Isnin, 11 Oktober 2021 | 11:15am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

'Demokrasi kritik pemimpin jadi budaya parti politik kini'

KRISIS politik di Melaka yang membawa kepada pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), ibarat kini sudah sebelah kaki melangkah ke arah pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Namun, sama ada PRN akan berlaku di Melaka atau sebaliknya, ia tertakluk kepada pengisytiharan darurat. Dikhabarkan keputusan itu bakal dibuat dalam tempoh terdekat.

Dari satu segi, ada yang mempertikaikan keputusan pembubaran DUN yang dibuat kononnya ia satu kesilapan. Namun dilihat dari segi perundangan negeri, ia sebenarnya langkah yang betul.

Di mana-mana negeri sekali pun, apabila Speaker DUN menyatakan kerajaan sudah tiada majoriti, pembubaran akan dicadangkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya.

Cuma kaedah di Perak pada 2009 atau pada peringkat Pusat pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) harus dijadikan rujukan. Sultan Perak menolak pembubaran DUN selepas meneliti pendirian semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Begitu juga pertukaran Perdana Menteri sebanyak dua kali. Itu cara paling baik dalam keadaan pandemik COVID-19 sekarang, apabila pilihan raya tidak boleh atau sukar diadakan.

Namun, satu sudut berasingan beranggapan lebih elok jika dipanggil empat ADUN yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan dapatkan kepastian mengapa sokongan ditarik.

Empat ADUN terbabit ialah Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).

Tidak dinafikan, sekilas pandang seolah-olah ada komplot untuk menjatuhkan kerajaan UMNO di Melaka, khususnya dengan pembabitan Idris serta Nor Azman yang masing-masing mewakili UMNO. Namun, tujuan sebenar mereka dilihat tidak lebih sekadar menukar Ketua Menteri.

Realitinya, politik di Malaysia semacam satu budaya. Jika sesuatu perkara itu pernah dilakukan, kenapa tidak selepas itu diteruskan. Sebagai contoh sejarah DUN Sarawak, apabila berlaku darurat di negeri itu, ada kemungkinan untuk ia berlaku juga di Melaka.

Di Sabah pula, sejarahnya apabila diadakan PRN, menjadi masalah besar sehingga seluruh negara terpaksa dikuarantin di rumah hampir empat bulan.

Apakah kita mahu menghadapi situasi seperti itu sekali lagi? Sebab itu penting sesuatu tindakan dirujuk kembali kepada sejarah.

Kembali kepada isu di Melaka, individu mengetuai penarikan sokongan bukan calang-calang. Idris adalah bekas Ketua Menteri Melaka dan beliau mendakwa ada unsur rasuah, tadbir urus tidak betul dan kewujudan warlord atau panglima perang itu sendiri yang digelar beliau sebagai 'singa'.

Beberapa penganalisis mengatakan apa yang berlaku di Melaka sebenarnya satu eksperimen. Maksudnya, kalau boleh berlaku perubahan tampuk pentadbiran di Melaka, kenapa tidak dibuat juga di tempat lain.

Misalnya di Johor, walaupun semua pihak menjunjung titah Sultan Johor supaya tidak membuat gerakan menjatuhkan kerajaan negeri, tetapi cakap orang politik ini boleh berubah mengikut keadaan.

Jadi, kemungkinan 'wabak' di Melaka untuk berjangkit itu ada. Cuma barangkali kalau berada pada pemikiran waras, mereka akan kembali kepada kaedah perubahan Kerajaan Pusat baru-baru ini - di mana gencatan politik dilakukan terlebih dahulu, tanpa perlu ada 'lompat' sana sini sehingga kerajaan tumbang.

Melihatkan penjajaran politik, Speaker DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka mengeluarkan kenyataan, sedia berunding dengan parti yang boleh bekerjasama dengan UMNO. Ibaratnya UMNO seperti sudah terjerat kerana sebelum ini lantang menguar-uarkan hasrat bertanding sendirian.

Ketika PRU-14, semua kerusi DUN yang memiliki 50 peratus pengundi Melayu dimenangi UMNO kecuali di kawasan bandar dan separa bandar. Berdasarkan teori pilihan raya di Malaysia, jika kerusi itu dimenangi dengan majoriti 2,000 ke atas, parti lain tak boleh menang.

Namun, melihatkan kerusi DUN Semenyih pada PRU-14, BERSATU menang dengan majoriti 8,964 undi. Apabila diadakan Pilihan Raya Kecil, parti itu tewas dengan majoriti 1,904 undi di kerusi sama. Maknanya, pengundi sudah balik kepada UMNO dan BN.

Mungkin itu sebabnya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berani menyatakan mahu bertanding sendirian pada peringkat Persekutuan.

Bagaimanapun, realiti harus diterima bahawa agak sukar dianalisis keadaan semasa ketika UMNO kini boleh dianggap mempunyai dua nakhoda. Keputusan tiada kerjasama dengan BERSATU dibuat UMNO di bawah kepemimpinan Ahmad Zahid. Mungkin perubahan akan berlaku jika ditakdirkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diangkat sebagai Presiden pada pemilihan parti kelak.

Jika dilihat, kebanyakan pemimpin UMNO di belakang Perdana Menteri sekarang adalah golongan yang cenderung kepada kerjasama dengan BERSATU atas nama Perikatan Nasional (PN).

Namun, fakta menarik dalam isu di Melaka yang perlu diteliti adalah penentangan terbuka sehingga mengundang pembubaran DUN. Ia budaya baharu dalam parti berusia lebih tujuh dekad itu.

Dulu, pemimpin UMNO tidak akan berani bersuara dan mengkritik. Jika ada pun kes seperti Tan Sri Shahrir Samad pada 1988 dan itu juga dianggap terpencil.

Yang jelas, budaya ini berlaku pasca PRU-14, di mana demokrasi dilihat sebagai satu hak - baik oleh pemimpin UMNO, ahlinya dan juga masyarakat untuk mengkritik parti.

Apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih teraju Kerajaan Pusat melalui PRU-14, situasi demokrasi jauh berbeza berbanding ketika zaman Barisan Nasional (BN) mentadbir.

Jika dulu, anak muda tak berani mengkritik di media sosial apabila ada isu sensitif membabitkan kerajaan kerana ada yang berakhir dengan tangkapan. Apabila PH membuka demokrasi itu, kita dapati UMNO sendiri memainkan isu Melayu, manakala PAS memainkan isu Islam.

Inilah antara punca yang memberi kesan kepada politik sekarang termasuk dalam UMNO. Apabila tak puas dengan Presiden, mereka akan bercakap. Mereka berani kata ini yang betul dan itu tak betul dalam UMNO.

Akhirnya pada satu peringkat, seramai 23 Ahli Parlimen UMNO menyokong Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan seolah-olah meminggirkan Presiden mereka sendiri.

Apabila Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri pula, semakin jelas dilihat seperti ada kem dalam UMNO diterajui Ahli Parlimen Bera itu dan Ahmad Zahid selaku Presiden.

Hakikatnya, apa yang berlaku dalam UMNO ada persamaan dengan Indonesia sejak 10 tahun lalu. Ketua Umum PDI-Perjuangan adalah Megawati Sukarnoputri, tetapi yang diangkat sebagai Presiden Indonesia adalah Joko Widodo atau Jokowi. Bagaimanapun Megawati tidak mengganggu Jokowi.

Cuma bezanya dalam konteks di Malaysia, baru sebulan Ismail Sabri diangkat Perdana Menteri, macam-macam kenyataan Ahmad Zahid keluarkan.

Berita Harian X