Ahad, 20 Oktober 2019 | 11:12am
FOTO hiasan.

Kita perlu juara perkasa koperasi luar bandar

MEMBACA kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad, Khamis lalu yang mahukan institusi koperasi, terutama di luar bandar diperkasakan semula mengingatkan saya pengalaman zaman kanak-kanak sekitar 1970-an dahulu.

Waktu itu, antara tugas wajib saya pada petang Sabtu atau Ahad, biasanya dua minggu sekali ialah menghantar padi ke ‘kilang’ untuk dikisar menjadi beras. Pada waktu itu majoriti orang kampung saya masih mengusahakan sawah.

Sebahagian hasilnya mereka jual, manakala bakinya disimpan dalam kepuk untuk kegunaan keluarga. Biasanya selepas Subuh Sabtu atau Ahad, emak saya akan membentangkan tikar plastik di laman rumah untuk menjemur padi. Jika cuaca panas, menjelang waktu Asar padi berkenaan akan cukup kering dan selepas dimasukkan semula ke dalam guni, saya akan membawanya ke ‘kilang’ untuk dikisar.

‘Kilang’ yang saya maksudkan ini bukan kilang besar seperti yang ada di kawasan industri sekarang ini, tetapi hanya sebuah bangunan papan kecil yang menempatkan mesin pengisar padi. Sebelum wujudnya ‘kilang’ itu, orang kampung saya menggunakan lesung atau antan untuk memecahkan kulit padi dan kemudiannya ditampi bagi mengasingkan dengan beras.

Suatu kerja yang meletihkan dan mengambil masa. Hampir seluruh keluarga terbabit dan sehari suntuk masa dihabiskan untuk menghasilkan hanya sekitar 20 atau 30 kilogram beras. Dengan adanya ‘kilang’ itu, kerja menjadi lebih mudah.

Dengan membayar upah berdasarkan timbangan padi, dalam tempoh tidak sampai sejam, mereka sudah boleh membawa balik 20 atau 30 kilogram beras.

Mengapa kenyataan Dr Mahathir mengingatkan saya dengan ‘kilang’ itu adalah kerana ia wujud hasil penubuhan koperasi. Gabungan modal orang kampung menerusi koperasi membolehkan pembinaan ‘kilang’ berkenaan yang terbukti memberikan banyak manfaat.

Selain memudahkan orang kampung mengisar padi, ia juga menyediakan peluang kerja kepada beberapa penduduk. Kini selepas lebih 40 tahun, kilang itu hanya tinggal tapak. Saya juga tidak pasti sama ada koperasi itu masih ada atau sudah berkubur bersama penerajunya.

Mungkin ‘kilang’ itu tidak lagi sesuai berdasarkan hakikat sekarang yang mana tiada lagi yang mengusahakan sawah untuk kegunaan sendiri, tetapi konsep koperasi dalam memajukan masyarakat masih relevan, cuma perlu disesuaikan mengikut keperluan semasa.

Sebagai contoh, kebanyakan kampung kini berdepan masalah tanah terbiar. Tanah diusahakan pula tidak ekonomik dan kebanyakan bertumpu kepada tanaman mudah seperti sawit atau dusun buah-buahan.

Puncanya kerana sebahagian besar pemilik tanah yang biasanya diwarisi tidak tinggal di kampung, sebaliknya bermastautin di bandar. Yang bermastautin di kampung pula ramai tidak memiliki tanah dan jika adapun hanya cukup untuk tapak rumah.

Di sini konsep koperasi dapat membantu. Pemilik dan penduduk tidak bertanah, bergabung dalam sebuah koperasi. Pemilik tanah meraih manfaat daripada sewaan atau pajakan tanah oleh koperasi serta agihan dividen tahunan, manakala penduduk tidak bertanah pula dari segi peluang kerja dan juga dividen.

Selain mengusahakan tanah, dari semasa ke semasa koperasi ini boleh dikembangkan meliputi aktiviti lain yang berkaitan dan memberi manfaat kepada ahli dan penduduk setempat.

Sebenarnya, konsep koperasi dalam memajukan masyarakat sudah lama terbukti. Idea menyelesaikan masalah melalui prinsip kerjasama ini mula tercetus ketika revolusi perindustrian pada abad ke-18 di Eropah ketika masyarakatnya berdepan masalah pengagihan sumber kekayaan tidak adil dan kenaikan harga barangan.

Koperasi pertama, The Rochdale Equitable Pioneers sebuah koperasi pengguna ditubuhkan di Britain pada 1844 dan sejak itu konsep ini terus berkembang ke negara lain dengan pembabitan dalam pelbagai sektor ekonomi.

Sehingga kini, senarai 300 koperasi terbesar dunia majoritinya adalah dari negara maju yang sebahagian besarnya dari Eropah. Mengikut The Global News Hub, 300 koperasi itu secara terkumpul meraih pendapatan AS$1,636 bilion (sekitar RM6,871 bilion) setahun.

Dari segi perkembangan gerakan koperasi, berdasarkan statistik Malaysia tidak jauh ketinggalan. Mengikut rekod ada lebih 14,000 koperasi di negara ini, malah Bank Rakyat, sebuah bank koperasi tempatan tersenarai di tempat ke-245 senarai 300 koperasi terbesar dunia.

Namun, dari segi pecahan nilai aset dan pendapatan pada tahun lalu masing-masing berjumlah RM142.8 bilion dan RM40.3 bilion, lebih 90 peratus dikuasai sebilangan kecil koperasi besar dengan sekitar 77 peratus oleh hanya dua koperasi perbankan.

Melihat kepada angka berkenaan, pembabitan masyarakat luar bandar dalam koperasi belum menyeluruh, malah secara keseluruhannya masih bertumpu kepada kegiatan menyalurkan kredit. Berdasarkan hakikat ini, kementerian dan agensi yang berkaitan perlu mengambil serius kenyataan Perdana Menteri mengenai usaha memperkasakan semula kegiatan koperasi luar bandar.

Kita perlu ada pihak yang mengambil tanggungjawab untuk menjadi juara dalam menggerakkan agenda ini.

Berita Harian X