Rabu, 16 Oktober 2019 | 11:00am
Bangunan Utusan Malaysia di Jalan Chan Sow Lin.

Usah kuburkan akhbar Melayu banyak jasa

Bermula dengan akhbar keramat negara, Utusan Malaysia atau lebih dahulu dikenali Utusan Melayu, yang sudah ‘tutup kedai’, kini mungkinkah Berita Harian (BH) juga akan mengalami nasib sama.

Keramatnya perjuangan Utusan Malaysia bukan sahaja bagi orang Melayu, tetapi semua rakyatnya. Perjuangannya mendesak negara dibebaskan daripada kerakusan penjajah British sejak era 1930-an dan memuncak selepas Perang Dunia Kedua pada 1945.

Perjuangannya bersama begitu ramai pejuang untuk mencapai kebebasan daripada belenggu penjajahan, membawa hasil apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957.

Kedua-dua akhbar ini - Utusan Malaysia dan BH - memberi sumbangan amat besar kepada rakyat dalam usaha mengisi kemerdekaan dengan peranan menyedarkan rakyat terutama orang Melayu di kampung di seluruh pelosok negara.

Mesejnya untuk bangun memberi apa saja sumbangan yang boleh, demi menjayakan segala usaha untuk memaju dan menjayakan negara tercinta di sisi negara lain di dunia.

Utusan Malaysia sememangnya lama bertapak, tetapi BH tidak kurang juga jasanya kepada pertumbuhan dan kemajuan negara, walaupun pada mulanya hanya sebagai terjemahan kepada akhbar Straits Times.

BH bermula tanpa mempunyai pemberitanya sendiri. Pada awalnya yang mengendalikan BH adalah seorang sub editor Straits Times yang tidak pun faham bahasa Melayu. Tugasnya ketika itu hanya membuat layout bagi akhbar yang hanya setebal lapan muka surat bersaiz broadsheet.

Saya masih ingat kami yang bertugas sebagai pemberita di Straits Times, harus menyerahkan satu salinan mengenai apa saja berita yang kami tulis untuk diberikan kepada BH. Penyunting di BH ketika itulah yang menterjemah dan mengolah kembali berita yang dimajukan daripada pemberita Straits Times untuk dimuatkan dalam akhbar BH.

Keadaan ini berlangsung buat beberapa waktu dan mula berubah hanya apabila Abdul Samad Ismail dilantik pengurusan sebagai Pengarang BH.

Ini kemudian diikuti pelantikan Mazlan Nordin sebagai Pengarang Berita dan Abdul Wahab Majid sebagai Ketua Penyunting. Saya sendiri kemudian pada 1966 dipindahkan dari Straits Times ke BH sebagai pemberita.

Saya mulanya agak musykil kerana lebih suka menulis dalam bahasa Inggeris kerana tidak begitu selesa mengarang dalam bahasa Melayu pada waktu itu.

Sememangnya saya memulakan persekolahan dalam bahasa Inggeris selepas empat tahun di sekolah rendah Melayu, apabila diterima masuk ke sekolah berasrama penuh The Malay College di Kuala Kangsar.

Malangnya ingatan saya kini agak kabur dan apa saya tulis ini, hanya yang masih saya dapat bayangkan.


BH memberi sumbangan amat besar kepada rakyat dalam usaha mengisi kemerdekaan dengan peranan menyedarkan rakyat terutama orang Melayu di kampung di seluruh pelosok negara. - Foto hiasan

Ketika dipindahkan ke BH pada 1966, kami berenam sahaja bertugas sebagai pemberita, iaitu Alias Ali, Harun Taib, Firdaus Abdullah, Othman Ahmad dan saya sendiri serta seorang lagi yang bukan pun seorang staf atau kakitangan tetap.

Pada waktu itu BH banyak memuatkan berita daerah yang dikirimkan stringer atau pemberita sambilan yang kebanyakannya guru sekolah. Bagaimanapun sejak itu BH maju setapak demi setapak, hingga menyaingi dan kemudian mengatasi jumlah edaran akhbar Straits Times.

BH berjaya mengembangkan kedudukannya apabila memuatkan sisipan khusus untuk sekolah termasuk Minda Pelajar dan Didik. Jika dilihat perkembangan ini memang tidak ternilai sumbangannya kepada rakyat negara ini, khususnya pelajar sekolah ketika itu yang tentunya banyak terhutang budi kepada BH.

Keadaan ini semestinya bukan saja diingati, tetapi harus disanjungi rakyat khususnya guru dan pelajar ketika itu. Maka itulah apabila terdengar desas desus kononnya BH juga mungkin mengalami apa yang dihadapi Utusan Malaysia, saya berasa amat cemas sekali.

Apakah akhbar yang begitu banyak sekali memberi sumbangan kepada rakyat negara ini, mungkin menghadapi apa yang dilalui Utusan Malaysia?

Sememangnya dengan perkembangan teknologi sekarang ini, tidak ramai muda mudi membaca akhbar, tetapi lebih tertumpu kepada WhatsApp, Instagram dan lain-lain muatan di internet.

Ini menyebabkan akhbar kini berada dalam suatu keadaan yang amat mencemaskan. Malah dikatakan akhbar kini dalam keadaan berkemungkinan ditutup terus tanpa wujud lagi, sebab muda mudi kini lebih selesa melayari internet untuk membaca berita.

Apa pun pandangan saya, muatan di internet tidak akan boleh memberikan tulisan dan analisis mendalam mengenai sesuatu perkembangan yang penting.

Apakah kita mahu anak cucu kita tidak dapat berfikir secara mendalam dan kritikal mengenai sesuatu perkembangan politik, sosial dan sebagainya baik apa yang berlaku dalam negara malah di dunia pun?

Harapan saya dan tentunya orang sezaman dengan saya, agar hal itu tidak akan berlaku.

Bagi saya akhbar seharusnya akan terus dapat memberi sumbangan kepada rakyat supaya boleh berfikir secara mendalam dan kritikal, demi kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.

Penulis adalah bekas Pengarang Kumpulan BH

Berita Harian X