Jumaat, 15 Mei 2020 | 10:57am
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Generasi muda perlu dilengkapi kemahiran menguntungkan

Jika tiada COVID-19, tarikh 15 Mei tahun ini pasti manis apabila Hari Belia Negara disambut bersama ulang tahun kelahiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sejak zaman berzaman, 15 Mei dianggap tarikh keramat bagi mereka bergelar aktivis belia yang lahir di tengah-tengah masalah masyarakat. Itulah tarikh yang memberi mereka pengiktirafan atas jasa dan bakti kepada masyarakat, ketika ramai hanya bijak mengkritik peranan dimainkan kepemimpinan belia.

Menyedari realiti belia sebagai anggota masyarakat paling idealistik, pasti pemimpin belia dicabar untuk tidak sekadar berpuas hati di gerigi peristiwa, sebaliknya bersama mencipta sejarah.

Dalam membangun belia, pemimpinnya perlu bersama kerajaan memerintah dan bukan taasub kepada mana-mana pertubuhan politik. Kita perlu ada keyakinan tinggi bahawa orang muda tentu mempunyai banyak idea untuk dikongsi dalam menjana pembangunan negara.

Dunia hari ini menyaksikan Malaysia tidak terkecuali dalam menangani COVID-19. Cabaran besar adalah merealisasikan wawasan menjadi negara maju dengan rakyat berpendapatan tinggi.

Inilah masanya belia tampil melalui pelbagai platform persatuan untuk menggariskan matlamat dan pelan tindakan 'daripada belia untuk belia' serta berdiri teguh di sisi kerajaan untuk mencipta model baharu ekonomi negara yang berasaskan kreativiti dan inovasi.

Sebagai generasi pewaris, anak muda Malaysia harus menyediakan diri untuk mengharungi normal baharu yang mengubah cara berfikir, bekerja dan hidup. Kita tidak mahu balik ke zaman dahulu dengan belia mesti menerima tanpa soal semua yang disarankan orang dewasa.

Amalan ini menjadikan sesuatu masyarakat atau negara statik, tidak bergerak maju.

Pada zaman moden, masyarakat yang terlalu dikongkong tradisi tidak mampu bersaing dengan masyarakat dinamik. Belia harus sedar krisis COVID-19 memberi kesan besar kepada ekonomi dan pasaran buruh. Belia berusia 15 hingga 29 tahun kumpulan penting kepada pasaran buruh negara kerana merangkumi hampir 40 peratus keseluruhan tenaga buruh.

Satu perkara yang menekan sekarang ialah pengangguran dalam kalangan belia. Untuk mengatasi masalah ini kerajaan perlu meningkatkan proses industrialisasi kerana hanya kilang pembuatan boleh menyediakan peluang kerja dengan banyak.

Namun, tidak ramai pelabur dalam negara memiliki modal dan teknologi untuk mengadakan kilang besar dan moden. Untuk menarik pelaburan asing pasti kerajaan perlu menyediakan insentif dan insentif terbesar, ialah kestabilan negara serta kesanggupan rakyat Malaysia khususnya belia untuk bekerja kuat dan menjayakan perusahaan berkenaan.

Membudayakan pembelajaran sepanjang hayat, peningkatan kemahiran dan memahirkan semula dalam kalangan belia akan menampakkan imej negara sebagai tempat paling sesuai untuk pelaburan.

Perhatian lebih berat perlu diberi terhadap usaha melengkapkan belia dengan pelbagai kemahiran lebih tinggi. Langkah penyesuaian wajar dilaksanakan supaya pengeluaran tenaga kerja selaras perkembangan sains dan teknologi masa kini.

Belia harus sedar tanggungjawab mereka kerana negara memerlukan lebih ramai tenaga mahir, terutama pada peringkat kemahiran tinggi hari ini dan pada masa hadapan. Kemahiran, bakat dan daya cipta yang ada pada belia perlu dimajukan, sama ada melalui pendidikan atau latihan perindustrian lebih tinggi.

Untuk mencapai matlamat sebuah negara perindustrian yang maju, kemahiran serta pengetahuan sains dan teknologi sahaja tidak mencukupi. Usaha menerapkan nilai perindustrian kepada belia juga perlu dilakukan.

Sikap kerja yang betul dan nilai positif seperti ikhlas, berdisiplin, keutamaan bagi kumpulan, setia kepada syarikat, tekun, dedikasi dan gigih bekerja perlu disemai dan ditanam dalam hati pekerja.

Kejayaan jangka panjang untuk kumpulan, syarikat dan masyarakat mesti dianggap lebih baik daripada kepentingan diri dalam jangka masa pendek.

Semua ini bukan sahaja meningkatkan mutu kerja, tetapi membolehkan kita melahirkan sebuah ekonomi yang dapat bersaing.

Sektor swasta juga diharap berganding bahu memikul tanggungjawab ini dan konsep kerjasama awam-swasta (PPP) diyakini membantu. Manfaat 'pelaburan' dalam latihan teknikal, akhirnya dinikmati sektor swasta sendiri melalui bekalan tenaga mahir mencukupi dan yang sesuai dengan keperluan sektor.

Cabaran kita hadapi pasca COVID-19 akan lebih hebat. Benar semua yang berlaku takdir Tuhan, namun nasib kita tidak akan berubah melainkan kita sendiri mengubahnya.

Jika belia belajar dan menguasai ilmu, nasib mereka tidak sama dengan nasib jika mereka tidak belajar dan tidak memiliki ilmu. Demikian juga jika mereka tidak berusaha, malas, tidak jujur.

Selamat menyambut Hari Belia Negara. Sahutlah seruan keramat ini, 'Belia Bertindak Demi Kebenaran dan Keadilan'.

Penulis ialah Tokoh Belia Negara dan Tokoh Belia ASEAN 2011.

Berita Harian X