Ahad, 13 Oktober 2019 | 10:00am

Kerja kuat ubah nasib

Kalau ikutkan perancangan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri keempat, Malaysia sepatutnya berstatus negara maju dan berpendapatan tinggi pada tahun depan. Namun, baru-baru ini beliau sendiri mengakui wawasan itu sudah tersasar dengan menyalahkan pengganti beliau Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak sebagai puncanya.

Walaupun terlepas sasaran, sudah tentu Malaysia tidaklah tiba-tiba menjadi negara ‘miskin’ sehingga kerajaan terpaksa mengumumkan pelbagai bentuk bantuan untuk jutaan rakyatnya tanpa perlu bekerja kerana Malaysia bukan negara berkebajikan.

Jika dilihat kepada laporan akhbar sejak beberapa minggu lalu khususnya menjelang Belanjawan 2020, hampir semua institusi, kesatuan sekerja, badan bukan kerajaan dan agensi, termasuk kerajaan menceritakan mengenai pelbagai penderitaan rakyat yang memerlukan pembelaan segera kerajaan.

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara tahun lalu, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah mengumumkan pelbagai bantuan untuk rakyat khususnya golongan B40. Ini termasuklah Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSH) yang dahulunya dikenali sebagai BR1M di antara RM500 hingga RM1,000 setahun (berdasarkan pendapatan bulanan isi rumah) untuk kira-kira 3.6 juta rakyat, selain tambahan RM100 untuk setiap anak mereka sehingga empat orang berusia 18 tahun ke bawah membabitkan 3.3 juta penerima.

Jumlah diperuntukkan hampir RM4.2 bilion. Dana Perlindungan Kesihatan Nasional (Skim MySalam) sebagai jaringan keselamatan sosial secara percuma untuk 42 jenis penyakit kritikal; Subsidi Minyak Bersasar (berjumlah kira-kira RM750 juta setahun untuk 2.9 juta pemilik kenderaan), Rebat Bil Elektrik (RM40 bagi kategori rakyat miskin dan miskin tegar), Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara Malaysia.

Turut diberi Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM100 bagi 3.2 juta murid sekolah rendah hingga menengah, i-Suri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah, ibu tunggal dan balu; Pas Bulanan Pengangkutan Awam Rapid KL serta Skim Peduli Kesihatan Peka B40.

Terbaru, kerajaan umum Program Sarapan Percuma bagi kira-kira 2.7 juta murid sekolah rendah membabitkan perbelanjaan sehingga RM1.67 bilion setahun. Dalam Belanjawan 2020 kelmarin, kerajaan juga memperluaskan lagi BSH untuk 1.1 juta individu bujang berusia melebihi 40 tahun berpendapatan kurang RM2,000.

Jika dilihat jumlah bantuan disalurkan ini mencecah lebih RM20 bilion setahun, tidak termasuk pelbagai subsidi lain. Pada 1970-an dan 1980-an ketika negara masih bergantung kepada sektor pertanian dan hampir 50 peratus penduduknya miskin, rakyat tidak pernah mengharapkan atau mendapat pelbagai bantuan ini.

Kelemahannya, Malaysia ada lebih 110 program perlindungan sosial membabitkan 20 kementerian dan tiada satu badan tunggal untuk menyelaras semua bantuan berkenaan, sehingga berlaku banyak pembaziran.

Pelbagai jenis bantuan ini juga menimbulkan persoalan betulkah kadar kemiskinan Malaysia hanya 0.4 peratus? Jika merujuk penerima BSH sahaja, jelas lebih 10 peratus rakyat kita dikategorikan masih miskin atau miskin tegar.

Jadi, pendedahan pelapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini kaedah pengiraan kadar kemiskinan di Malaysia adalah tidak betul dengan meletakkan kadar kemiskinan sebenar sekitar 16 hingga 20 peratus mungkin lebih realistik.

Kalau betul, kita masih jauh daripada sasaran menjadi negara maju. Soalnya, adakah pengagihan pelbagai bantuan sama ada dalam bentuk tunai atau subsidi akan mengubah nasib rakyat? Sudah tentu tidak. Malah, rakyat akan terus mengharapkan bantuan tanpa sebarang usaha untuk meningkatkan kebolehan dan kemahiran mereka berbanding ibu bapa kita ketika itu berusaha sendiri untuk mengubah nasib keluarga mereka, termasuk menghantar ke sekolah tanpa bantuan kerajaan seperti yuran percuma atau buku teks percuma.

Cukuplah kaedah memberi ikan untuk orang miskin, bagilah joran supaya mereka dapat berusaha untuk memperbaiki diri dan keluarga daripada cengkaman kemiskinan. Program Sarapan Percuma adalah contoh mereka yang tidak layak daripada keluarga berpendapat tinggi juga akan menerima makanan percuma.

Walaupun niat kerajaan adalah murni mengenai pemakanan seimbang untuk murid, ia boleh membawa kepada pembaziran. Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sebelum ini hanya membabitkan kira-kira 450,000 murid daripada kumpulan B40 dengan peruntukan RM250 juta setahun berbanding Program Sarapan Percuma yang kosnya mencecah sehingga RM1.67 bilion membabitkan 2.7 juta murid.

Peruntukan itu sepatutnya digunakan membaik pulih lebih 1,500 sekolah daif di seluruh, khususnya di Sabah dan Sarawak atau melatih guru untuk mengharungi dunia kecerdasan buatan (AI). Sepatutnya, semua peruntukan berbentuk kebajikan itu digunakan untuk meningkatkan kemahiran, kebolehpasaran rakyat kita bagi menambah baik keupayaan diri supaya dapat berdikari dan bukan menunggu habuan setiap kali ada belanjawan.

Berita Harian X