perancis, Kanada dan Afrika Selatan.

Institusi pendidikan tinggi (IPT) antara paling terkesan dengan penularan pandemik COVID-19. Banyak webinar diadakan sepanjang tahun ini bagi menganalisis impak penularan pandemik kepada kelangsungan sistem pengurusan IPT, termasuk pengurusan risiko serta soal pemerkasaan dalam kepemimpinan agar institusi dapat dipimpin dengan baik dalam tempoh sukar ini.

Satu perubahan besar dapat dilihat apabila universiti memugar kembali fungsi dan peranan mereka seiring dengan matlamat penubuhannya.

Hubungan universiti dan masyarakat semakin diakrabkan apabila proses pemindahan ilmu kian rancak dengan memberi tumpuan kepada impak penularan pandemik COVID-19 dalam pelbagai bidang kepakaran.

Tidak dinafikan, penularan pandemik COVID-19 menjadikan IPT kita lebih bersifat nasionalistik. Ahli akademik di universiti misalnya, sentiasa memikirkan bagaimana ilmu dan kepakaran mereka boleh disumbangkan untuk mensejahterakan masyarakat.

Hal ini sangat jelas dalam aspek perubatan, kesihatan awam, ekonomi, teknologi, pendidikan dan sains politik yang dizahirkan melalui advokasi awam.

Kita harus mengakui bahawa pembangunan negara bangsa bergantung kepada kekuatan ilmu yang dimiliki oleh masyarakat, khususnya kumpulan intelektual.

Berdasarkan tuntutan semasa, kita perlu beranjak daripada paradigma 'ilmu untuk ilmu' kepada 'ilmu untuk masyarakat'.

Kesepaduan ilmu sangat kritikal dalam kita membangunkan negara, terutama dalam situasi sukar ketika ini mengekang penularan COVID-19.

Negara perlu memanfaatkan kepakaran ahli akademik dan kumpulan intelek awam agar mereka boleh menyumbang kepada kemakmuran Malaysia.

Bidang seperti perubatan dan kesihatan awam, ekonomi, pendidikan dan latihan dan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) serta sains sosial, sangat penting untuk menjadi ramuan kepada pembangunan negara bangsa.

Pada masa sama, keperluan untuk berfikir di luar kotak dan melihat amalan terbaik di luar juga penting asalkan ia kembali menyumbang kepada keperluan negara.

Dalam hal ini, konsep 'berfikiran global, bertindak lokal' boleh menjadi pendekatan terbaik dalam memacu pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat.

Sehubungan itu juga, timbul persoalan tentang bagaimana dalam situasi sukar seperti tempoh pandemik ini, kita mampu membina korpus ilmu sendiri dan mulai tidak lagi banyak bergantung kepada ilmu Barat.

Teori Barat yang diagungkan selama ini tidak semestinya dapat menyelesaikan masalah di tempat yang berbeza. Malah, ia sewajarnya boleh ditambah baik dengan input dan ilmu yang dibina sendiri oleh akademia tempatan berdasarkan situasi sebenar.

Perkara ini pernah dibincangkan secara tuntas oleh Prof Dr Zaid Ahmad pada program Bicara Kenegaraan yang mengupas tema 'Berfikiran Global, Bertindak Lokal' beberapa bulan lalu, anjuran Akademi Kepemimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Berdasarkan perbincangan oleh barisan panel, sudah tiba masanya kita memberi tumpuan kepada pembangunan ilmu tempatan yang dapat menyelesaikan isu dan cabaran setempat.

Namun, bagi menjayakan perkara ini, ia perlu dibantu dengan pelbagai faktor seperti dana atau bantuan kewangan.

Untuk menjana ilmu baharu, ia memerlukan banyak proses penyelidikan. Menurut seorang panel lagi, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, antara cabaran penyelidik Malaysia untuk membangunkan ilmu sendiri khususnya dalam bidang perubatan ialah kos yang tinggi.

Jelas beliau, Malaysia sebenarnya mempunyai ramai ahli penyelidik terkemuka, namun mereka juga sangat bergantung kepada dana penyelidikan bagi membangunkan ilmu dan penemuan sendiri.

Baru-baru ini, penyelidik UPM terpilih untuk mengetuai penyelidikan bagi membangunkan vaksin COVID-19. Kajian ini turut dijayakan oleh kumpulan penyelidik daripada Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) dan pakar Universiti of Oxford dengan menggunakan Newcastle Disease Virus (NDV) untuk membangunkan vaksin itu.

Kajian yang dimulakan pada Mac tahun lalu juga menerima peruntukan RM2.7 juta di bawah MOSTI Combating COVID-19 Fund (MCCOF) di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Kita percaya perkembangan ini titik permulaan bagi penyelidik di Malaysia untuk membangunkan vaksin bagi penyakit lain pada masa depan.

Tidak mustahil suatu masa nanti, vaksin yang dibangunkan ini boleh menjejaki kejayaan vaksin AstraZeneca yang dicipta Sarah Gilbert, iaitu profesor vaksinasi daripada University of Oxford.

Apa yang membanggakan, beliau menolak untuk mematenkan supaya vaksin terbabit dapat dijual pada harga murah.

Secara tuntasnya, universiti perlu ke hadapan dengan strategi yang tepat, iaitu berfikiran global, bertindak lokal.

UPM sebagai contoh, sebuah universiti penyelidikan bereputasi antarabangsa akan melancarkan Pelan Strategik UPM 2021-2025 esok.

Dokumen hala tuju universiti bagi tempoh lima tahun ini bakal memperkukuhkan lagi peranan dan kedudukan UPM sebagai sebuah Menara Ilmu.

Konsep universiti sebagai menara ilmu yang disantuni oleh warga UPM diketuai Naib Canselornya, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman, akan berusaha memenuhi apa yang disifatkan universiti sebagai berfikiran global, bertindak lokal.

imbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X