Ahad, 14 Jun 2020 | 11:00am

RMKe-12 perlu persiap negara hadapi 'gangguan'

TAHUN 2021 tanda bermula Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12); pelan pembangunan negara setiap lima tahun.

Kita perlu sediakan pelan terbaik bagi menjana Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang sudah pun dilancarkan.

Kita perlu ingat bahawa dalam banyak pelan terdahulu, kelemahan terletak pada sistem pelaksanaannya. Ia tambah merumitkan pencapaian.

Sambil merancang RMKe-12, kita juga perlu peka mengenai peristiwa terkini yang memberi tamparan hebat kepada semua. Kesihatan dunia banyak tergugat oleh COVID-19.

Dalam RMKe-12, patut disediakan strategi mantap bagi menghadapi gangguan sama yang mungkin akan timbul lagi pada masa depan. Negara mesti bersedia.

Apa pun, kesihatan awam kini tersenarai sebagai ancaman utama kepada pembangunan dunia dan mesti diambil kira ketika merangka RMKe-12.

Kita sudah pun menyaksikan bagaimana COVID-19 memusnahkan segala-gala dalam laluannya. Pemimpin dunia banyak yang panik menangani pandemik ini.

Ada yang mencadangkan resipi sendiri untuk mengubati wabak. Banyak yang tersasul. Mujurlah, negara kita menggunakan strategi yang lebih jitu.

Di Malaysia, kalangan profesional kesihatan negara diberi kuasa untuk memimpin strategi berkenaan. Pendekatan ini berjaya mengekang penularan virus, bahkan mendapat pengiktirafan antarabangsa, termasuk daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Kejayaan dicapai adalah satu lagi bukti jelas bahawa kakitangan awam tidak wajar diremehkan. Apabila diberi cukup ruang untuk mengurus sesuatu, mereka sentiasa menunjukkan kecemerlangannya.

Hentikan tohmahan tidak berasas terhadap perkhidmatan awam kita. Mereka seharusnya disanjung dan dihormati.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa sains penyakit berjangkit kini lebih difahami ramai. Pasti ramai yang bersetuju bahawa pemahaman sains dalam kalangan orang biasa sudah berubah dengan ketara.

Hasil daripada publisiti besar-besaran yang diberikan pelbagai saluran media, orang ramai kini banyak memahami mengenai sains genom, ubat hydrochloroquin, betapa kompleksnya membangunkan vaksin baharu serta pentingnya ujian klinikal untuk mengesahkan sebarang ubat baharu selamat serta berkesan. Apa yang jelas, COVID-19 berjaya meningkatkan kefahaman awam mengenai sains.

Bertahun-tahun kita menganjurkan festival dan karnival untuk merangsangkan minat terhadap ilmu sains. Seperti yang kerap diperkatakan, 'banyak perubahan berlaku apabila seseorang ditimpa bala'.

Sekarang kita lihat buktinya terpapar. Kita nampak bagaimana serangan virus COVID-19 menyengsarakan seluruh masyarakat global.

Terdapat kata-kata hikmat oleh seorang penulis novel Jepun: "Kita mesti menerima kesakitan serta kesusahan dan menggunakannya sebagai bahan tenaga untuk menyenangkan perjalanan hidup ini".

RMKe-12 adalah resipi bagi memacu kemajuan negara. Ia satu peluang baik menunjukkan kita mampu untuk berubah.

RMKe-12 bukan resipi hanya untuk kemajuan ekonomi, malah juga untuk menjana kualiti hidup berpanjangan hingga bertahun-tahun ke hadapan.

Inilah yang dimaksudkan pembangunan lestari yang membabitkan pelbagai bidang sains.

Ini termasuk sains tenaga yang mesra iklim, sains pengurusan kesihatan awam, sains memampankan sumber utama seperti air, sains pengeluaran makanan serta sains yang menjaga alam sekitar supaya sentiasa selamat.

Kemajuan mesti dikongsi bersama seperti yang sedia digarapkan dalam pelan WKB 2030.

Mengejar kemajuan boleh dianggap sebagai usaha mengatasi ancaman dan merebut peluang. Kemiskinan, umpamanya, adalah satu ancaman utama yang perlu kita tangani. COVID-19 memburukkan lagi tahap kemiskinan.

Kemiskinan luar bandar dalam kalangan pekebun kecil masih belum bertemu kesudahannya.

Kini, kemiskinan bandar pula muncul, satu kebimbangan yang semakin meningkat. Mencipta pekerjaan adalah cara yang terbukti berkesan untuk membasmi kemiskinan.

Tuntasnya, apa yang penting strategi untuk meningkatkan lagi peluang pekerjaan perlu disirat dalam RMKe-12.

Penulis adalah Felo Akademi Sains Malaysia

Berita Harian X