Isnin, 11 Mei 2020 | 11:00am
Jurnal Sains Malaysiana keluaran UKM menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi.
Jurnal Sains Malaysiana keluaran UKM menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi.

UKM pelopori Sains Moden, angkat status bahasa Melayu

Malaysia mendapat haknya sebagai negara merdeka dan berdaulat apabila mencapai kemerdekaan pada 1957. Meskipun, bangsa Melayu sudah membina tamadun sejak 535 Sebelum Masihi dan ia terbukti daripada penemuan tinggalan kerajaan Kedah Tua di Sungai Batu, Gunung Jerai.

Sejarah Kesultanan Melayu pula tercatat hanya pada kurun ke-12 di Kedah dan ke-14 di Melaka. Mulai kurun ke-16, Semenanjung Tanah Melayu mulai dijajah Portugis, Belanda dan akhirnya Inggeris. Sepanjang sejarahnya, kita mengenali bangsa Melayu kaya dengan ketamadunan dalam konteks pemerintahan, perdagangan, Islam, budaya dan persuratan.

Lebih dua abad bersama Inggeris, budaya dan persuratan Melayu hampir berkubur dan pengaruh budaya Inggeris berkembang. Mereka membawa ilmu dan teknologi Barat untuk meneroka sumber bumi, khususnya ilmu mengenai pertanian, perlombongan dan perubatan.

Dalam sela terakhir penjajahan Inggeris, mereka mewujudkan Universiti Malaya (UM) di Singapura dan pada 1962 berpindah ke Kuala Lumpur. Ilmuwan Inggeris mempelopori pelbagai bidang ilmu di universiti ini.

Hasil perjuangan bangsa Melayu pasca kemerdekaan, Malaysia berupaya memecah ruyung dengan mewujudkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1970. Ketika itu, sebuah fakulti sains dibentuk terdiri daripada lima jabatan iaitu Fizik, Kimia, Biologi, Geologi dan Matematik.

Inilah permulaan pembangunan ilmu sains moden oleh anak watan di negara tercinta ini. Inilah juga bermulanya usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi di Malaysia.

Sejarah penting yang tercipta pada 1970 kurang disedari masyarakat awam. Antara sebab utama ialah negara sedang mengharungi pembangunan sumber manusia dan prasarana yang sangat pesat, set minda pemimpin yang masih terperangkap dengan pemikiran penjajah dan pengaruh globalisasi yang tidak mengenal batas negara.

UKM dan beberapa universiti baharu seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi MARA (UTM) hanya sekadar tempat menghasilkan pemimpin dan tenaga mahir untuk pembangunan negara.

Budaya ilmu dan kesarjanaan kurang dihiraukan, hanya dilihat sebagai kemajuan biasa-biasa sahaja.

Fakulti Sains UKM pada hakikatnya ialah pencetus budaya Sains Tulen Ilmu Tinggi di Malaysia. Lebih manis lagi, ia terbina dalam bahasa Melayu, bahasa warisan penduduk watan warga Malaysia.

Ketika penubuhannya, dua anak muda yang baru pulang dari luar negara, iaitu Dr Mohd Ghazali Abdul Rahman dan Dr Noramly Muslim diberikan tanggungjawab besar untuk memikul obor Fakulti Sains UKM.

Mereka tanpa membuang masa, meminjam ramai ahli akademik kanan dari Indonesia dengan segelintir tenaga pengajar muda dari UM, untuk memulakan lima program pengajian prasiswazah iaitu Fizik, Kimia, Biologi, Geologi dan Matematik.

Sejarah terukir apabila mimpi pejuang bangsa terlaksana. Sains Tulen pada peringkat universiti diajar sepenuhnya dalam bahasa Melayu.

Mengambil contoh Jabatan dan Program Pengajian Geologi, ia dipelopori Dr HD Tjia sebagai Ketua Jabatan selama 10 tahun. Beliau membawa beberapa pensyarah kanan dari Indonesia dan India antaranya Prof S Sartono (pakar Paleontologi) dan Dr K Kardinal (pakar Mineralogi) dan Dr DC Kamineni (pakar Petrologi).

Beliau juga mendapat bantuan bakat muda kelulusan UM seperti Ismail Mohd Noor, Ahmad Jantan, Oscar Tan, Syed Sheikh Al-Mashoor dan Wan Fuad Wan Hasan.

Sejak tahun pertama, beliau memastikan hampir semua pengajaran dilakukan dalam bahasa Melayu. Pada 1971, beliau menerbitkan Kamus Geologi Inggeris-Melayu sebagai rujukan pensyarah dan pelajar. Saya pasti, keadaan sama berlaku di semua jabatan di Fakulti Sains, Fakulti Sastera dan Fakulti Pengajian Islam ketika itu.

Pembangunan Jabatan Geologi dipelopori ilmuwan dari Indonesia yang berjiwa Nusantara. Dalam masa singkat mereka mengerakkan usaha kewatanan. Sebaik pelajar pengambilan pertama mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Geologi, mereka yang terbaik dihantar ke luar negara untuk mengikuti ijazah pasca siswazah.

Prof Basir Jasin (Mikropaleontologi) dan Prof Abd Rahim Samsudin (Geofizik) antara ahli akademik pengambilan pertama menjadi pakar subbidang geologi di UKM. Ramai pelajar cemerlang daripada pengambilan kedua hingga ke-10 dijemput menjadi ahli akademik di Jabatan Geologi UKM.

Antaranya yang memegang jawatan Profesor iaitu Hamzah Mohamad (Petrologi); Ibrahim Komoo (Geologi Kejuruteraan); Umar Hamzah (Geofizik Gunaan); Ibrahim Abdullah (Geologi Struktur); Mohd Shafeea Leman (Paleontologi); Che Aziz Ali (Sedimentologi).

Sementara yang berjawatan Profesor Madya ialah Mohammad Mat Tan (Geokimia), Zaiton Harun (Geomorfologi), Uyop Said (Palinologi), Juhari Mat Akhir (Penginderaan Jauh), Kadderi Md Desa (Mineralogi) dan Kamal Roslan Mohamed (Sedimentologi).

Di USM dan Universiti Malaysia Sabah (UMS), ada siswazah geologi UKM bertaraf Profesor iaitu Mokhtar Saidin, Felix Tongkul dan Sanudin Tahir. Mereka ini mewakili hampir 50 peratus ilmuwan geologi negara dan kini hampir semuanya sudah bersara.

HD Tjia adalah ilmuwan bertaraf global dan dilantik menjadi Profesor pada 1973, antara terawal di UKM. Beliau juga pakar Geomorfologi dan Tektonik dihormati di Asia Tenggara.

Kami semua beruntung berguru dengan sarjana tersohor dan berwawasan murni ini. Beliau mempelopori jurnal Sains Malaysiana, sambil memperkenalkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi.

Kini Sains Malaysiana ialah jurnal sains unggul dan terindeks dalam WoS. Beliau menulis beberapa buku teks dalam bahasa Melayu dan ratusan kertas jurnal ufuk ilmu hingga ke akhir hayatnya.

Hasil didikan beliau, ratusan ilmuwan graduan UKM menulis ribuan artikel sains dalam jurnal terindeks pada peringkat kebangsaan dan global. Inilah rintisan membudaya Sains Moden sebenar negara dipelopori oleh UKM sejak 1970.

Saya memberikan gambaran perkembangan Sains Moden negara melalui bidang ilmu geologi. Pada masa sama bidang Biologi, Kimia dan Fizik juga melalui perkembangan sama. Beberapa tahun berikutnya, perkembangan ilmu seperti Perubatan, Kejuruteraan, Sains Komputer dan Sains Kesihatan turut mengikut langkah sama.

Sehingga kini, UKM melahirkan ramai ahli sains bertaraf global. Ia bukan sahaja daripada kelompok bangsa Melayu, tetapi meliputi suku kaum China, India, Kadazan-Dusun, Bajau dan Iban. Pencapaian dan keilmuan ahli sains negara kini setanding rakan mereka di negara maju.

Walaupun kemajuan sains di Malaysia kini amat memberangsangkan, budaya menggunakan sains watan masih di tahap awal. Masyarakat masih belum dapat membezakan antara ilmu sains yang datang dari dalam atau luar negara.

Sebahagian besar daripada kita terperangkap dalam perjalanan sejarah yang belum berakhir, justeru tidak hairanlah jika ramai kurang menyedari impak kemajuan Sains Moden yang dipelopori UKM untuk pembangunan negara.

Penulis adalah Alumni dan Felo Utama Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita Harian X