Selasa, 2 Jun 2020 | 10:30am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Memperkasa pendidikan sektor binaan pasca COVID-19

PASCA COVID-19, membuka pelbagai isu berkenaan pekerja asing, terutama berkaitan pemantauan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.

Terdapat juga isu kemasukan pekerja asing yang sukar berasimilasi dengan masyarakat tempatan apatah lagi berkomunikasi dengan baik dengan rakyat tempatan khususnya dalam bahasa Melayu.

Terdapat juga masalah kesihatan ditimbulkan PATI, terutama berkaitan COVID-19. Terdapat isu pekerja asing untuk berintegrasi dan memahami sosiobudaya masyarakat tempatan.

Saya mencadangkan dua jenis pendidikan kepada warga asing dan warganegara Malaysia, iaitu Pendidikan Asas Budaya Malaysia, Penjagaan Kesihatan dan Kebersihan kepada bukan warganegara dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada warganegara untuk menangani masalah pekerja kontraktor.

Justeru, disarankan untuk diwujudkan program pendidikan asas budaya Malaysia seperti mempelajari asas bahasa Melayu dan juga kesedaran penjagaan kesihatan dan kebersihan yang sesuai daripada Kementerian Sumber Manusia untuk pekerja asing.

Pekerja asing, termasuk pekerja buruh binaan ini diberikan kursus pendek untuk mendedahkan undang-undang, budaya masyarakat Malaysia, penjagaan kebersihan dan bahasa Melayu yang asas supaya mereka dapat berintegrasi melaksanakan tugas serta boleh berkomunikasi secara asas dengan rakyat tempatan.

Antara yang boleh diperbaiki adalah menaik taraf infrastruktur penginapan dan pelaksanaan kesedaran kebersihan dan kesihatan dalam kalangan pekerja asing di negara ini.

Pengurusan cekap daripada pihak majikan diperlukan untuk memantau kebajikan, visa dan perihal imigrasi pekerja asing, terutama di sektor pembinaan.

Di negara ini, ada 1.2 juta pekerja industri binaan dalam negara dengan 400,000 daripadanya warga asing dan bakinya pekerja tempatan, sekali gus menunjukkan bidang kemahiran menyediakan peluang pekerjaan tinggi.

BH sebelum ini melaporkan 70 peratus daripada lebih 40,000 pelajar TVET lepasan Akademi Binaan Malaysia (ABM) mendapat tempat dalam pasaran kerja, setiap tahun.

Pelajar yang tamat pengajian di kolej vokasional selepas 8 semester, mempunyai peluang cerah untuk bekerja di sektor pembinaan sebagai juruteknik teknologi binaan atau pembantu teknik teknologi binaan.

Pelajar juga boleh menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan institut pengajian kemahiran berkaitan.

Jika dilihat, negara seperti Australia dapat menarik masyarakat tempatan, sama ada lelaki mahu pun wanita untuk menjadi pekerja buruh binaan.

Mengikut laman web PayScale, masyarakat tempatan Australia diberikan gaji bermula bayaran asas dalam anggaran kasar termasuk imbuhan, AU$40,000 (RM116,200) ke AU$68,000 (RM197,700) gaji setahun mengikut pengalaman kerja.

Mereka juga diberi peluang untuk mendapatkan latihan meningkatkan prestasi sebagai buruh binaan. Di negara maju seperti Australia, rata-rata rakyat tempatan berkemahiran.

Dalam konteks Malaysia, dari segi binaan kontraktor, latihan diberikan kepada pelajar sekolah menengah untuk pendidikan TVET yang membolehkan mereka mendapatkan sijil diploma kemahiran.

Anak muda yang tidak mempunyai pekerjaan seharusnya diberi peluang pekerjaan sebagai buruh pembinaan berkemahiran. Pekerjaan sebagai buruh binaan tidak lagi dipandang rendah, tetapi sebagai kemahiran dicari majikan.

Maka, peluang pekerjaan untuk mereka menjadi buruh binaan berkelulusan walaupun dengan sijil, amat cerah supaya mereka dapat diserap sebagai buruh binaan berkelayakan dan kemahiran sesuai untuk anak muda.

Justeru, ia dapat mengurangkan pengangguran dengan pengambilan buruh asing dengan memanfaatkan tenaga buruh tempatan berkemahiran.

Agensi kerajaan seperti Kementerian Sumber Manusia, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Jabatan Imigresen, Kementerian Pendidikan, wakil majikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat duduk berbincang terhadap hala tuju memperkasakan pendidikan pembinaan dalam menangani masalah pekerja kontraktor pasca COVID-19.

Kesimpulannya, Malaysia mempunyai dua pilihan sama ada memberi literasi pendidikan mengenai kesedaran budaya Malaysia dan kesihatan kepada pekerja asing, di samping meningkatkan infrastruktur dan kualiti kehidupan mereka ataupun memperkasakan literasi pendidikan TVET dalam menambahkan bilangan pekerja buruh binaan tempatan dengan menaiktarafkan servis kualiti kemahiran buruh binaan tempatan.

Pensyarah Kanan Jabatan Komputeran Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X