Selasa, 15 Oktober 2019 | 11:00am

Penyatuan Melayu tidak jejas keharmonian kaum

Sejak akhir-akhir ini, banyak pihak bercakap mengenai perpaduan, sama ada berkisar kepada kerjasama antara parti politik mahupun penyatuan Melayu.

Dalam hal ini, pendirian saya konsisten - sentiasa menyokong sebarang usaha menyatukan rakyat Malaysia, tidak kira bangsa mahupun warna kulit.

Saya sokong kerana saya sedar perpaduan asas kejayaan sesebuah negara. Jika tidak, mana mungkin usaha menyatukan masyarakat termasuk orang Melayu sudah dimulakan sejak sebelum merdeka lagi.

Pada 1946 misalnya, datuk saya sendiri, Allahyarham Datuk Onn Ja’afar, mengadakan mesyuarat dengan lebih 40 pertubuhan Melayu, bagi berbincang dan menyeru orang Melayu agar bersatu menentang empayar British serta pembentukan Malayan Union.

Lebih bermakna, usaha beliau ini yang menyebabkan tertubuhnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Tidak terhenti setakat itu, Datuk Onn sanggup meletakkan jawatan dalam UMNO pada 1951, selepas cadangannya membuka keahlian UMNO kepada semua kaum ditentang sebahagian besar ahli parti ketika itu.

Lihatlah, betapa besarnya visi Datuk Onn dalam menyatukan rakyat. Beliau sedar dan sanggup akui Malaysia tidak akan berjaya jika hanya bersandarkan kekuatan Melayu semata-mata.

Hari ini, sama ada kita sedar atau tidak, sesetengah usaha dan keputusan yang kita buat seolah-olah sedang mengulang tulis sejarah dicoretkan Allahyarham Datuk Onn.

Lihat sahaja usaha Muafakat Nasional dan penganjuran Kongres Maruah Melayu. Tujuan utama pelaksanaannya, ialah mahu menyemai benih perpaduan dalam kalangan orang Melayu, tanpa sedikit pun berniat meminggirkan kaum lain.

Malangnya, seperti saya jangkakan, akan ada pihak tidak senang dengan usaha ini, lalu dengan sengaja menimbulkan retorik perkauman hinggakan sebahagian bukan Melayu mula berasa terancam dan dipinggirkan.

Akhirnya, bukan sahaja niat murni kita menyatukan rakyat tidak kesampaian, malah menyebabkan syak wasangka dalam kalangan masyarakat semakin menebal.

Pada saya, keadaan ini amat menyedihkan. Namun saya percaya, usaha dan perjuangan menyatukan Melayu mesti diteruskan. Kepada sahabat bukan Melayu, usah gusar dan bimbang. Orang Melayu tidak akan sesekali bersikap cauvenis, apatah lagi mengorbankan keharmonian antara kaum yang sekian lama terbina.

Kebanyakan orang Melayu seperti saya juga, percaya perpaduan antara setiap kaum asas kejayaan, keamanan dan kestabilan tanah air tercinta ini.

Dalam kita menyatakan pendirian mengenai perpaduan umat Melayu dan Islam, jangan kita takbur dan sombong kerana ada pihak memerhati. Negara kita rakyatnya berbilang bangsa dan agama. Jangan sesekali dipinggirkan sentimen ini.

Saya tidak mahu Malaysia terus terperangkap dengan persekitaran penuh toksik. Lihat sahaja setahun dua ini, banyak pihak tanpa segan silu menyampaikan ucapan dan menyebar berita palsu yang amat jelas sengaja mahu menyalakan api perkauman.

Akibatnya, hubungan antara kaum semakin renggang dan terpisah. Saya percaya, dalam masalah ini, rakyat mangsanya. Sebab itu, setiap pemimpin kerajaan dan pembangkang mesti bertanggungjawab serta berani mengakui kesilapan dan memperbaiki kelemahan.

Ya, ia bukan tugas mudah, namun kita tiada pilihan. Jika benar sayangkan rakyat, maka kita perlu berusaha sedaya upaya untuk mengubati hati mereka yang sudah terluka, akibat tindak-tanduk sesetengah pihak.

Pada masa sama, pihak tertentu juga mesti akui, bahawa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), rakyat cukup terseksa akibat keadaan ekonomi negara yang amat membimbangkan. Harga sawit merudum, peluang pekerjaan terhad, malah kuasa membeli rakyat langsung tidak meningkat.

Begitu juga soal keselamatan negara. Ancaman boleh hadir pada bila-bila masa.

Sekiranya kita tidak bersedia, rakyat akan terdedah risiko keselamatan cukup besar. Bayangkan dengan ancaman keselamatan, ketegangan kaum, masalah ekonomi dan politik, jika semua ini dianggap biasa dan tidak diberi perhatian serius, maka kita sedang meletakkan negara dalam keadaan cukup bahaya.

Sebab itu, kita mesti sedar bahawa kita sudah tiada banyak masa. Kita mesti berani bertindak sekarang dan melakukan yang terbaik dengan kapasiti yang kita ada.

Kepada pemimpin, memang ada kalanya terpaksa membuat keputusan tidak popular pada mata rakyat. Tetapi selagi ia baik untuk menyatukan rakyat dan memajukan negara, kita mesti lakukannya dengan mengetepikan perbezaan dan emosi.

Kita perlu ingat, satu hari nanti negara ini perlu diwariskan kepada anak dan cucu cicit kita.

Saya tidak sanggup mewariskan kepada mereka negara yang hancur dan sudah tiada nilai yang berhak dibanggakan.

Sebaliknya, saya mengimpikan mereka berterima kasih kepada kita semua, kerana mewariskan sebuah negara yang cerah masa depannya, maju pembangunannya serta bersatu padu rakyatnya.

Saya yakin, bukan saya seorang, tetapi setiap di negara ini berkongsi impian dan harapan sama. Justeru, usaha menyatukan rakyat mesti diteruskan secara konsisten, ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Orang Melayu yang sedar sudah memulakan langkah. Saya amat berharap ia bukan sahaja diterima baik, malah diikuti semua tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan. Ingatlah wahai seluruh rakyat.

Penulis adalah bekas Menteri Pertahanan

Berita Harian X