Sabtu, 19 Oktober 2019 | 11:00am
ASWARA menawarkan pengajian serba lengkap bagi melahirkan graduan yang berpengetahuan dan menguasai seni animasi.- Foto Mahzir Mat Isa/BH

Potensi seni animasi di ASWARA

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 5 Oktober lalu, membuka satu lembaran baharu dalam sejarah pembinaan sebuah negara Malaysia yang terus membangun dengan memastikan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif kepada semua peringkat masyarakat.

Pelbagai strategi dirangka yang diterjemahkan kepada tujuh teras strategik dengan dipacu oleh 15 Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA).

Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sebuah institusi pengajian tinggi awam yang bernaung di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyambut baik pengumuman semua inisiatif yang terangkum di dalam WKB 2030.

Sebagai sebuah institusi berasaskan kemahiran, ASWARA percaya kejayaan sebuah negara bukan sahaja diukur dan didorong oleh prestasi ekonomi, pembangunan infrastruktur, syarikat multinasional dan teknologi semata-mata.

Pembangunan modal insan holistik termasuk pembinaan jati diri, nilai dan budaya masyarakat perlu disandarkan kepada pendidikan, latihan dan kemahiran yang berterusan.

ASWARA menawarkan pelbagai program pengajian merangkumi kluster seni persembahan, media kreatif dan visual serta teknologi animasi dan multimedia. ASWARA mempunyai potensi yang amat besar melalui pelaksanaan WKB 2030 khususnya bagi bidang pengajian animasi dan multimedia.

Di bawah KEGA 4: Industri Kandungan - (Animasi, Pengaturcaraan, Hiburan, Budaya dan Digitalisasi) yang akan mempertimbangkan potensi perkembangan ekosistem berkaitan industri kandungan seperti animasi.

Di samping itu, KEGA 5: Hab ASEAN turut menggariskan salah satu daripada 12 bidang/aktiviti yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai Hab ASEAN adalah industri kandungan animasi dan digital.

Dalam hal ini, keputusan ASWARA untuk menubuhkan Future Creative School di bawah Fakulti Animasi dan Multimedia yang akan menjadi platform dalam penyelidikan, pusat pengkomersialan dan harta intelek serta asas kepada pewujudan Pusat Animasi Negara adalah inisiatif yang kini mampu mengukuhkan lagi perkembangan bidang animasi di ASWARA, seterusnya menyokong kepesatan industri kandungan animasi di Malaysia.

Melalui KEGA 10: Pusat Kecemerlangan WKB 2030, kerajaan akan mempertimbangkan pewujudan Pusat Kecemerlangan (CoE) ASEAN yang boleh mempelopori bidang pembangunan seperti animasi.

Dalam hal ini, ASWARA sudah selangkah di hadapan apabila diiktiraf sebagai Toon Boom Centre of Excellent iaitu pengiktirafan kepada penyedia perkhidmatan pendidikan yang menawarkan program akademik animation and storyboarding using Toon Boom software.

Dengan pengiktirafan ini, ASWARA kini mendahului institusi pengajian tinggi awam lain di Malaysia yang menerima pengiktirafan seumpama ini. ASWARA adalah institusi pengajian kelima di Asia Pasifik yang menerima pengiktirafan ini dan sebaris dengan Victoria College of Art Amerika Syarikat, Limerick School of Art and Design (LIT) Ireland dan The University of Technology Sydney (UTS).

Dalam tempoh lima tahun ke hadapan ini, ASWARA akan memperuntukkan RM15 juta bagi meningkatkan lagi pembinaan prasarana, penyediaan kelengkapan infrastruktur dan ekosistem pembelajaran yang lebih kondusif untuk pelajar ASWARA khususnya dalam bidang animasi, multimedia dan permainan digital.

Selain itu, ASWARA berhasrat untuk terus meningkatkan pelaksanaan konsep pengajaran dan pembelajaran secara tailored ubanisation learning - pembelajaran on-demand sejajar permintaan kerjaya masa hadapan.

Kaedah pembelajaran ini sudah diguna pakai banyak negara maju bagi menyokong pembelajaran secara fleksibel sepanjang hayat.

ASWARA perlu mengambil peluang melalui WKB 2030 untuk terus terbang lebih tinggi khususnya dalam bidang animasi dan pada masa sama memperkembangkan pengajian dalam bidang seni, budaya dan warisan.

Penulis adalah Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA)

Berita Harian X