Isnin, 17 Ogos 2020 | 11:00am

Undang-undang sebelum Hari Merdeka diiktiraf Perlembagaan

Keluhuran Perlembagaan Persekutuan bermaksud sebarang undang-undang diluluskan selepas Hari Merdeka pada 1957 tidak boleh menjadi sah jika ada mana-mana bahagian bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Prinsip itu diambil daripada Perkara 4(1) Perlembagaan yang menggariskan dasar penggubalan undang-undang selepas merdeka. Sebelum Hari Merdeka, Tanah Melayu, begitu juga Sabah dan Sarawak sudah mempunyai undang-undang tersendiri dikenali sebagai hukum syarak serta adat.

Hukum syarak ialah undang-undang Islam, termasuk menyentuh mal (harta), jenayah dan prinsip perundangannya. Undang-undang Islam ialah undang-undang bertulis di Tanah Melayu, bukan sahaja wujud sejak Kesultanan Melayu Melaka, bahkan lebih awal lagi misalnya Batu Bersurat Terengganu serta Undang-Undang Kedah.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, undang-undang ditafsirkan Perkara 160(2): "Termasuklah undang-undang bertulis, common law setakat yang berkuat kuasa dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya dan apa-apa adat atau kelaziman yang mempunyai kuat kuasa di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya."

Undang-undang bertulis ditafsirkan sebagai Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan mana-mana negeri. Pemakaian common law tertakluk pada seksyen 3 Akta Undang-undang Sivil 1956 (semakan 1972), manakala adat dan kelaziman yang mempunyai kuat kuasa undang-undang itu, termasuk adat Melayu, iaitu amalan watan di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak juga adat anak negeri.

Perlembagaan menetapkan adat Melayu terletak di bawah Butiran I Senarai 2 Jadual 9, iaitu bidang kuasa negeri dan menurut Perkara 150(6A), walau dalam keadaan darurat sekalipun, Parlimen tidak berkuasa untuk meluaskan bidang kuasanya dalam adat Melayu dan adat anak Negeri Sabah dan Sarawak.

Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf undang-undang sedia ada iaitu, 'mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya sebaik sebelum Hari Merdeka.' Peruntukan undang-undang sedia ada dijelaskan Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 162(1) berbunyi: "Tertakluk kepada peruntukan yang berikut dalam Perkara ini dan Perkara 163, undang-undang yang sedia hendaklah, sehingga dimansuhkan oleh pihak berkuasa yang mempunyai kuasa untuk berbuat demikian di bawah Perlembagaan ini, terus berkuat kuasa pada dan selepas Hari Merdeka, dengan apa-apa ubah suaian sebagaimana yang dibuat dalamnya di bawah Perkara ini dan tertakluk kepada apa-apa pindaan yang dibuat oleh undang-undang Persekutuan atau undang-undang negeri".

Di bawah Perkara 162(6), mahkamah dibenarkan untuk memakai undang-undang sedia ada berserta apa-apa ubah suai untuk menyelaraskan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Frasa 'kedaulatan Negeri-Negeri Melayu terletak pada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu mengikut adat Melayu' seperti termaktub dalam Laporan Jawatankuasa Kerja Perlembagaan 1946 menunjukkan adat Melayu berkaitan ketatanegaraan pada Hari Merdeka dan sehingga kini masih berkuasa kuasa.

Kedudukan itu dijamin oleh Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi: "Tertakluk pada peruntukan Perlembagaan ini, kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja, dan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Pembesar-Pembesar Memerintah di Negeri Sembilan di bawah wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang sedia ada dan dinikmati sehingga kini adalah tetap dan tidak terjejas."

Adat Melayu mengandungi satu prinsip bahawa sebarang peraturan, amalan, budaya dan nilainya itu tidak boleh bercanggah dengan ajaran Islam. Justeru, kedaulatan Raja-Raja Melayu hendaklah ditelusuri mengikut adat Melayu dan berlandaskan prinsip patuh syariah.

Prinsip demikian membina ungkapan 'kedaulatan Raja-Raja Melayu bersumberkan ajaran Islam dan bersendikan adat Melayu.'

Prinsip kedaulatan Raja-Raja Melayu itu membawa kepada penggubalan Perlembagaan bertulis lama seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang Johor dan Hukum Kanun Pahang yang patuh syariah.

Perlembagaan lama itu bukan sahaja mengandungi peruntukan ketatanegaraan, malah undang-undang Islam. Perlu dinyatakan undang-undang Islam dilaksanakan di setiap negeri Melayu melalui sistem kehakiman masing-masing sebelum Hari Merdeka.

Perkara 162(1) menetapkan pemakaian undang-undang sedia ada tertakluk pada ubah suai yang perlu menurut Perlembagaan Persekutuan. Berdasarkan prinsip kedaulatan Raja-Raja Melayu seperti dinyatakan itu, ubah suai yang dimaksudkan Perkara 162(1) tidak boleh ditafsirkan untuk menghalang pelaksanaan undang-undang Islam.

Ubah suai itu bermaksud dua perkara; pertama, pelaksanaan undang-undang Islam hendaklah menurut bidang kuasa di bawah Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan. Kedua, selagi undang-undang sedia ada itu tidak dimansuhkan atau dipinda melalui penggubalan undang-undang kontemporari selepas Hari Merdeka.

Dari sudut prinsip kedaulatan, Raja-Raja Melayu dan mereka yang melaksanakan fungsi eksekutif serta legislatif tiada kuasa untuk memansuhkan undang-undang Islam. Sebaliknya Raja-Raja Melayu dan mereka yang melaksanakan fungsi eksekutif dan kehakiman berkewajipan untuk memastikan undang-undang Islam dilaksanakan secara adil mengikut prinsip perundangannya.

Berdasarkan jurisprudens itu, Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan membenarkan amalan undang-undang sedia ada sebelum Hari Merdeka mengikut kaedah dinyatakan.

Penulis adalah Penasihat Undang-Undang, Universiti Malaysia Perlis

Berita Harian X