Isnin, 14 Oktober 2019 | 10:19am

Jangan ambil remeh peranan akhbar Melayu

LIDAH pengarang The New Straits Times minggu lalu menyentuh mengenai penutupan akhbar Utusan Malaysia.

Katanya, tamat hayatnya satu akhbar tidak menandakan kepupusan seluruh industri media. Sebaliknya, ia menuntut muhasabah.

Kita setuju dengan syor ini. Utusan Malaysia (sebelumnya Utusan Melayu yang mula diterbitkan pada 1939) adalah abang kepada Berita Harian yang juga lahir sebelum negara merdeka, iaitu pada 1 Julai 1957.

Akhbar Melayu arus perdana lain seperti Harian Metro, Sinar Harian dan Kosmo (turut dihentikan penerbitan bersama Utusan Malaysia) muncul jauh kemudian.

Utusan Malaysia dan Berita Harian, walaupun mengejar kelompok pembaca yang sama iaitu masyarakat Melayu, sekian lama memiliki watak berbeza. Utusan lebih di kanan spektrum politik, manakala Berita Harian cenderung di tengah.

Namun, kedua-duanya membincangkan perihal bangsa Melayu. Menjadi wadah mengetengahkan suara Melayu, baik di bandar besar seperti Kuala Lumpur, mahupun di kampung yang sarat dengan kemelayuannya.

Kedua-dua akhbar mempunyai wartawan di setiap negeri. Selain wartawan sepenuh masa, wartawan sambilan turut dilantik hampir di semua kawasan Parlimen, terutama di Semenanjung.

Allahyarham Pak Samad (Tan Sri Abdul Samad Ismail 1924-2008) yang berkhidmat di kedua-duanya - Utusan Malaysia dan Berita Harian - pernah berkata, wartawan di negeri-negeri ini adalah mata dan telinganya.

Merekalah digantung harapnya untuk mendengar denyutan jantung orang Melayu di seluruh ceruk desa. Untuk memahami keluhan, rintihan dan harapan mereka, agar dapat disampaikan kepada pembuat dasar di Kuala Lumpur. Agar orang Melayu di kampung tidak dilupakan, tidak tertinggal arus kemajuan negara.

Akhbar Melayu juga menjadi saluran pembuat dasar di ibu kota untuk menyampaikan pemikiran mereka kepada orang kampung.

Atas sebab itulah Berita Harian membuat liputan Wawasan Kemakmuran Bersama dan Belanjawan 2020 secara menyeluruh, agar orang Melayu memahami, seterusnya mengambil kesempatan terhadap peluang yang terbuka kepada mereka.

Atas sebab itu juga, Berita Harian menerbitkan amanat penuh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Kongres Maruah Melayu. Amanat yang begitu penting kepada orang Melayu, agar mereka merenung apakah sebab mereka belum maju lagi.

Perjuangan mengubah nasib orang Melayu ini masih jauh untuk dicapai matlamatnya. Banyak yang perlu dilakukan, terutama dalam menilai semula aliran pemikiran tentang pembangunan masyarakat Melayu dan arah tuju yang harus dirancang dan dipupuk dalam masyarakat itu.

Dalam konteks ini, akhbar Melayu, terutama Utusan Malaysia dan Berita Harian memainkan peranan penting dalam merancakkan perbincangan mengenai pengisian makna Melayu Baharu.

Kita ada dengar bahawa Utusan Malaysia akan dihidupkan semula di bawah syarikat baharu. Kita doakan ia akan menjadi kenyataan seberapa segera.

Bukan hanya itu, kita mahu melihat semua wartawan yang dihentikan sebelum ini diambil semula bekerja.

Apakah ertinya (dalam usaha pembentukan Melayu Baharu) jika Utusan Malaysia dihidupkan semula itu, jauh lebih kecil daripada sebelum ini.

Apakah ertinya kepada masyarakat dan pemimpin Melayu jika Utusan Malaysia hanya mempunyai wartawan di Kuala Lumpur, tanpa memiliki ‘mata dan telinga’ di desa.

Mereka yang duduk enak di C-Suite (kamar korporat) di Kuala Lumpur tidak boleh memikirkan ringgit dan sen sahaja.

Akhbar Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian bukanlah produk kicap yang boleh dikecilkan botolnya untuk memastikan perniagaan untung.

Janganlah cepat melatah dan putus asa apabila melihat kitaran perniagaan akhbar ini berada di bawah.

Berita Harian, umpamanya pernah meneraju kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd dari segi keuntungan. Ia boleh dilakukan lagi, hanya strategi perniagaan perlu disusun rapi oleh mereka yang masak dengan selok-belok perniagaan persuratkhabaran.

Banyak lagi boleh dibicarakan soal surat khabar ini. Soal pemilikan atau penguasaan adalah satu isu yang harus diberi perhatian kalau negara kita benar-benar mahu media yang bebas.

Cukup di sini tulisan kali ini. Untuk renungan bersama, disertakan nukilan Juffri Supa’at - XXL Anak Muda Julung Berkeris:

Melayu Baru

Bukan lagi

Melayu yang layu

Melayu yang kayu

Melayu yang kuyu

Melayu yang mudah tertipu

Melayu yang tersipu-sipu malu

atau

Melayu yang langsung
  tak tahu malu

Melayu baru

Tidak mahu dibeliti

Kemelut-kemelut kusut

Yang menghambat

Kemajuan masyarakat

atau

Masalah-masalah yang
  mencengkam

Kehidupan.

Melayu baru

Mahu sama-sama maju

Membina harapan dan cita-cita

Untuk mencapai matlamat

Menjadi masyarakat canggih

Bersatu dan jitu

Serta kukuh dan bermutu.

Inilah Melayu baru

Yang tidak ingin duduk

Di takuk dulu.

Berita Harian X