Selasa, 12 Mei 2020 | 11:00am
Pematuhan rakyat terhadap usaha dilaksanakan ketika krisis COVID-19 membuktikan sokongan dan kepercayaan rakyat kepada institusi kerajaan.
Pematuhan rakyat terhadap usaha dilaksanakan ketika krisis COVID-19 membuktikan sokongan dan kepercayaan rakyat kepada institusi kerajaan.

Rakyat pilih 'roti' berbanding 'undi' ketika berdepan krisis

Krisis kemanusiaan yang berlaku impak COVID-19 secara langsung memperkukuh amalan demokrasi di Malaysia. Paling jelas adalah krisis ini meletakkan institusi kerajaan semakin penting.

Pada waktu krisis, kerajaan perlu memainkan peranan luar biasa untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu memimpin dan mengeluarkan negara daripada krisis.

Sejak pandemik COVID-19 melanda dunia termasuk Malaysia, kerajaan berusaha melakukan terbaik dengan pelbagai inisiatif membantu rakyat.

Meskipun kerajaan semasa dibentuk pada awal Mac lalu tanpa manifesto, ia membuktikan manifesto tidak bertulis mereka cukup berkesan untuk mengurus krisis kemanusiaan terburuk yang pernah berlaku dalam negara.

Tanggungjawab kerajaan adalah memastikan kesihatan rakyat berada pada tahap terbaik. Rantaian COVID-19 perlu diputuskan sementara vaksin wabak ini masih belum dijumpai.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi langkah terbaik mengawal pergerakan rakyat yang kini diberikan sedikit kelonggaran bersyarat sehingga 9 Jun depan.

Pada masa sama, kedudukan ekonomi perlu diperkukuhkan apabila industri dan premis perniagaan dibenar untuk mula dibuka dengan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

Kini kebanyakan pasar raya dikunjungi pelanggan yang berbelanja, terutama membuat persiapan menjelang Aidilfitri. Perbelanjaan rakyat ini diharap dapat menggerakkan ekonomi negara ke tahap lebih baik.

Pengukuhan institusi kerajaan tidak bermakna tanpa sokongan dan kepercayaan rakyat. Tidak dinafikan, semasa krisis COVID-19 ini sokongan dan kepercayaan rakyat kepada institusi kerajaan agak tinggi.

Hal ini boleh dilihat melalui pematuhan rakyat terhadap langkah kerajaan bagi mengawal penularan wabak COVID-19. Meskipun masih ada kes ketidakpatuhan kepada arahan PKP misalnya, ia dapat ditangani dengan baik.

Kita boleh membayangkan jika rakyat tidak percaya dengan institusi kerajaan, sudah tentu mereka akan menolak apa sahaja inisiatif dan usaha yang diperkenalkan. Malah, mereka akan bersikap sinis lantas memperlekeh usaha kerajaan menyelamatkan nyawa manusia.

Sebaliknya, disebabkan pematuhan rakyat Malaysialah, penularan wabak COVID-19 semakin dapat dikawal. Namun, seperti kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kita masih belum menang dalam pertempuran ini.

Di sebalik pengukuhan sistem demokrasi melalui peranan institusi kerajaan menangani impak COVID-19, negara tidak dapat lari daripada faktor politik. Kita harus ingat bahawa sebelum krisis kemanusiaan COVID-19 berlaku di negara, krisis politik terlebih dahulu mengambil tempat.

Krisis politik ini sangat besar kerana ia mengakibatkan campur tangan pihak istana sehingga berlaku perubahan kerajaan.

Sudah tentu banyak pihak tidak mahu melihat krisis politik ini berulang kembali dan menambahkan lara krisis kemanusiaan sedia ada. Namun, politik tidak mengenal masa dan keadaan, lebih-lebih lagi politik hanya dipandu dengan keinginan untuk mendapatkan hak dan kuasa, bukannya tanggungjawab dan amanah.

Selepas beberapa ketika ditangguhkan, satu lagi institusi demokrasi iaitu Parlimen akan diuji apabila sesi pembukaan diadakan 18 Mei depan. Sesi pembukaan Parlimen ini mengundang perhatian ramai apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, menerima usul oleh Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk membuat undi tidak percaya kepada Ahli Parlimen Pagoh sebagai Perdana Menteri.

Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan, menjelaskan sesi Parlimen pada 18 Mei ini yang berlangsung satu hari akan mengutamakan usul daripada kerajaan yang lebih mendesak.

Berdasarkan kenyataan beliau baru-baru ini, sesi Parlimen minggu depan akan menyaksikan pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2019 dan 2020 untuk bacaan pertama.

Rang undang-undang ini sangat penting kerana ia adalah dokumen berkaitan usaha kerajaan merancakkan sektor ekonomi dan meningkatkan tahap kehidupan rakyat yang terjejas impak COVID-19. Bacaan kedua rang undang-undang ini akan dilakukan pada sesi Parlimen sekitar bulan Julai akan datang.

Di pihak kerajaan, sesi Parlimen kali ini dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mengatasi krisis kemanusiaan dan kemelut impak COVID-19. Melalui pengesahan Parlimen, usaha kerajaan dengan bajet tertentu untuk memulihkan sektor ekonomi dan kesejahteraan rakyat dapat dilakukan dengan jayanya.

Namun, di pihak pembangkang pula, sesi Parlimen ini akan digunakan sebagai pentas untuk mengembalikan jawatan Perdana Menteri dan hak memerintah yang didakwa dirampas oleh kerajaan semasa.

Kesempatan yang mahu dilakukan Pakatan Harapan (PH) ini dikritik banyak pihak kerana ia tidak menghormati keutamaan negara yang berhadapan dengan krisis kemanusiaan impak COVID-19.

Malah, tindakan PH dilihat sebagai bukti bahawa politik di negara masih pada takuk lama atau berlingkaran dalam normal lama yang mementingkan kuasa semata-mata. Sampai bilakah kita mahu melihat politik itu hanya berkisar soal kuasa dan bukannya untuk kepentingan rakyat?

Ketika krisis ini, mengurus demokrasi bukan suatu hal yang mudah. Lebih-lebih lagi, tindakan politik khususnya dalam kalangan pemimpin yang masih tidak peka dan gagal memahami keutamaan.

Jika selama ini ahli politik sering menggunakan alasan tindakan mereka bersandarkan kemahuan dan kepentingan rakyat, sudah tiba masanya rakyat bersuara menyatakan apa sebenarnya kemahuan mereka ketika ini. Rakyat perlu menyampaikan mesej mereka kepada ahli politik.

Kita percaya, rata-rata rakyat Malaysia yang rasional tidak mahu lagi berhadapan dengan satu lagi krisis politik, kerana COVID-19 mengajar mereka erti perjuangan kehidupan yang sangat getir.

Berdasarkan satu analogi dalam demokrasi, penulis yakin jika rakyat ketika ini diberikan pilihan sama ada diberi roti (makan untuk survival) dan undi (mandat untuk kerajaan baharu), mereka akan memilih roti.

Seperti dalam perkara lain, kita berharap politik Malaysia juga perlu keluar daripada normal lama, iaitu kepentingan hak dan kuasa kepada normal baharu, iaitu tanggungjawab dan amanah.

Semoga hari yang berbaki dalam Ramadan ini memberi keinsafan kepada kita untuk melihat kehidupan dengan lebih rasa syukur dan hati yang bersih. Demi sebuah demokrasi yang Islami.

Penulis adalah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X