Rabu, 13 Januari 2021 | 11:01am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Darurat kurangkan kerenah birokrasi tangani pandemik

DARURAT di bawah Perkara 150(1) adalah suatu keadaan apabila ancaman besar sudah berlaku atau mungkin berlaku ke atas ekonomi negara, keselamatan negara atau ketenteraman awam.

Amat penting untuk difahami bahawa pengisytiharan darurat untuk membolehkan ancaman dihadapi itu dapat ditangani dengan cepat dan berkesan.

Bagi tujuan tulisan ini, saya merujuk titah diraja atau kenyataan media dikeluarkan Istana Negara semalam. Proklamasi darurat diperkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan selepas menerima sembah taklimat daripada Perdana Menteri dan selepas baginda mendapat penjelasan autoriti berkaitan keselamatan, kesihatan serta perundangan negara dan pandangan raja-raja lain.

Oleh kerana istilah darurat itu mungkin mendatangkan rasa takut dan menggusarkan orang ramai, adalah perlu untuk difahami kesan darurat dengan sebaik mungkin.

Setiap proklamasi darurat hendaklah diwartakan dan pewartaan berkenaan menjadi punca kuasa kepada pelaksanaannya. Segala butiran tujuan proklamasi dijelaskan dalam warta terbabit.

Kita semua maklum kesan kepada pengisytiharan darurat ini adalah besar. Dari segi perundangan, keadaan darurat membolehkan sebahagian besar peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri dirungkaikan atau diketepikan.

Ini jelas apabila merujuk kepada Perkara 150(4),(5) dan (6A) Perlembagaan Persekutuan.

Namun, keadaan darurat tidak menghalang undang-undang sedia ada seperti peraturan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus beroperasi dan dilaksanakan.

Keadaan darurat membenarkan operasi perundangan seperti biasa tanpa menambah undang-undang darurat ke atas perkara tidak berkaitan dengan tujuan darurat.

Undang-undang darurat boleh dibuat hanya bagi tujuan darurat diwartakan. Hal ini jelas dalam Perkara 150(2B) yang mana Yang di-Pertuan Agong boleh 'memasyhurkan apa-apa ordinan sebagaimana yang didapatinya perlu mengikut hal keadaan.'

Justeru, adalah penting untuk warta proklamasi darurat menyatakan secara jelas apakah tujuan pemasyhuran darurat dimaksudkan.

Adalah perlu juga ditegaskan, perjalanan atau proses mahkamah dan perkara berkaitan urusan pentadbiran keadilan juga boleh berlaku tanpa sebarang perubahan.

Sekiranya pengisytiharan darurat bagi menangani penyebaran pandemik, maka ia tidak boleh melangkaui tujuan asal sehingga menyebabkan pentadbiran keadilan juga tergugat. Bahkan, sekiranya bercakap secara undang-undang, darurat juga tidak menghalang pilihan raya, sekiranya diputuskan begitu.

Namun, pastinya pilihan raya perlu dielakkan kerana itu antara perkara yang mungkin mahu dielakkan dengan pengisytiharan darurat. Jika dilihat kepada tiga pengisytiharan darurat berasingan sebelum ini apabila berlakunya kekosongan kerusi badan perundangan.

Adalah perlu juga untuk kita fahami bahawa terdapat kesan positif daripada pengisytiharan darurat ini. Antara aspek positif pengisytiharan darurat ialah perkara berkaitan penguatkuasaan peraturan berkenaan kawalan penularan pandemik boleh disegerakan tanpa urusan birokrasi dan peraturan menyukarkan.

Ia juga mungkin membolehkan kerajaan menggunakan infrastruktur swasta tanpa banyak proses birokrasi perundangan.

Ketika berlangsungnya keadaan darurat, Yang di-Pertuan Agong boleh membuat Ordinan (iaitu nama undang-undang bertujuan menangani hal berkaitan darurat) tanpa melalui proses perundangan dalam dewan Parlimen.

Ada yang menggunakan istilah Parlimen digantung. Kuasa Yang Di-Pertuan Agong ini boleh dilaksanakan tanpa memerlukan nasihat daripada Jemaah Menteri.

Oleh itu, dalam titah diraja dimaksudkan, Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan bagi memberikan pandangan terhadap hal berkaitan pandemik.

Persoalan lain berlegar dalam masyarakat ialah, adakah kerajaan masih berfungsi atau terbubar dengan pengisytiharan darurat. Pengisytiharan darurat boleh berlaku dalam apa keadaan sekalipun.

Pada kali ini, darurat diperkenan Yang di-Pertuan Agong tanpa pembubaran Parlimen. Justeru, kerajaan tidak terbubar. Kerajaan akan hanya terbubar sekiranya Parlimen dibubarkan.

Kerajaan masih lagi dapat berfungsi. Bagaimanapun, kerajaan tidak lagi mempunyai hak untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong, dalam hal membuat Ordinan bagi tujuan darurat. Ini adalah kuasa budi bicara baginda.

Namun, keadaan ini tidak menghalang Yang di-Pertuan Agong mendapatkan pandangan kerajaan. Pastinya cakap-cakap politik tidak boleh berhenti walau dalam apa dimensi sekalipun. Namun, ini adalah kedudukan undang-undang.

Tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan pengisytiharan darurat sekali gus memansuhkan kerajaan atau menamatkan kerajaan sedia ada.

Ini terbukti dalam pemasyhuran darurat pada peringkat negeri, seperti di Sarawak dan juga Kelantan sebelum ini. Darurat pada 1969 tidak boleh dijadikan contoh kerana pengisytiharan darurat berlaku pada masa Parlimen sudah sedia bubar dan tiada kerajaan penuh ketika itu, kecuali kerajaan sementara.

Titah diraja menyatakan jangka masa darurat akan berakhir selewat-lewatnya pada 1 Ogos ini atau boleh ditamatkan pada bila-bila masa atas nasihat Jawatankuasa Bebas yang akan ditubuhkan.

Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan tempoh tertentu untuk tujuan darurat. Pastinya ia suatu yang diputuskan mengikut keperluan dan berasaskan kepada tuntutan keadaan.

Proklamasi darurat yang dibuat hendaklah dibentangkan kepada Parlimen apabila bersidang kelak dan ia juga boleh dirungkaikan, maksudnya ditamatkan Parlimen melalui suatu ketetapan.

Begitu juga dengan Ordinan dibuat bagi tujuan darurat. Kedua-duanya hendaklah dibentangkan kepada Parlimen. Hal ini disebut pada Fasal 150(2C).

Proklamasi darurat tidak boleh dipanjangkan melangkau tarikh 1 Ogos 2021 sekiranya ia diwartakan sehingga 1 Ogos saja. Sekiranya perlu, satu pengisytiharan darurat yang lain perlu dilakukan.

Bagi rakyat terbanyak, pengisytiharan darurat hendaklah diterima dengan tenang. Darurat bukan untuk pihak berkuasa menyalahguna kuasa, tetapi adalah untuk menstabilkan keadaan dan memberi manfaat untuk Malaysia. Ia adalah perkara yang dibenarkan undang-undang dan perlu juga patuh kepada undang-undang.

Penulis adalah Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA

Berita Harian X