Rabu, 13 Mei 2020 | 11:00am
 Krisis COVID-19 menjadi peringatan keras kepada semua bahawa negara masih menjadi unit politik dan ekonomi yang paling penting dalam apa juga keadaan. - Foto hiasan/Asyraf Hamzah
Krisis COVID-19 menjadi peringatan keras kepada semua bahawa negara masih menjadi unit politik dan ekonomi yang paling penting dalam apa juga keadaan. - Foto hiasan/Asyraf Hamzah

Segerakan anjakan kehidupan normal baharu

Seperti sifat magnet, normal baharu harus dapat menarik perilaku rakyat daripada sifat kebiasaan kepada normal baharu yang mungkin agak sukar pada mulanya, tetapi alah bisa tegal biasa.

Hakikatnya, kita sedang bergelut dengan cabaran yang tidak pernah dialami. Bukan hanya di Malaysia, bahkan seluruh dunia turut menghadapi kemelut sama.

Norma baharu seperti penjarakan sosial, penjagaan kebersihan diri, penggunaan pembasmi kuman dan tidak bersesak dalam sesuatu kompaun harus menjadi mantera harian kepada penduduk Malaysia.

Penyesuaian dalam mengadaptasi normal baharu ini bukan sahaja boleh membantu mencegah jangkitan COVID-19 bahkan penyakit lain, di samping menjadikan rakyat lebih sihat, bersih dan kuat.

Dalam situasi negara berhadapan krisis pandemik COVID-19 yang menggugat sosioekonomi global, kerajaan bertindak memperkasakan sistem sokongan warganya dalam menangani cabaran itu. Semua bentuk bantuan dan pakej rangsangan diperkenalkan dengan konsep, 'tiada siapa yang tercicir'.

Mengambil kira pelaksanaan sepenuhnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ironinya banyak perubahan dan pengubahsuaian bahkan pengorbanan perlu dilakukan rakyat Malaysia dalam berhadapan situasi ketidaktentuan ini.

Secara amnya, terdapat empat cabaran utama perlu dihadapi kerajaan, iaitu cabaran kesihatan pekerja, teknologi baharu, sosial kerja dan ekonomi pekerjaan.

Dalam konteks cabaran kesihatan pekerja, kerajaan perlu mewujudkan satu respon lebih berkesan terhadap penyakit berjangkit (CD) kerana kes semasa yang memerlukan tindak balas sangat berlainan dan lebih kompleks berbanding dahulu.

Memandangkan infrastruktur dan tenaga kerja di Malaysia tidak dirangka untuk menyediakan penjagaan kompleks yang diperlukan bagi merawat dan mengawal CD, peralihan besar amat diperlukan.

Sistem penjagaan kesihatan primari perlu direka bentuk khas untuk memberi vaksin, menyediakan dana penyelidikan dan membangunkan makmal perubatan serta menyediakan pendidikan pencegahan melalui jaringan klinik kesihatan awam.

Ia kini perlu berubah kepada sistem lebih sofistikated yang diperlukan untuk penjagaan jangka panjang akut dan paliatif terhadap kes semakin meningkat.

Ancaman yang lahir akibat COVID-19 bukan sahaja memberi kesan kepada fizikal, bahkan mental masyarakat.

Depresi, gelisah dan stres ialah penyakit yang kebiasaannya dikaitkan kecelaruan minda yang boleh memberi kesan langsung kepada proses berfikir, perasaan, tingkah laku dan boleh mengganggu kehidupan seharian seseorang.

Ia antara penyakit mental paling tinggi dilaporkan di Malaysia ketika pandemik ini. Kerajaan perlu mewujudkan pelan komprehensif menangani sakit mental ini dan melakukan saringan awal agar produktiviti negara tidak terjejas.

Cabaran ini amat getir kerana untuk menghasilkan produktiviti tinggi, kesejahteraan dan keselamatan pekerja perlu diutamakan demi kemaslahatan ekonomi negara. Pekerja yang tidak sihat pasti merugikan negara.

Sementara itu, dalam cabaran teknologi baharu, COVID-19 secara tidak langsung menguji keupayaan pekerja Malaysia menyesuaikan diri ke arah menuju negara pintar.

Apabila COVID-19 melanda negara, barulah kita menyedari perniagaan konvensional yang dilakukan sekarang tidak adaptif terhadap ekonomi masa hadapan dan isu kemampanan ekonomi Malaysia belum menyesuaikan diri dengan ekonomi digital, sebaliknya masih terkebelakang dari segi penggunaan teknologi.

Pada masa sama, faktor peranti dan akses kepada internet adalah elemen paling penting perlu dipertimbangkan. Krisis ini juga mengundang kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah.

Menyedari cabaran PdP dalam talian ini, pensyarah mesti mengubah cara bekerja. Mereka mesti mengambil tahu latar belakang sosioekonomi dan tahap keupayaan pembelajaran pelajar.

Pensyarah tidak lagi boleh duduk selesa dengan kaedah tradisional. Teknologi perlu menjadi teman setia sebagai alat bantu bagi proses PdP.

Cabaran menyediakan kemudahan, infrastruktur dan kebolehan pengguna sesuatu perlu disegerakan dalam mengejar Revolusi Industri 4.0.

Dalam konteks cabaran sosial kerja, bersalaman yang menjadi normal persahabatan juga berubah kerana bersentuhan kini dianggap 'dosa besar.'

Suatu ketika keramaian membawa ceria dan kemeriahan, kini pengasingan dan penjarakan sosial menjadi anutan.

Ini turut menyaksikan perubahan sistem atau cara bekerja bagi kebanyakan individu dan syarikat tidak kira sektor kerajaan mahupun swasta.

Jika sebelum ini setiap pagi selama bertahun-tahun, pekerja perlu berhadapan kesesakan lalu lintas, terutama di kawasan bandar untuk sampai ke pejabat, namun rutin itu berubah apabila kebanyakan pekerja bahkan mungkin majikan sendiri kini bekerja dari rumah.

 Mesyuarat fizikal berubah kepada penggunaan teknologi pintar seperti Google Meet, Skype dan Zoom yang membuktikan jarak bukan lagi halangan untuk menyelesaikan urusan harian.

Bekerja dari rumah tidak bermakna pekerja bebas daripada pemantauan majikan, sebaliknya sebarang kemas kini tugasan dan integriti turut diambil kira. Bersediakah kita dengan suasana sebegini?

Dalam konteks cabaran ekonomi pekerjaan pula memerlukan penganggur mengetepikan ego dengan mengisi kekosongan pekerjaan walaupun di luar bidang kepakaran masing-masing.

Rakyat Malaysia harus berani merebut peluang pekerjaan ditinggalkan pekerja asing, terutama dalam bidang profesional.

Majikan digesa memberi ruang dan peluang lebih kepada warga Malaysia kerana kerajaan yakin akan kebolehan yang boleh ditawarkan rakyat melebihi tenaga luar.

Pada masa sama, kerajaan menggesa warga pekerja dapat menabung dalam suasana tidak menentu ini. Berbelanjalah mengikut keperluan, bukan berbelanja mengikut kehendak.

Kesimpulannya, krisis COVID-19 menjadi peringatan keras kepada semua bahawa negara masih lagi menjadi unit politik dan ekonomi yang paling penting dalam apa juga keadaan sekalipun.

Kita tidak lagi boleh bergantung kepada negara jiran mahupun kesatuan negara kerana dalam darurat semua bertindak secara 'mementingkan diri.'

Keselamatan makanan harus menjadi teraju utama negara selepas berakhir krisis. Ini semua boleh dilaksanakan dengan meningkatkan mutu pekerjaan negara.

Oleh itu, anjakan kehidupan ke arah normal baharu perlu disegerakan untuk memastikan kelangsungan negara dalam menempuh cabaran yang tidak pernah kita fikirkan sebelum ini.

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Penulis adalah Menteri Sumber Manusia

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X