Isnin, 21 Oktober 2019 | 11:00am

Duri dan api akhbar Melayu

SASTERAWAN Negara, Datuk Dr Usman Awang mungkin tidak pernah menduga nasib akhbar Utusan Malaysia berakhir dengan tragedi Duri dan Api seperti yang dicatatkan dalam sebuah puisi ketika hari pertama mogok pekerja Utusan Melayu pada 1961.

Puisi itu amat sayu tapi menikam;

Duri dan Api (Catatan pertama pemogokan Utusan Melayu)

Kawan-kawanku yang dikasihi

semalam kita bertemu kembali memadu

ketika matari tersangkut di bumbung Utusan

kita tidak menerima apa yang ada

yang dinyanyikan dari hati berani

dengan tangan erat pada keyakinan terpahat.

Lagu kita telah mulai terpancar

ah, anak-anak manisnya menjenguk keluar

di luar udara basah dalam matari bersinar

semua antara kita lagunya seluruh sedar.

Apakah ini derita diri dalam mimpi

atau kenyataan pahit menjepit

pada lena yang membunuh kehidupan manusia

sama-sama kita rangkul menguji diri.

Kawan-kawanku yang dikasihi

di belakang duri di depan api

kita tidak bisa undur lagi

duri dan api, tajam panasnya kita hadapi.

Semalam dan hari ini kita diukir sejarah

di mana air mata tidak akan menitik tumpah

sebab kebulatan ikrar tak akan berubah

apa saja kita tidak akan menyerah.

Puisi berusia 58 tahun ini kini amat menarik dihayati kerana Utusan Malaysia dan dua akhbar (Kosmo! dan Kosmo! Ahad) tidak lagi berada di pasaran sejak 10 Oktober lalu. Nasib lebih 800 pekerja masih misteri sama ada akan diserapkan di bawah pengurusan baharu yang kini memiliki permit penerbitan Utusan Malaysia atau mungkin sebahagian kecil diambil bekerja dan yang lain terpaksa mencari rezeki di sektor lain.

Lebih menyayat hati ketika ura-ura Utusan Malaysia diterbitkan dengan petugas seramai 70 orang, nasib Berita Harian (BH) juga mungkin mengalami proses pengurangan pekerja yang drastik.

Kebimbangan dalam kalangan petugas media berasas kerana ada kecenderungan pemilik baharu untuk meminimumkan tenaga kerja pada masa sama mengoptimumkan kos.

Dari segi sejarah matlamat di antara penggerak media dan kapitalis sering bertelagah. Media digerakkan oleh tenaga kewartawanan dan pekerja am yang mahir mengenai pemberitaan dan bagaimana nilai berita menjadi milik masyarakat.

Akhbar Melayu bukan sekadar melapor juga memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Kalangan kapitalis pula lazimnya melihat ruang dan peluang menjana keuntungan. Dalam tradisi sosial moden, kapitalis dan ahli politik sering seiringan.

Dalam beberapa isu, kapitalis juga adalah ahli politik yang matlamat mereka mungkin menghalalkan cara. Tidak memeranjatkan pakatan baharu di antara kapitalis dan ahli politik melihat media sebagai jentera kekuasaan seperti yang digariskan oleh Niccolo Machiavelli (1469-1527).

Jika keadaan ini berlalu Utusan akan mengalami nasib sama sebanyak dua kali kerana hampir enam dekad lalu menjadi milik UMNO yang akhirnya lunyai selepas parti berkenaan tidak lagi berkuasa pada 9 Mei 2018.

Utusan sebelum penguasaan ahli politik dan korporat adalah media bebas yang mencerminkan suara bangsa Melayu. Tulisan Pak Sako, Usman Awang, A Samad Ismail dan Said Zahari adalah nurani bangsa Melayu yang tercengkam oleh dasar penjajah.

Imej Utusan musnah apabila UMNO yang di belakangnya ahli politik dan peniaga menjadikan akhbar keramat sebagai suara kepartian. Unsur rasis dan fanatik agama menjadi isu yang menjejaskan keharmonian kaum.

Akhbar Melayu yang lain juga akan berubah peranan apabila suara rakyat menjadi suara penguasa dan korporat yang tentunya memberi kesan dari segi kewibawaan dan pasaran. Dari segi sejarah sumbangan Utusan Melayu, Utusan Malaysia dan BH amat besar serta kesinambungan pemikiran Melayu terdahulu menerusi penerbitan Warta Malaya, Majlis, Warta Negara dan Fajar Sarawak sejak 1930-an.

Pasca 13 Mei 1969 akhbar Melayu berperanan sebagai suara bangsa Malaysia dalam pembentukan Malaysia yang berdaya saing. Agenda Melayu dan Islam diserapkan sebagai jati diri nasional dalam masyarakat majmuk.

Utusan Malaysia dan BH bukan untuk Melayu sahaja kerana kepelbagaian kandungan berita, rencana, polemik dan komentar adalah suara bangsa Malaysia yang pelbagai. Bagaimanapun kini akhbar dan media tradisi yang lain dicabar oleh media baharu yang lebih mudah dan cepat.

Media sosial dan digital memberi cabaran luar biasa, namun tidak mampu menangkis kewibawaan akhbar Melayu di pasaran. Nilai berita dan kewartawanan yang terlatih dan berwibawa masih milik akhbar Melayu.

Amat malang jika operasi media tradisional diganggu oleh tangan korporat dan politik. Langkah pengurangan pekerja bukan tindakan yang waras. Andainya Usman Awang masih ada, puisi Duri dan Api bukan sekadar pemogokan pekerja akhbar Utusan Melayu, juga pengkhianatan bangsa Melayu terhadap media sendiri.

Penulis adalah bekas wartawan Berita Harian

Berita Harian X