Selasa, 17 March 2020 | 11:00am
Sektor STI memerlukan keselarasan dan kesepaduan dasar, polisi, pelaksanaan dan pemantauan. - Foto hiasan
Sektor STI memerlukan keselarasan dan kesepaduan dasar, polisi, pelaksanaan dan pemantauan. - Foto hiasan

Memperkasa sains untuk kemakmuran

SEKALI lagi tadbir urus agenda sains negara berubah dengan portfolio Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) diwujudkan kembali sebagai kementerian khusus. Portfolio tenaga dan alam sekitar disusun sebagai kementerian tersendiri.

Ketika Kabinet diumum, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menjadi tumpuan. Pertama, wujudnya persepsi perbandingan bilangan menteri menjaga portfolio sains, alam sekitar dan tenaga.

Kedua, pesona menteri baharu yang memang ramai pengikut turut menarik perhatian. Jarang hal ini berlaku dalam sejarah Kabinet membabitkan portfolio sains.

Biasanya, kementerian berkaitan sains tiada tarikan diwacanakan. Justeru, minat dan perbincangan umum harus dimanfaat dengan pemahaman dan kesedaran agenda kemajuan sains negara.

Sebagai ukuran, apakah tanda aras pembangunan sains negara? Kajian Science Outlook diterbitkan Akademi Sains Malaysia mencadangkan enam teras utama. Penerbitan kajian ini dapat memandu mana-mana tindakan bersegera atau jangka masa panjang yang perlu dilaksanakan kerajaan.

Teras pertama, keberkesanan tadbir urus membabitkan perancangan, pelaksanaan dan pengawalseliaan strategi serta inisiatif STI. Mengikut rekod, terdapat lebih 45 polisi negara berkaitan STI merentas pelbagai kementerian.

Justeru, sektor STI memerlukan keselarasan dan kesepaduan dasar, polisi, pelaksanaan dan pemantauan. Dalam langkah strategik, penubuhan Majlis Sains Negara yang baru diumumkan sebagai entiti tadbir urus berpusat merentas kementerian perlu diteruskan.

Malah sejak 2015, laporan Science Outlook mencadangkan kerajaan mewujudkan Akta Sains Negara. Melalui perundangan, tadbir urus akan lebih bersinergi kerana mempunyai mandat dan struktur jelas.

Perancangan dan pelaksanaan strategi lebih bersistematik dan terangkum, termasuk membabitkan belanjawan. Cadangan penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai STI berupaya memastikan sokongan aktif legislatif menerusi proses semak dan imbang.

Kekurangan dikenal pasti adalah dalam kapasiti pelaksanaan berbanding penasihatan. Justeru, kelulusan Dewan Rakyat sebelum ini untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Sains, Inovasi dan Alam Sekitar perlu diperkasakan.

Dua teras berikutnya, penyelidikan dan pembabitan industri dalam agenda STI negara menunjuk perkembangan baik. Pemerkasaan mula dilaksanakan menerusi rangsangan penyelidikan eksperimental bagi meningkatkan komersialisasi hasil penyelidikan.

Bagaimanapun, menjadi keperluan kerajaan untuk menjajarkan belanjawan penyelidikan supaya setanding negara global. Malah, cadangan penubuhan Agensi Penyelidikan Negara bagi menyelaraskan semua agenda penyelidikan perlu diberikan keutamaan.

Pada masa sama, penggunaan teknologi digital dan data raya dapat memperkasakan ekosistem kerjasama membabitkan input serta output pembangunan, perkhidmatan dan penyelidikan STI. Sebagai permulaan, pelancaran inisiatif Malaysia Open Science Platform (MOSP) diharap dapat merealisasikan hasrat perkongsian data penyelidikan dijajarkan dengan bidang keutamaan negara.

Seterusnya, cabaran yang belum menampakkan penyelesaian adalah membabitkan teras pendidikan dan pembangunan bakat. Lebih membimbangkan, berlaku penurunan pelajar aliran sains secara berterusan, prestasi pelajar semakin merudum dalam ranking global sains dan matematik serta kurang pengiktirafan terhadap bakat STI.

Pada peringkat pendidikan sekolah, penubuhan Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dirintis Kementerian Pendidikan bersama Akademi Sains Malaysia. Inisiatif strategik ini bertujuan menyediakan latihan profesional pembelajaran dan pengajaran lebih bersistematik serta bersepadu.

Kini, apa harus dilakukan adalah memperkasakan kembali Pusat STEM melalui sokongan belanjawan khas seperti cadangan ketika penubuhan. Usaha berterusan perlu dilaksanakan dalam mengekalkan bakat sedia ada dan menarik bakat baharu profesional STEM.

Ini merujuk skim penggajian, penjawatan, perkembangan dan laluan kerjaya berkaitan STEM. Peluang pekerjaan berteras STEM dan ketidaksepadanan antara kelayakan graduan dengan jenis pekerjaan perlu diutamakan.

Tidak lupa, teras pembudayaan sains perlu diberi perhatian bagi mewujudkan masyarakat berliterasi sains. Pengupayaan agenda literasi sains membolehkan masyarakat dibekalkan dengan pengetahuan saintifik asas bagi memahami pelbagai isu sains sekeliling.

Sekurang-kurangnya masyarakat dapat membezakan perihal kebenaran dan kesalahan berdasarkan fakta sains difahami. Kajian menunjukkan masyarakat mempunyai pengetahuan rendah dalam sains walaupun minat tinggi.

Saintis dan penyelidik perlu meningkatkan hubungan pendidikan bersama masyarakat. Menariknya, pelbagai inisiatif membabitkan komunikasi maklumat sains sahih dan tepat turut dilaksanakan menerusi media digital dan sosial.

Negara kita menunjukkan kepimpinan global cemerlang menerusi pembabitan dalam pelbagai organisasi strategik sains serantau dan antarabangsa. Misalnya, Malaysia mengetuai Institute of Science, Technology and Innovation Centre for South South Cooperation (ISTIC) di bawah UNESCO.

Kelangsungan kemajuan sains diharapkan memakmurkan negara dan mensejahterakan masyarakat dengan kehidupan lebih baik. Justeru, pembangunan sains negara menerusi enam perkara teras seperti dinyatakan perlu terus diperkasakan. Inilah agenda utama sains yang perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan baharu.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia dan Ahli Bersekutu Young Scientists Network, Akademi Sains Malaysia

Berita Harian X