Khamis, 17 Oktober 2019 | 11:17am
- Gambar hiasan

Keperluan pertahankan kewartawanan Melayu

Sejak sebelum merdeka lagi, tradisi kewartawanan di negara ini berkembang dalam empat bahasa iaitu Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil.

Setiap aliran kewartawanan ini mempunyai tradisi sendiri dari negara punca asalnya. Kewartawanan Inggeris berasal dari Britain. Di sana ada Daily Mail dan The Times, maka di Malaya muncul The Malay Mail dan The Straits Times. Akhbar Cina juga mempunyai asal dari Shanghai dan Hong Kong. Akhbar Tamil pula dari Chennai.

Kewartawanan dan persuratkhabaran Melayu juga menerima pengaruh dari Betawi (Batavia di Hindia Timur Belanda). Sebab itu persuratkhabaran Melayu juga mempunyai identitinya. Antara ciri unik ialah ruangan pojok yang turut ada dalam akhbar Indonesia.

Semasa di bawah pentadbiran British, akhbar Melayu, Cina dan Tamil dipanggil sebagai vernakular iaitu akhbar yang menggunakan bahasa orang biasa. Golongan elit menggunakan bahasa Inggeris. Maka The Malay Mail, The Straits Times dan The Straits Echo bukan akhbar vernakular.

Akhbar Melayu seperti Utusan Melayu dan Warta Malaya adalah akhbar vernakular lebih-lebih lagi bahasa Melayu adalah lingua franca orang kebanyakan pelbagai kaum. Cumanya bahasa Melayu adalah lingua franca secara lisan.

Bahasa Melayu tulisan hanya dibaca oleh orang Melayu kerana ia beraksara jawi. Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, kedudukan bahasa Melayu berubah kerana ia menjadi bahasa kebangsaan. Ia bukan lagi diistilahkan sebagai vernakular.

Tetapi itu hanyalah untuk bahasa Melayu yang bertulisan rumi. Ini kerana tulisan rumi dan bukannya jawi, aksara rasmi bahasa kebangsaan. Maka sejak merdeka, Berita Harian adalah akhbar utama Tanah Melayu merdeka.

A Samad Ismail meneruskan warisan kewartawanan Melayu yang diasaskan Bapa Kewartawanan, Rahim Kajai di Utusan Melayu ke Berita Harian pula. Tetapi ketika itu, Utusan Melayu masih bertulisan jawi. Syarikat Utusan Melayu hanya menerbitkan akhbar tulisan rumi, sepuluh tahun kemudian iaitu pada 1967 apabila Utusan Malaysia diwujudkan.

Berita Harian dan Utusan Malaysia menjadi wadah kepada kewartawanan nasional kerana kedua-duanya menggunakan bahasa Malaysia. Mereka tidak menjadi akhbar vernakular. Apa yang disebut sebagai akhbar vernakular ialah akhbar Cina dan Tamil.

Sementara akhbar arus perdana pula merujuk kepada akhbar utama berbahasa Melayu dan Inggeris khususnya Berita Harian, Utusan Malaysia, New Straits Times dan The Star. Ini kerana akhbar ini boleh dibaca oleh semua kaum.

Bidang kewartawanan mempunyai disiplin, tradisi, ethos dan budaya yang panjang dan mendalam. Ia dibangunkan secara pewarisan daripada generasi ke generasi melalui media cetak surat khabar. Wartawan dilatih, dididik dan disuburkan melalui pengalaman dan disiplin semasa bekerja. Ini kerana wartawan tidak boleh dilahirkan dengan kursus di kolej atau universiti semata-mata.

Wartawan perlu dilahirkan melalui bimbingan, tunjuk ajar dan teguran daripada editor yang berpengalaman.

Kalau kewartawanan itu aktiviti sepanjang hayat, maka persuratkhabaran adalah bahan bacaan yang merentas sejarah dengan membekalkan naratif nasional pada warga negara. Umpamanya pemikiran yang dicurahkan oleh Berita Harian, berterusan tanpa putus sejak 1957.

Sambungan daripada itu, syarikat akhbar adalah bukan sebuah badan perniagaan semata-mata tetapi institusi. Umpamanya Utusan Melayu Berhad bukan saja sebuah syarikat, tetapi juga adalah institusi, iaitu seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Bayangkan pada masa merdeka dahulu kalau syarikat Utusan Melayu Pte Ltd dan The Straits Times Press tidak wujud, kerajaan perlu menubuhkan agensi penerbitan akhbar iaitu seperti mana kerajaan perlu mendirikan DBP dan RTM.

Penerbitan akhbar memerlukan dana tinggi bukan saja untuk mencetak dan mengedar. Lebih penting lagi ialah pembiayaan bagi aktiviti kewartawanan. Bukan saja untuk membayar gaji wartawan yang setimpal tetapi sama penting ialah pembiayaan bagi kerja liputan dan pemberitaan siasatan.

Kewartawanan bermutu menuntut pembiayaan bermutu. Dengan asakan daripada teknologi maklumat dalam bentuk media sosial sejak dua dekad lalu, akhbar dan media cetak lainnya terancam dan banyak syarikat penerbitan gulung tikar.

Apabila syarikat akhbar tutup seperti Utusan Melayu Berhad, maka runtuhlah sebuah institusi kewartawanan. Walaupun akhirnya dijangka media maya akan sepenuhnya menggantikan media cetak, iaitu dalam bentuk e-akhbar, portal berita dan media sosial tetapi model perniagaan masih tidak nampak keuntungannya.

Akibatnya perniagaan model media maya itu tidak dapat membiayai kegiatan kewartawanan yang selama ini dapat dilakukan oleh akhbar cetak. Maka buat masa ini, dengan pembaca yang ada, walaupun merosot, surat khabar masih relevan dan kewartawanan konvensional wajar dipertahankan.

Apa yang berlaku pada masa depan dan bentuk mana kewartawanan yang mungkin muncul, masa akan menentukan. Tetapi sebarang tindakan pemotongan biaya bagi kegiatan kewartawanan, akan hanya menamatkan satu tonggak penting sebuah negara demokrasi.

Penulis adalah bekas Pengarang Kanan Utusan Malaysia

Berita Harian X