Rabu, 23 Oktober 2019 | 11:00am
- Foto hiasan

Pengajian kewartawanan masih relevan

BILL Kovach dan Tom Rosenstiel menyatakan perubahan landskap kewartawanan atau jurnalisme perlu seiring dengan perkembangan teknologi maklumat. Perkembangan itu memaksa kita bergelut dengan persoalan seperti ‘mungkinkah etika jurnalisme konvensional masih diperlukan pada era yang mengutamakan kecepatan dan ketepatan maklumat?

Relevan lagikah akhbar buat masa kini? Bolehkah kita mengharap peranan media sebagai pengawal demokrasi ketika media baru membanjiri publik dengan prasangka, maklumat sekerat-kerat tanpa hujung pangkal dan pendapat yang disamarkan sebagai berita?

Kini, timbul pula suara menyatakan bahawa kursus masscomm atau media massa tidak lagi menjamin masa depan. Benarkah hujahan ini?

Dari sudut realiti semasa ada kebenarannya, terutama di akhbar cetak. Bukan sahaja di Malaysia, merata dunia sudah menukar strategi daripada akhbar cetak kepada portal atau akhbar dalam talian yang bersifat interaktif dan cepat.

Namun, itu tidak bermakna dunia kewartawanan akan berkubur atau sudah tidak relevan lagi. Ini selaras dengan apa yang dikatakan oleh Jeff Jarvis, penulis buku What Would Google Do? yang menyatakan: ‘Model akhbar yang lama sudah mati.’

Ya benar, tetapi berita tidak mati dan tidak akan mati sampai bila-bila. Itu yang menjadi cabaran media masa kini, baik sebuah akhbar, saluran berita televisyen mahupun laman web berita. Cabaran itu sebenarnya baru sahaja bermula.

Begitu juga menurut Kovach dan Rosenstiel dalam buku mereka yang penting mengenai kewartawanan, The Elements of Journalism: What Newspeople Should Know and The Public Should Expect menyatakan bahawa manusia sudah menyampaikan berita dan cerita sejak zaman batu. Namun, caranya mungkin berbeza, tetapi asasnya sama.

Masih berbicara mengenai pentingnya mempertahankan kredibiliti dan perlunya sesuatu berita disahkan. Mengenai menegakkan kandungan berasaskan prinsip kebenaran dan antara yang paling penting, kesetiaan media adalah kepada rakyat.

Kini semua orang ‘layak’ sebagai gatekeepers maklumat. “Journalists are the gatekeepers of information. No they are aren’t anymore.” Sekarang ini kita boleh menikmati begitu banyak maklumat, baik mengenai peristiwa mahupun sejarah, di media sosial seperti Twitter, Instagram dan Facebook.

Apabila muncul media baru yang dipacu oleh kemajuan teknologi, perubahan dalam dunia kewartawanan juga berganjak kepada pendekatan online. Kemunculan media baru sebenarnya menjadi lebih parah selepas Apple mula memperkenalkan iPad pada April 2010.

Trend terkini peminat akhbar beralih kepada mengakses berita di mana sahaja, tanpa mengira tempat. Tidak perlu lagi membeli akhbar di kedai. Pasaran akhbar mula goyah. Pengiklanan mula mengubah strategi kepada pelaburan dalam talian, tidak lagi memfokuskan kepada iklan di media cetak, sedangkan akhbar cetak bergantung hidup kepada iklan untuk survival syarikat mereka. Maka strategi dan formula baharu mesti dilaksanakan.

Bagi sesetengah orang, membaca berita dalam talian secara percuma terasa lebih teruja, senang dan menyeronokkan berbanding menyelak kertas halaman demi halaman. Tiada lagi sempadan, kita boleh menikmati berita seluruh dunia dengan percuma.

Kesannya, operasi syarikat akhbar terjejas teruk. Syarikat akhbar menyusut dan terpaksa dikaji semula dan lebih ramai pekerja terpaksa diberhentikan. Pada masa sama, unit baru khusus untuk mempersembahkan berita dalam format multimedia dan dalam talian dibentuk dan kelompok baru wartawan serta pengarang diambil bekerja.

Maklumat dan data bahkan lebih cepat menyebar di media sosial. Beberapa detik selepas sesuatu acara berlangsung, misalnya, kita sudah dapat mengetahui di Twitter, lengkap dengan catatan waktu, foto dan video.

Dahulu, wartawan menjadi satu-satunya pihak yang mempunyai akses maklumat sebelum orang lain. Kini tidak lagi. Semua orang mempraktikkan kewartawanan melalui media sosial, seolah-olah semua orang adalah ‘wartawan’ dan memiliki akhbarnya tersendiri.

Senario ini memaksa pengajian media dan komunikasi di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu distruktur semula untuk memastikan graduan dilahirkan menepati keperluan industri media semasa. Pelajar bidang itu perlu tahu mengenai realiti baharu perniagaan dan operasi media, termasuk keseluruhan disiplin pengumpulan, pemprosesan dan penyebaran berita.

IPT mencakupi universiti awam (UA) perlu memastikan kurikulum yang diajar menepati kehendak industri dan tidak ketinggalan zaman kerana media masa kini amat berbeza dengan 10 tahun lalu. Kurikulum terdahulu sudah tidak relevan dan ia tidak relevan secara keseluruhannya dengan keadaan media ketika ini. Oleh itu, perlu diubah dan dikaji semula.

Cabaran itu bukan sahaja persaingan dengan media sosial atau sesama sendiri untuk menyampaikan berita, malah pengaruh pengiklanan. Begitu juga sebahagian besar daripada peluang media konvensional untuk mendapat peluang dari segi iklan diambil alih oleh gergasi media sosial seperti Google dan Facebook.

Hakikat, pengajian media dan kewartawanan masih relevan. Namun, perlukan anjakan dan disesuaikan dengan perkembangan teknologi dan komunikasi semasa. Kita perlu menambah baik keseluruhan bidang pengajian ini, manakala syarikat media perlu melihat ke dalam diri untuk membuat penilaian bagi menentukan pendekatan baharu menghadapi cabaran semasa.

Penulis adalah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA

Berita Harian X