Rabu, 13 Oktober 2021 | 10:30am
Keupayaan membuat keputusan betul dan berkualiti oleh penjawat awam sangat diharapkan rakyat.
Keupayaan membuat keputusan betul dan berkualiti oleh penjawat awam sangat diharapkan rakyat.

Komitmen penjawat awam pemangkin kejayaan RMK-12

Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) jelas bertujuan menangani isu semasa, sekali gus memulih dan merancakkan semula pembangunan sosioekonomi negara.

Pelan pembangunan berobjektifkan Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan ini menjadi RMK pada separuh pertama Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dalam membawa kesejahteraan kepada Keluarga Malay- sia.

Ia cuba dicapai dengan menstruktur semula ekonomi bersama penjajaran kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di bawah Agenda 2030.

RMK-12 mempertaruhkan tiga tema, empat pemangkin dasar dan 14 pemacu perubahan. Pendekatan ini sangat penting dalam usaha memulihkan pertumbuhan ekonomi, menangani cabaran sosioekonomi, mengimbangi pembangunan antara wilayah serta meningkatkan daya saing negara pada era pandemik COVID-19.

Dalam pelaksanaan hal ini, komitmen penjawat awam sentiasa ditagih dan tidak pernah terlepas daripada tanggungjawab besar. Ia jelas digariskan pada pemangkin dasar keempat menegaskan memperkukuh penyampaian perkhidmatan sektor awam.

Usaha ini menumpu kepada membangunkan perkhidmatan awam berprestasi tinggi, memantapkan pendekatan keseluruhan kerajaan dan menambah baik pengurusan belanjawan serta projek.

Pertama, membangunkan perkhidmatan awam berprestasi tinggi dapat dicapai dengan adanya penjawat awam berkemahiran memimpin, berdaya fikir inovatif dan bermandiri menghadapi cabaran.

Nilai kompeten ini diyakini mampu meningkatkan pencapaian penjawat awam, sekali gus meyakinkan rakyat terhadap perkhidmatan berkualiti seperti dijanjikan.

Bagi tujuan itu, sudah tiba masanya peranan bahagian pengurusan dan kompetensi khususnya pembangunan modal insan setiap organisasi diperkasakan.

Program latihan berstruktur dinamik, aturan kerja fleksibel, sistem ganjaran komprehensif, pelan penggantian jelas serta laluan kerjaya kukuh harus menjadi tumpuan. Menetapkan standard upaya lebih tinggi berbanding negara serantau juga perlu diusahakan.

Pemupukan nilai murni dan etika cemerlang menjadi aspek penting diambil kira dalam membina serta mengekalkan penjawat awam terbaik dan berprestasi tinggi. Penjawat awam harus menjadi suri teladan dengan keupayaan bekerja dalam satu pasukan serta tidak mementingkan diri sendiri semata-mata.

Oleh itu, RMK-12 menyasarkan 90 peratus purata skor dalam Sistem Pengurusan Audit Nilai menjelang 2025.

Kedua memantapkan pendekatan keseluruhan kerajaan melalui proses dan sistem. Ia tertumpu kepada menambah baik pentadbiran dan kecekapan operasi, meningkatkan keupayaan membuat keputusan serta memperkukuhkan ekosistem tadbir urus.

Semua ini menagih komitmen luar biasa seluruh penjawat awam. Sesungguhnya pandemik COVID-19 tidak memberi pilihan kepada penjawat awam untuk bertangguh dalam hal ini.

Contohnya, transformasi pengetahuan dan penguasaan digital oleh penjawat awam bukan lagi satu pilihan tetapi kemestian.

Dalam usaha memperluas inisiatif pendigitalan pasca pandemik, penjawat awam perlu serius beradaptasi dengan cepat dengan menyingkir perasaan takut mencuba. Malah, penjawat awam perlu bersedia dalam memperkukuh tadbir urus data terbuka.

Keupayaan membuat keputusan betul dan berkualiti oleh penjawat awam sangat diharapkan rakyat.

Ketidakupayaan mampu menjadi duri dalam daging dalam perkhidmatan awam, sekali gus menggagalkan usaha pendekatan keseluruhan kerajaan. Kredibiliti ekosistem tadbir urus boleh terjejas dan musnah.

Oleh itu, peranan penjawat awam sebagai ejen perubahan harus dipertahankan dengan menyandarkan nilai integriti, akauntabiliti dan ketelusan.

Dalam meningkatkan pendekatan keseluruhan kerajaan, RMK-12 menyasarkan kedudukan Subindeks Kecekapan Kerajaan dalam World Competitiveness Yearbook untuk berada dalam kedudukan sembilan teratas menjelang 2025.

RMK-12 juga bercita-cita menetapkan Malaysia berada dalam 30 teratas dalam Kedudukan Indeks Persepsi rasuah oleh Transparency International.

Ketiga, memantapkan pengurusan belanjawan dan projek demi mencapai keberhasilan dikehendaki. Dalam RMK-12 kerajaan berusaha meningkatkan pengurusan kewangan awam berhemat serta penyampaian hasil pembangunan cekap.

Dalam hal ini, kemahiran penjawat awam dituntut dalam keupayaan mengkaji semula rangka dan proses setiap peruntukan.

Keupayaan penjawat awam dalam menjajarkan semula keutamaan belanjawan khususnya projek berimpak tinggi dan memberi manfaat rakyat terbanyak sangat diharapkan. Begitu juga dengan penambahbaikan keberkesanan pelaksanaan serta mempertingkatkan mekanisme penyampaian setiap projek dirancang dan diluluskan.

Kecekapan penjawat untuk menganalisis dan menaakul khususnya mereka yang berada pada peringkat pembuatan keputusan adalah sangat kritikal.

Oleh itu, menjelang 2025, RMK-12 menyatakan komitmen bagi Peratusan Baki Fiskal pada 3.0 peratus hingga 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala Skor Minimum Open Budget Indeks oleh International Budget Partnership disasarkan kepada kedudukan 61/100.

Sesungguhnya RMK-12 satu usaha sangat mencabar demi kelangsungan pembangunan negara. Inilah masanya penjawat awam benar-benar berkorban dengan menumpahkan seluruh keringat kebijaksanaan dan hening cipta masing-masing.

Memulangkan kembali kepercayaan kerajaan dan rakyat dengan menunjukkan prestasi bersungguh-sungguh adalah sangat dituntut. Setiap penjawat awam perlu bersama-sama membina masa hadapan Malaysia lebih baik dengan kemakmuran boleh dinikmati semua.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Berita Harian X