Isnin, 9 November 2020 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Bajet inklusif, mampan kekuatan utama hadapi kesan pandemik

Terdapat dua kekuatan utama yang jelas dalam Belanjawan 2021 yang baru dibentangkan, iaitu inklusif dan mampan.

Belanjawan kali ini direncana dalam keadaan begitu sukar, mungkin paling sukar dalam sejarah Malaysia. Puncanya kita berhadapan dengan krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Ekonomi global tahun ini dijangka mengalami kemelesetan paling buruk sejak The Great Depression yang berlaku sekitar 1930-an, manakala Bank Dunia menjangkakan kira-kira 150 negara di dunia mengalami kemelesetan tahun ini.

Namun, Belanjawan 2021 memberikan suluh dan jalan keluar kepada ekonomi Malaysia tahun depan, dengan anggaran ekonomi berkembang pada kadar memberangsangkan iaitu antara 6.5 hingga 7.5 peratus.

Kadar defisit pula dianggar berkurangan daripada jangkaan pada 6 peratus tahun ini menurun kepada 5.4 peratus tahun hadapan.

Ini semua angka yang baik, menggambarkan strategi ekonomi yang terkandung dalam belanjawan kali ini berupaya merangsang ekonomi yang begitu terjejas teruk akibat COVID-19 ini.

Namun, dalam aspek krisis kesihatan, kita tidak pasti sampai bila COVID-19 akan berakhir. Walaupun jika kita andaikan pada tahun hadapan vaksin sudah ditemui, belum pasti sama ada sentimen pengguna dan peniaga akan kembali normal seperti sebelum pandemik melanda.

Oleh itu, melihat prospek jangka sederhana, masih ada ketidaktentuan belum dapat dijawab pakar ekonomi.

Jika kita andaikan pemulihan ekonomi Malaysia pada 2021 berbentuk 'V', tidak ada jaminan pada ketika ini pemulihan akan berubah kepada bentuk 'W' (maksudnya ekonomi negara dan dunia secara keseluruhan merudum) ataupun pemulihan berbentuk 'K' (ada sesetengah sektor yang pulih, manakala sektor lain tidak dapat pulih sepenuhnya) selepas 2021.

Bagaimanapun, untuk isu berbentuk 'sekarang' dan khusus kepada isu serta kemakmuran rakyat yang ketika ini begitu menderita akibat COVID-19, Belanjawan 2021 sudah melakukan yang terbaik dengan kekangan yang ada serta konteks dan situasi amat sukar.

Jelas golongan B40 dan M40 menerima banyak manfaat dalam belanjawan ini. Langkah dan inisiatif yang diberikan begitu inklusif, daripada golongan rentan sehingga petani dan nelayan, peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro, peniaga ekonomi gig serta orientasinya juga yang menekankan kepada belia dan mesra wanita.

Elemen inklusif ini dapat diamati dengan lebih jelas jika kita melihat pada perspektif lebih luas lagi. Belanjawan ini jelas kesinambungan daripada empat 'mini bajet' yang diperkenalkan sebelum ini.

Ia membabitkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN PKS Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Khas PRIHATIN (KITA-PRIHATIN).

Belanjawan ini adalah manifestasi kepada sebuah kerajaan yang bukan sekadar prihatin, malah berfungsi. Ini bermaksud kerajaan yang responsif dan bergerak pantas terhadap keperluan dan keinginan rakyat.

Ini dapat dibuktikan dengan peruntukan belanjawan yang paling tinggi dalam sejarah negara.

Perbelanjaan pembangunan sahaja mencecah RM70 bilion, yang dijangka memberi kesan pengganda tinggi kepada ekonomi negara.

Ini termasuk dari segi dapat mengeluarkan ekonomi kita daripada kemelesetan, meningkatkan momentum pertumbuhan, mencipta peluang pekerjaan baharu, merancakkan aktiviti kepenggunaan terutama daripada perbelanjaan swasta, merancakkan aktiviti perniagaan serta menarik pelabur asing untuk memulakan aktiviti perniagaan dan pelaburan di negara kita berbanding negara lain di rantau ini.

Sektor kesihatan diberi tumpuan lebih. Petugas barisan hadapan diberikan penghormatan dan tumpuan sewajarnya dalam belanjawan, di mana peningkatan siling kepada Kumpulan Wang COVID-19 sebanyak RM20 bilion serta pemberian berbentuk sekali gus amat dialu-alukan.

Rakyat teramai boleh menarik nafas lega dengan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), pengurangan kadar cukai pendapatan, moratorium diteruskan kepada B40 secara bersasar, bantuan khas kepada golongan rentan dan kebenaran pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan dalam belanjawan ini.

Pelbagai inisiatif bagi belia, terutama dalam aspek untuk mencipta peluang pekerjaan, program latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling). Program pemerkasaan wanita juga begitu jelas, seperti keusahawanan wanita, usahawan mikro dan juga kemudahan penjagaan kanak-kanak.

Orang Asli, warga emas, orang kurang upaya (OKU) juga mendapat perhatian dalam belanjawan kali ini.

Satu lagi kekuatan Belanjawan 2021 ini terletak pada penumpuannya terhadap aspek kemampanan pertumbuhan atau pembangunan lestari. Buat julung kali, belanjawan negara diselaraskan dengan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Penubuhan Dana Amanah Ma-
laysia-SDG, Bon Kelestarian dan Program SAVE 2.0, Ecological Fiscal Transfer dan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau 3.0 (GTFS 3.0) adalah program serta inisiatif signifikan ke arah model pembangunan ekonomi yang lebih lestari untuk Malaysia pasca COVID-19.

Cabaran yang luar biasa akibat pandemik ini memerlukan strategi luar biasa juga untuk menanganinya.

Apa yang penting adalah kerajaan perlu konsisten dan terus peka terhadap keperluan rakyat dari semasa ke semasa.

Kita tidak mahu mendengar ada golongan masih sengsara dan langsung tidak mendapat apa-apa manfaat daripada Belanjawan 2021 dan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sebelum ini.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X