Selasa, 23 Jun 2020 | 11:00am
Di Malaysia terdapat kawasan tanah gambut yang sering menghadapi risiko kebakaran. - Foto hiasan
Di Malaysia terdapat kawasan tanah gambut yang sering menghadapi risiko kebakaran. - Foto hiasan

Cegah fenomena jerebu, elak risiko penularan COVID-19

WALAUPUN fenomena jerebu menjadi episod rutin di rantau Asia Tenggara pada musim panas antara Jun hingga Oktober hampir setiap tahun, ia perlu dipastikan tidak berlaku pada tahun ini.

Ini kerana keadaan udara tercemar berupaya meningkatkan risiko jangkitan COVID-19 kepada masyarakat awam. Pada musim begini, bahagian selatan rantau Asia Tenggara yang meliputi pulau utama di Indonesia seperti Sumatera dan Kalimantan serta Semenanjung Malaysia akan mengalami musim kering dengan suhu permukaan melebihi paras normal dan jumlah hujan pula agak kurang daripada musim lain.

Peningkatan suhu dan cuaca panas akan menyebabkan kecenderungan berlaku kebakaran tumbuhan kering yang mudah merebak daripada sesuatu kawasan ke kawasan lain. Sumber pencetus kebakaran semudah bara daripada puntung rokok boleh mengakibatkan kebakaran teruk pada kawasan luas.

Aktiviti pertanian tradisional yang menggunakan kaedah tebang dan bakar serta pembersihan diikuti pembakaran sisi domestik dan pertanian juga menyebabkan rebakan di kawasan belukar dan hutan. Kebakaran ini akan lebih mudah merebak di kawasan tanah gambut kering.

Sifat tanah gambut yang mempunyai ruang udara disebabkan penurunan paras air pada musim kering dan kandungan bahan organik tinggi daripada proses pereputan tumbuhan menyebabkan kebakaran bergerak dengan cepat melalui proses pembakaran pendam di bahagian bawah tanah.

Proses pembakaran di kawasan tanah gambut agak sukar dikawal dan sering membabitkan pergerakan pembakaran dalam kawasan luas dan berlaku dalam masa panjang. Proses pengubahsuaian kawasan tanah gambut dengan mengubah aliran pergerakan air bagi tujuan perladangan dan penempatan juga menyebabkan kawasan itu semakin kering pada musim kemarau.

Di Malaysia terdapat kawasan tanah gambut yang sering menghadapi risiko kebakaran seperti di bahagian tengah Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung. Kawasan sekitar Johan Setia dan Kuala Langat selatan serta kawasan antara Kuantan dan Rompin sering dikaitkan pembakaran tanah gambut di Semenanjung Malaysia.

Peratusan tanah gambut luas dan terdedah kepada pembakaran musim kering juga terjadi di Sarawak. Di Indonesia, kawasan tanah gambut luas terdapat terutamanya di tengah dan selatan Sumatera serta kawasan pantai barat dan selatan Kalimantan sering terdedah kepada kebakaran teruk pada musim panas.

Kedalaman tanah gambut dan paras air tanah di kawasan ini antara faktor penting dalam proses pergerakan dan pemadaman kebakaran. Proses pembakaran pendam di tanah gambut akan membebaskan zarahan halus serta gas toksik dengan kepekatan tinggi akibat daripada proses pembakaran tidak lengkap.

Penduduk di kawasan kebakaran ini adalah golongan berisiko tinggi terdedah dengan bahan pencemar udara. Pergerakan angin barat daya pada musim kering dari kawasan yang amat cenderung mengalami kebakaran seperti Sumatera dan Kalimantan akan menyebabkan zarahan halus serta gas ini tersebar ke kawasan padat penduduk seperti Semenanjung Malaysia, selatan Thailand, Singapura, Sabah dan Sarawak.

Kehadiran zarahan halus dan gas tinggi di udara akan menyebabkan cahaya daripada sinaran matahari serta sinaran pantulan daripada sesuatu objek diserakkan. Proses serakan cahaya oleh zarahan halus ini menyebabkan fenomena jerebu yang akan mengurangkan jarak penglihatan.

Fenomena jerebu dikenal pasti menyebabkan masalah kesihatan akut terutama kepada pesakit yang menghidap penyakit membabitkan masalah pernafasan. Beberapa kajian sebelum ini menunjukkan jerebu menyebabkan pertambahan pesakit yang mendapatkan rawatan bagi penyakit seperti asma, emfisema dan bronkitis.

Fenomena itu juga didapati mempunyai hubungan dengan masalah penyakit bersifat karsinogenik dalam jangka panjang. Jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan penyakit berkenaan pernafasan di hospital dan klinik kerajaan didapati meningkat tinggi setiap kali jerebu teruk berlaku.

Sekiranya ia berlaku bertindan dengan pandemik COVID-19 yang masih aktif, jerebut boleh meningkatkan risiko bahaya kepada kesihatan awam. Kajian penyelidik di beberapa negara di dunia menunjukkan kes COVID-19 berlaku dengan banyaknya di kawasan dengan udara tercemar akibat proses perindustrian dan perbandaran.

Manusia yang sering terdedah dengan zarahan halus seperti partikel dengan saiz aerodinamik lebih kecil daripada 2.5 mikrometer atau PM2.5 tinggi didapati lebih cenderung menerima jangkitan COVID-19 akibat sistem pertahanan dalam saluran pernafasan rendah.

Mangsa utama jerebu selain pesakit dewasa yang mengalami masalah pernafasan ialah golongan kanak-kanak. Dengan sesi pembukaan sekolah yang akan bermula tidak lama lagi, jerebu yang mungkin berlaku boleh menyebabkan mereka terdedah dengan udara tidak sihat, sekali gus risiko mendapat jangkitan coronavirus tinggi.

Keadaan sistem ventilasi udara yang terbuka di kebanyakan sekolah akan menyebabkan udara luaran tercemar mudah untuk masuk ke dalam kelas bakal memburukkan lagi keadaan.

Justeru, pengawalan pembakaran yang akan menyebabkan jerebu seharusnya dipantau dengan lebih rapi untuk musim kering kali ini. Kerjasama serantau ASEAN amat penting dalam memastikan jerebu tidak berlaku pada tahun ini.

Teknologi satelit bagi mengesan titik panas harus digunakan sepenuhnya bagi memastikan kebakaran hutan terutama di kawasan tanah gambut tidak bermula dan perlu dikawal daripada awal lagi. Proses kawalan serta pemadaman kebakaran di peringkat awal dapat membantu mengekang proses perebakan pembakaran di kawasan lebih luas.

Setiap rakyat di negara Asia Tenggara harus diingatkan pentingnya mengelakkan pembakaran terbuka. Langkah mudah seperti tidak membuang puntung rokok merata-rata terutama di kawasan rumput dan belukar yang terdedah dengan pembakaran serta tidak membakar sampah pada musim panas ialah permulaan baik.

Tindakan keras perlu dikenakan kepada individu dan syarikat perladangan yang menjalankan aktiviti pembakaran terbuka pada tahun ini. Langkah segera dan bersiap siaga dalam mengurangkan pencemaran akibat pembakaran yang menyebabkan jerebu amat penting untuk musim ini.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar UKM; dan Ahli Pasukan Bertindak, Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia

Berita Harian X