Isnin, 22 Februari 2021 | 11:30am
PERJALANAN singkat dan SOP ketat seperti pemakaian pelitup muka serta penjarakan fizikal antara faktor dapat mengelak COVID-19 merebak dalam pengangkutan awam.
PERJALANAN singkat dan SOP ketat seperti pemakaian pelitup muka serta penjarakan fizikal antara faktor dapat mengelak COVID-19 merebak dalam pengangkutan awam.

Pulih keyakinan rakyat guna pengangkutan awam

SISTEM pengangkutan awam di negara ini menghadapi pelbagai cabaran, tetapi COVID-19 memberikan kesan berganda sejak diisytihar sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac tahun lalu.

Kementerian Pengangkutan mengeluarkan garis panduan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) merangkumi pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman dan penjarakan fizikal ketika di terminal, stesen atau dalam kenderaan.

Ini bertujuan mengurangkan interaksi sesama penumpang dan mengelak kapasiti terlalu padat, terutama pada waktu puncak.

Bagaimanapun, penurunan bilangan penumpang perkhidmatan bas henti-henti, perantara, perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), monorel, Transit Aliran Massa (MRT), Express Rail Link (ERL) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terus direkodkan.

Paling ketara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu dengan tempoh antara 18 hingga 22 Mac, iaitu KTM Komuter mencatatkan penurunan 89.25 peratus, RapidRail termasuk LRT, MRT dan Monorel (95.09 peratus) serta ERL (87.08 peratus).

Ini meliputi pengangkutan bas, termasuk bas henti-henti, bas percuma seperti GoKL dan Smart Selangor, semua bas perantara dengan penurunan 91.63 peratus.

Hasil kaji selidik dijalankan WapCar, iaitu hab kandungan automotif berasaskan teknologi mendapati lebih 90 peratus rakyat Malaysia bimbang menggunakan pengangkutan awam dalam persekitaran penularan COVID-19 dan lebih cenderung memandu kenderaan sendiri sebagai langkah keselamatan.

Ini disokong laporan Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM) memaklumkan peningkatan penjualan kereta terpakai bermula Jun lalu, terutama berharga RM30,000 ke bawah melonjak lebih 100 peratus.

FMCCAM yang menguruskan 4,325 wakil penjual juga memaklumkan kenderaan terpakai menjadi komoditi paling laris, termasuk untuk berjimat dalam iklim ekonomi tidak menentu.

Tambahan pula, insentif kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bersama Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) menyaksikan penjualan kereta baharu dan terpakai mencatatkan peningkatan memberangsangkan bermula suku kedua tahun lalu.

Bagi sektor automotif, PENJANA menawarkan 100 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) pemasangan tempatan sepenuhnya (CKD) serta 50 peratus pengecualian cukai jualan untuk kenderaan penumpang, SUV dan MPV import sepenuhnya mulai 5 Jun hingga 31 Disember lalu merancakkan lagi sektor ini.

Tambahan pula pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas kepada 2 peratus pada 5 Mei 2020 dan 25 mata asas lagi ke paras terendah, iaitu 1.75 peratus pada 7 Julai di samping pengecualian cukai, PENJANA terus memacu lebih banyak penjualan baharu.

Terbaru, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) pada 18 Januari lalu, mengumumkan perlanjutan pengecualian cukai jualan kereta penumpang untuk tempoh enam bulan hingga 30 Jun depan.

Persoalannya, apakah keadaan ini akan dapat membantu sistem pengangkutan awam untuk kembali beroperasi seperti sebelum pandemik COVID-19?

Laporan dan kajian terdahulu berkaitan pengangkutan awam menyaksikan pelbagai cara sudah dan cuba dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat.

Pengangkutan awam antara alternatif kepada pemilikan kenderaan sendiri, selain membantu menyelesai dan mengurangkan kesesakan jalan raya.

Ia juga mengurangkan kos sara hidup membayar pinjaman kenderaan dan mampu menyelamatkan alam sekitar dengan penjimatan tenaga serta pengurangan penggunaan bahan bakar.

Sehingga Disember 2019, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaporkan jumlah kenderaan berdaftar di negara ini mencecah 31.2 juta kenderaan, manakala jumlah penduduk pada suku keempat 2020 seperti dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia mencecah 32.72 juta orang (perbezaan cuma 1.52 juta sahaja).

Beberapa kajian dijalankan di luar negara seperti di Paris dan Tokyo menunjukkan tidak banyak kes COVID-19 membabitkan kluster pengangkutan awam.

Saintis berpendapat ia disebabkan pengangkutan awam mempunyai sistem ventilasi baik, tidak sesak dengan penumpang dan bukan tempat orang ramai akan berborak panjang sehingga meningkatkan risiko penyebaran wabak di pengangkutan awam.

Selain itu, saintis berpendapat masa perjalanan singkat dan SOP ketat dilaksanakan seperti pemakaian pelitup muka serta penjarakan fizikal juga antara faktor mengelak merebaknya COVID-19 dalam pengangkutan awam.

Pihak pengurusan bandar Milan di Itali contohnya, membuat keputusan mengejutkan pada hujung Mei tahun lalu dengan membenarkan operasi tren dan bas sehingga kapasiti 80 peratus dengan syarat penumpang wajib memakai pelitup muka ketika menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Penambahan kes COVID-19 masih memperlihatkan aliran mendatar, sekali gus menunjukkan penggunaan pengangkutan awam bukan dianggap berisiko tinggi, jika penumpang mempunyai disiplin diri tinggi dan mematuhi SOP ditetapkan.

Tidak dinafikan pengangkutan, perkhidmatan kesihatan dan pemerkasaan komuniti antara faktor penting, namun jika kita semua mematuhi SOP norma baharu yang disediakan, keupayaan untuk melandai dan memutuskan rantaian COVID-19 ini dapat dicapai.

Cabaran paling besar kita hadapi dalam usaha menggalakkan penggunaan pengangkutan awam pada zaman pasca COVID-19 adalah memulihkan keyakinan orang awam dan pematuhan SOP pengguna.

Tidak dapat dinafikan keyakinan ini tidak mudah dipulihkan, namun dengan disiplin kendiri tinggi dan pematuhan SOP ketat, kita percaya dapat memulihkan tahap penggunaan pengangkutan awam ke tahap sebelum penularan COVID-19.

Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pengangkutan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pihak berkuasa lain pasti akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Penulis Nik Ibtishamiah adalah Pegawai Penyelidik di Centre for Transportation Research (CTR), Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM), manakala Choon Wah adalah Ketua CTR UM

Berita Harian X