Jumaat, 8 November 2019 | 11:00am
Demonstrasi bantahan 'Jangan Hina Nabi Kami'. - Foto hiasan

Menilai tulisan Barat mengenai Nabi Muhammad

KRITIKAN terhadap Nabi Muhammad SAW sudah bermula sejak Baginda masih hidup lagi. Kaum Quraish adalah kumpulan pertama yang menghina Baginda dan mempersoalkan mesej dibawa Baginda yang bertentangan dengan kepercayaan kaum berkenaan.

Kritikan terhadap Baginda masih berterusan setelah Baginda wafat dan sadisnya, ia masih lagi terjadi sehingga abad ke-21 kini.

Antara punca utama penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW adalah kerana perbezaan pegangan agama. Malah, peribadi dan kehidupan baginda dinilai sebegitu terperinci yang menjadi bahan kajian dalam kalangan sarjana barat.

Antara individu terawal pada kurun kelapan yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad adalah seorang Nabi palsu yang kedatangannya tidak disebut oleh nabi-nabi sebelumnya adalah John Damascus. Beliau hidup pada zaman Umawiyyah di bawah kepemimpinan Khalifah Abdul Malik.

Pada zaman Abbasiyyah, muncul individu seperti Timothy I dan Eulogio dari Cordoba pada kurun ke-9 yang menghina peribadi dan kewujudan Baginda. Kritikan negatif terhadap Baginda berterusan pada setiap kurun dengan mengecam Rasulullah sebagai pengganas, ahli sihir, kaki perempuan dan pelbagai lagi tuduhan tidak berasas.

Tetapi corak perubahan kritikan berubah pada kurun ke-17 apabila kritikan disasarkan kepada hadis iaitu merujuk kepada kata-kata Nabi, perbuatan, taqrir dan sifat-sifat Baginda. Seorang ahli falsafah Perancis, Barthelemy d’Herbelot (1625-1695) membuat penelitian terhadap hadis secara skeptikal dan menuduh Nabi Muhammad SAW sebagai utusan yang palsu.

Kurun ke-19 melahirkan ramai sarjana Barat yang mengkaji hadis Nabi secara mendalam. Antaranya adalah Gustav Weil, Aloy Sprenger, William Muir, Ignaz Goldziher, C S. Hurgronje, Henri Lammen dan D. S. Margoliouth.

Kebanyakan mereka ini menggunakan pendekatan yang berbentuk skeptikal dalam menilai sesuatu, sehingga sanggup mengetepikan kebenaran walaupun mengetahuinya. Goldziher, sebagai contoh, mencipta beberapa teori bahawa hadis adalah sebuah pengumpulan palsu yang direka oleh generasi di sekeliling Nabi Muhammad SAW.

Selepas itu, Joseph Schact, G.H.A Juynboll, dan Harald Motzki terkenal dengan kajian mereka pada kurun ke-20 dan setiap daripada mereka membina teori dalam ilmu hadis yang membabitkan sanad dan juga matan.

Tidak dinafikan bahawa impak yang dihasilkan daripada kajian-kajian barat ini lebih menjurus kepada impak negatif, terutama dalam menimbulkan keraguan kepada umat Islam terhadap autoriti hadis sebagai satu sumber asas kepada syariat Islam. Tetapi pada masa sama, ada juga impak positif yang terhasil daripada kajian Barat ini.

Sebagai contoh, A J Wensick menghasilkan karya hebat yang berbentuk kamus dengan menyusun perkataan di dalam hadis mengikut abjad.

Hasil kajian terhadap orientalis Barat ini juga melahirkan ramai ilmuwan Islam yang hebat, bijak menepis semua kritikan mereka, seperti Mustafa al-Siba’i dan Mustafa Azami. Ia juga melatih Muslim untuk berfikiran kritis dan bersikap profesional bagi mengkaji dengan lebih mendalam sehingga mampu menjawab pandangan negatif yang dilontarkan oleh sarjana barat terhadap Nabi dan juga hadis.

Maryam Jameelah, di dalam bukunya Islam and Orientalism menyatakan: ‘Adakah Orientalism itu secara keseluruhannya keji?’ Jawapannya adalah tidak, secara pembuktian.

Apabila sesuatu perkara negatif itu dipandang secara positif, maka ia menjadi peluang untuk kita terus berjuang dalam menegakkan kebenaran. Maka benarlah juga sabda Rasulullah SAW: ‘Sesungguhnya kadangkala Allah menolong agamanya di atas sebab perbuatan orang yang jahat’. (HR Bukhari).

Tambahan daripada itu, kurun ke-20 juga adalah sebuah fasa penting di mana karya positif berkaitan sirah Nabi Muhammad SAW dilahirkan oleh sarjana Barat itu sendiri.

Sebagai contoh, Martin Lings dengan tulisannya Muhammad: His Life Based on the Earliest Sources adalah antara buku biografi terbaik yang mendapat anugerah, serta diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa.

Karen Amstrong dengan bukunya bertajuk Muhammad: A Biography of the Prophet juga memberi kesan positif kepada pembaca bukan Islam sehingga akhirnya menerima Islam sebagai agama. Penulisnya tidak memegang mana-mana agama, tetapi beliau cuba membawa pendekatan untuk mengenali Nabi Muhammad SAW dan agama Islam tanpa prejudis dengan menjelaskan konflik yang berlaku dalam kalangan Barat sendiri.

Ada ramai juga sarjana Barat yang mengiktiraf Nabi Muhammad SAW sebagai individu paling berpengaruh dunia, dan mencatatkan aspek positif daripada kehidupan baginda. Dr Zuwaimer, seorang orientalis dari Kanada menganggap Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin agama, reformis dan pemikir agung, yang kebenarannya tertulis di dalam al-Quran.

Bretly Hiler, orientalis Jerman mengetengahkan metod digunakan Nabi Muhammad dalam berdakwah sesuai dengan keadaan zamannya, dan beliau juga mengakui sifat adil dimiliki Baginda. Michael Hart juga menyenaraikan Nabi Muhammad SAW sebagai individu paling berpengaruh di dunia di dalam bukunya The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History, mengalahkan beberapa individu penting dalam agama-agama lain.

Penulisan Barat terhadap Nabi Muhammad SAW perlu dipandang secara adil tetapi kritis kerana pendekatan dan metod yang digunakan adalah berbeza. Karya mereka boleh dimanfaatkan khasnya dalam kalangan generasi muda untuk berhadapan dengan dunia semasa yang lebih mencabar.

Ini juga menjadi peluang terbaik untuk melindungi nama baik Islam serta keperibadian agung Baginda sebagai utusan terakhir Tuhan, yang kehadirannya tidak lain dan tidak bukan hanyalah sebagai pembawa rahmat kepada sekalian alam.

Penulis adalah Pensyarah USIM dan EXCO Biro Kajian Islam dan aktivis Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ)

Berita Harian X