Isnin, 9 Disember 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan/Nurul Shafina Jemenon
- Gambar hiasan/Nurul Shafina Jemenon

KSSM perkasakan pelajar secara holistik

Sistem pendidikan kita maju setapak lagi apabila Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan mulai sesi persekolahan tahun depan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) akan diperkenalkan kepada pelajar Tingkatan Empat, menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).

Ia membabitkan pengubahsuaian pemilihan aliran Sains dan Sastera. Ini bermakna pelajar tidak perlu memilih salah satu aliran berkenaan, tetapi diberi peluang memilih satu daripada empat pakej mata pelajaran.

Mungkin ada bertanya mengapakah perubahan ini berlaku? Sesungguhnya pelaksanaan KSSM bagi merealisasikan agenda Gelombang Kedua, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2016 hingga 2020.

Gelombang kedua ini akan memberi penekanan kepada pembangunan pelajar secara holistik.

Di samping itu, pihak kementerian mengambil peranan menyediakan pendidikan berkualiti bagi melahirkan pelajar abad ke-21 bertaraf dunia yang berfikiran kritis dan kreatif.

Langkah kementerian ini selari dengan sistem pendidikan di negara maju. Misalnya di Finland, pelajar tidak dipisahkan mengikut aliran Sains atau Sastera.

Perbezaan pencapaian akademik dalam kalangan pelajar bukan isu penting. Guru yang terlatih, berkemampuan mengajar mempunyai kebolehan berbeza walaupun berada dalam kelas sama.

Model student-centered yang mereka gunakan membolehkan pelajar berupaya menyediakan set goal mengikut keupayaan dan kebolehan mereka sendiri.

Kebiasaannya guru dan ibu bapa hanya sebagai pendorong untuk pelajar membuat pilihan betul. Pelajar yang lemah pencapaiannya diberi bantuan dan sokongan, termasuk daripada aspek psikologi dan sosial.

Bagi pelajar pintar atau berkebolehan tinggi akan disediakan bahan sokongan dan sumber tambahan supaya mereka dapat memaksimumkan keupayaan.

Di negara maju, pelajar sekolah menengah lebih berminat memilih pendidikan berasaskan kemahiran misalnya pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), teknikal dan vokasional, jika dibandingkan dengan bidang akademik sahaja.

Dalam aliran pendidikan itu, pelajar mempunyai banyak pilihan seperti robotik, automekanik, produksi media, teknologi maklumat (IT), elektronik, games design, kejuruteraan elektrik, reka cipta, sains sukan, reka bentuk grafik dan sebagainya.

Pembelajaran ini dapat membina pelajar yang holistik dan sedia menghadapi persaingan.

Mereka berpeluang membuat pilihan lebih besar apabila melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi nanti.

KSSM dilaksana secara berperingkat bermula 2017 ketika pelajar di Tingkatan Satu. Ia untuk menjadikan kurikulum kebangsaan lebih holistik dan relevan.

Kurikulumnya berasaskan mata pelajaran teras, subjek wajib, mata pelajaran tambahan dan elektif.

Kerangka kurikulum berdasarkan lima tunjang, iaitu Komunikasi, Fizikal dan Estetika, Penampilan diri, STEM serta Kerohanian, sikap dan nilai.

Menariknya, pelaksanaan KSSM membolehkan pelajar menentukan hala tuju dan bidang kerjaya diminati lebih awal.

Mereka berpeluang memilih satu daripada empat pakej ditawarkan iaitu tiga pakej STEM serta pakej Sastera dan Kemanusiaan.

Pakej STEM memerlukan pelajar mengambil mata pelajaran Sains Tulen, Matematik Tambahan dan elektif STEM.

Sementara itu, Pakej Sastera dan Kemanusiaan pula pelajar mengambil gabungan mata pelajaran elektif terdiri daripada kumpulan subjek elektif, Bahasa Malaysia, Pengajian Islam, Kemanusiaan, Sastera Iktisas dan mata pelajaran STEM.

Setiap pelajar perlu mengikuti tiga kumpulan mata pelajaran iaitu teras, wajib dan elektif.

Mata pelajaran teras ialah Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral. Mata pelajaran wajib pula terdiri Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan.

Pelaksanaan KSSM akan mewujudkan suasana pembelajaran menyeronokkan, sekali gus melahirkan generasi berfikiran kritis dan kreatif.

Penyediaan mata pelajaran elektif (hampir 100 mata pelajaran meliputi tujuh bidang) ada kaitan dengan keperluan industri, badan profesional dan badan pensijilan tempatan serta antarabangsa.

Ini bersesuaian dengan matlamat negara untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi pada masa hadapan.

Sesungguhnya pelaksanaan KSSM memerlukan persediaan rapi pihak sekolah serta Persatuan Ibu dan Guru (PIBG). Taklimat menyeluruh perlu diberikan kepada pelajar agar mereka dapat membuat pilihan betul dan tepat.

Guru kaunselor di sekolah dicadangkan untuk menyediakan lebih banyak bahan dan maklumat terkini, sebagai panduan pelajar.

Di samping itu, penyediaan tenaga pengajar mencukupi, terutama bagi mengajar mata pelajaran elektif.

Disarankan kaedah penggunaan guru ‘guna sama’ iaitu khidmat guru yang boleh mengajar di beberapa sekolah berhampiran jika diperlukan.

Khidmat guru bersara dan siswazah baharu boleh dimanfaatkan bagi mengisi kekurangan guru terutama bagi mata pelajaran elektif.

Justeru, peranan ibu bapa tidak kurang pentingnya. Mereka juga harus berusaha mendapatkan maklumat mengenai KSSM bagi membantu anak yang akan memasuki Tingkatan Empat, sebelum bermula sesi persekolahan awal tahun depan.

Penulis adalah bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan Ahli Majlis Persatuan Sejarah Malaysia

Berita Harian X