Khamis, 31 Oktober 2019 | 11:00am
- Foto hiasan

Segerakan kempen celik media

BARU-BARU ini, Dewan Rakyat memansuhkan satu lagi undang-undang peninggalan rejim lama yang dilihat zalim, iaitu Undang-undang Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Dengan pemansuhan akta itu, kerajaan perlu menyegerakan usaha pendidikan celik media bagi mengatasi masalah berita palsu.

‘Berita palsu’ ialah suatu frasa yang menjadi trend sebutan masa kini. Namun, apa maksud sebenarnya? Apakah berita palsu itu suatu pengkisahan yang mengandungi maklumat salah seperti nama, angka dan sebagainya? Ataupun berita palsu itu suatu cerita yang dipetik luar daripada konteks kejadian?

Hakikatnya, berita yang 100 peratus palsu ialah fiksyen dan dongeng semata-mata. Cerita dongeng senang untuk dikesan. Apa yang menjadi masalah ialah, apabila sesuatu berita itu mengandungi maklumat salah yang disengajakan bagi tujuan memberi gambaran tidak tepat atau tidak benar terhadap sesuatu kebenaran.

Contohnya, berita yang hanya mengisahkan sebahagian fakta atau berita yang memanipulasikan fakta bagi mewujudkan persepsi tidak benar. Berita sebegini tidak boleh dikatakan palsu keseluruhannya, namun ia jelas tidak menggambarkan kebenaran. Perkara ini disebut sebagai disinformasi.

Disinformasi ialah frasa yang diguna ketika Perang Dingin untuk merujuk kepada taktik propaganda yang mana maklumat palsu disebarkan secara sengaja untuk mempengaruhi pemikiran orang awam.

Pakar psikologi dan pakar komunikasi sudah banyak melaporkan mengenai kecenderungan mental kita seperti kecenderungan pengesahan (confirmation bias), percanggahan kognitif (cognitive dissonance) dan keyakinan terlampau (over confidence).

Maka pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan ke atas kelemahan itu, contohnya menggunakan retorik kaum untuk meyakinkan orang lain sesuatu perkara kerana mereka tahu bahawa, isu kaum adalah isu sentimental kepada kita.

Perkara ini sememangnya amat berbahaya dan mengancam kestabilan institusi demokrasi. Justeru, isu pokok sekarang ialah kaedah kita mengatasi disinformasi ini.

Ketika perbahasan memansuhkan Akta Berita Tidak Benar di Dewan Rakyat, barisan Ahli Parlimen pembangkang berulang kali menyatakan bahawa ada banyak negara lain yang sudah menggubal perundangan antiberita palsu dan ini adalah satu-satunya cara untuk mengatasi masalah disinformasi.

Sebaliknya, Ahli Parlimen kerajaan menegaskan bahawa undang-undang sedia ada sudah memadai untuk menangani masalah berkaitan penyebaran fitnah, maklumat salah yang disengajakan dan sebagainya.

Namun, adakah benar negara yang sudah menggubal akta antiberita palsu berjaya menyelesaikan masalah itu? Jawapannya tidak.

Sebuah badan pemikir antarabangsa, Open Society Institute, melaporkan dalam Indeks Celik Media (Media Literacy Index) bahawa negara Eropah yang paling berdaya tahan terhadap disinformasi ialah negara Eropah utara seperti Finland, Denmark, Belanda dan Sweden.

Mengapa? Kerana negara-negara ini mempunyai sistem pendidikan yang memupuk pemikiran kritis dan nilai yang baik seperti amanah, bertanggungjawab, jujur dan sebagainya. Sebaliknya, negara Eropah yang menggubal perundangan antiberita palsu, tidak terangkum dalam lima kedudukan paling tinggi.

Sekiranya Malaysia mahu mencontohi model mana-mana negara, lebih baik kita mencontohi model yang paling baik. Antara semua negara itu, Finland ialah juara dalam aspek mengatasi disinformasi.

Mereka memulakan pendidikan celik media dari tadika sehingga ke universiti. Melalui pendidikan celik media, pelajar dididik untuk meneliti maklumat supaya mereka berupaya menganalisa, menilai, dan memikirkan sama ada bahan yang disebarkan adalah benar atau sebaliknya.

Kerajaan Pakatan Harapan tidak menafikan ancaman disinformasi terhadap masyarakat kita. Masalah disinformasi boleh membawa kepada masalah ketidakpercayaan dalam kalangan rakyat. Kita akan memilih maklumat yang sama dengan pandangan dunia kita sahaja. Akhirnya, keadaan ini akan mengakibatkan polarisasi masyarakat yang semakin serius.

Bagaimanapun, kaedah hukuman tidak akan dapat menghalang orang ramai daripada penyebaran disinformasi sekiranya mereka beranggapan sesuatu disinformasi itu adalah benar.

Cara paling efisien dan baik adalah mengupayakan rakyat Malaysia, agar mempunyai keupayaan menilai kesahihan maklumat yang sampai kepada mereka. Bak kata pepatah orang Cina, khabar angin akan terlerai apabila sampai kepada orang bijak.

Biar kita menjadi orang yang bijak - bijak menilai maklumat, bijak berkongsi maklumat, tidak pasti jangan kongsi.

Penulis adalah Ahli Parlimen Kluang

Berita Harian X