Isnin, 5 April 2021 | 11:01am
 Pembabitan komuniti penting dalam usaha menangani keciciran pelajar. - Foto hiasan/Nik Abdullah Nik Omar
Pembabitan komuniti penting dalam usaha menangani keciciran pelajar. - Foto hiasan/Nik Abdullah Nik Omar

Masalah pendidikan bukan sekadar isu pematuhan SOP

Semalam dan hari ini, pelajar peringkat menengah pula kembali ke sekolah untuk memulakan sesi tahun baharu persekolahan.

Semua sekolah semestinya bersiap siaga menguruskan hal berkaitan, supaya prosedur operasi standard (SOP) ketika menerima pelajar kembali ke sekolah, dapat dipatuhi semua.

Kita tidak mahu kejadian 13 pelajar dihalang mengambil beberapa kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana ada rakan didapati positif COVID-19 berulang. Ia harus dijadikan iktibar.

Di samping semua pihak memandang kepada aspek pematuhan SOP, ada beberapa hal lain sebenarnya tidak harus dipandang sepi.

Ketika seluruh dunia menutup persekolahan pada Mac 2020 dan beralih kepada pendekatan alternatif demi menghindari pandemik, ketika itulah rakyat sedar betapa berdiri sektor pendidikan negara bukan semata-mata terletak pada bahu guru dan pentadbiran sekolah.

Sebaliknya, ia turut meliputi tanggungjawab ibu bapa dan komuniti. Maka, pandemik menjadi bukti keterbabitan kolaborasi ibu bapa dan komuniti memandu perkembangan dan pendidikan anak yang positif, selama ini bukan menjadi wadah utama.

Hasilnya, cacamarba pendidikan dalam talian yang menjadi platform alternatif disaran Kementerian Pendidikan (KPM), menjadi bukti pendidikan berkualiti yang berteraskan adil, saksama dan inklusif, jauh panggang daripada api.

Malaysia tidak terlepas bencana ini. Hampir 36 peratus atau 1.8 juta pelajar tiada akses pembelajaran dalam talian dengan pelbagai faktor.

Angka mencecah dua juta ini adalah generasi muda yang dipinggirkan dan dinafikan hak mereka kepada pendidikan, apatah lagi hendak berbicara mengenai pendidikan yang berkualiti.

Maka, pembukaan persekolahan tahun ini membuka satu lembaran untuk menukar gerak kerja, tetapi pada masa sama masih ke arah tuntutan Falsafah Pendidikan Negara - ke arah perkembangan individu yang holistik.

Beberapa langkah perlu dikenal pasti, selain mata kita tertumpu kepada SOP yang tidak mengenal darjat, pangkat dan sosioekonomi.

Apabila pendedahan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati 424,000 kanak-kanak Malaysia mengalami masalah kesejahteraan kesihatan mental, ia adalah penggera kepada negara untuk bangkit daripada lena.

Statistik itu dijangka meningkat, memandangkan peningkatan kadar kesihatan mental seperti tekanan ketika pembelajaran dalam talian, meningkat dalam semua peringkat pendidikan.

Ini ditambah dengan penderaan domestik yang juga meningkat tiga kali ganda ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Sedarlah, walaupun ada dalam kalangan anak kita sudah cukup kemudahan pembelajaran dalam talian, ada antara mereka tidak boleh turut serta dek kesejahteraan mental yang terancam.

Jika dahulu persekolahan dihujani masalah sosial seperti buli, ponteng dan rokok, kini kesihatan mental perlu kita awasi kerana ia bertindak seperti api dalam sekam yang membunuh dalam diam.

Bahkan, jangan sekali-kali kita pejam sebelah mata untuk menidakkan keadaan kesihatan guru yang berdepan dengan lesu upaya (burnout), yang menemani mereka sepanjang penutupan sekolah.

Warga pendidik perlu meningkatkan usaha berganda demi memastikan murid tidak ketinggalan.

Sudah tiba masanya, KPM meningkatkan usaha mengenal pasti dan menangani peratusan pelajar dan guru yang berdepan masalah kesihatan mental serta lesu upaya.

Dalam konteks sistem pendidikan yang baik, ia perlu dibantu pemegang taruh demi mencapai pendidikan yang efektif dan berkualiti. Melalui konteks ini, semua entiti dilihat berupaya membantu Malaysia untuk sama-sama menolong anak bangsa mendapatkan hak pendidikan yang sepatutnya.

Ia bukan semata-mata tugas seorang adiwira untuk membantu pelajar, tetapi kebersamaan masyarakat sangat perlu demi memastikan negara berada pada landasan betul.

Seluruh dunia menghargai pembabitan komuniti dalam usaha menangani keciciran pelajar. Di Malaysia, gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menunjukkan usaha sama progresif dan kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan mereka.

Tidak perlu menuding jari, ini tugas siapa sepatutnya, persoalan ini akan melembabkan gerak kerja untuk menyelamatkan pelajar yang tercicir daripada pembelajaran, berbanding menjadikan mereka sebagai rakan seperjuangan.

Peribahasa Afrika ada menyatakan, 'Ia memerlukan seluruh kampung untuk membesarkan anak.' Benar, jika elok perbuatannya, satu kampung dipuji. Jika sebaliknya, seluruh kampung juga sepatutnya dikeji.

Walaupun ibu bapa dan anak tidak sabar kembali ke sekolah selepas sekian lama bercuti, masyarakat perlu sedar dalam kalangan kita ada yang masih tidak mendaftar ke sekolah.

KPM masih melaksanakan dasar sifar penolakan demi membuktikan ratifikasi kita terhadap Konvesyen Hak Asasi Kanak-Kanak Sedunia bukan satu boneka tidak menafikan hak kanak-kanak mendapatkan pendidikan yang berkualiti. Isu sedia ada perlu kita sedar berkenaan akses dan mobiliti.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan krisis COVID-19 mendorong jutaan kanak-kanak untuk bekerja dan berisiko menjadi buruh bukan pada usia sepatutnya.

Ditambah pula isu kehadiran pelajar menengah khususnya yang kian meruncing demi mencari sesuap nasi dan berkongsi nafkah serta gaji kepada keluarga. Malah, status ibu bapa yang diberhentikan kerja akan menggalakkan lagi pelajar ini memilih jalan mencari duit di jalanan, berbanding berada di alam persekolahan.

Pengarah Eksekutif Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Henrietta Fore, menyatakan pendidikan berkualiti, perkhidmatan perlindungan sosial dan ekonomi yang lebih baik, bakal mengubah keadaan ini daripada terus berlaku.

Tidak dinafikan, melalui sudut pandang pendidikan bahawa COVID-19 membenarkan segala teori dan pendekatan pendidikan dilaksanakan. Bagaimanapun, COVID-19 juga yang membuktikan kelemahan pelaksanaan dan pendekatan pendidikan memerlukan 1,001 penambahbaikan.

Tidak guna untuk kita meluncur laju ke puncak tertinggi, tetapi pada masa sama generasi muda terpaksa terkorban.

Pelajar adalah modal insan yang perlu kita gilap untuk mereka berkilau indah pada masa hadapan. SOP adalah langkah fizikal yang perlu kita khuatiri keberkesanannya apabila sekolah dibuka.

Namun, aspek seperti penjagaan kesejahteraan mental pelajar dan kanak-kanak, masalah sosioekonomi rakyat yang memuncak serta kerjasama masyarakat perlu juga berada pada tempat teratas dalam dasar dan gerak kerja Malaysia.

Sasarannya untuk memastikan semua masalah ini dapat diatasi secara bersama dalam memenangkan pendidikan anak.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Berita Harian X