Jumaat, 11 Oktober 2019 | 11:01am
- Foto hiasan

Aliran ekonomi alaf baharu melalui WKB 2030

KERAJAAN sudah mengumumkan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 bagi membentuk suatu ekosistem ekonomi yang bernilai tinggi secara holistik, untuk dikongsi bersama segenap lapisan masyarakat.

Tujuh teras utama bagi mencapai kemakmuran bersama berfokus kepada penyertaan lebih tinggi dalam ekonomi Malaysia, penyerapan teknologi dalam kalangan pengilang dan penyedia perkhidmatan serta pembangunan aktiviti pertumbuhan ekonomi utama (KEGA) - terutama bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Ini disusuli peningkatan dan transformasi model insan, pengurusan pasaran buruh dan peningkatan pampasan pekerja, kesejahteraan sosial, keterangkuman wilayah serta modal sosial.

Bagi mencapai wawasan ini, Malaysia perlu membentuk perancangan ekonomi yang membenarkan penyertaan bermakna bagi lebih ramai perusahaan dan bakat tempatan.

Industri automotif yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad lebih tiga dekad lalu mengubah pandangan terhadap Malaysia dari sebuah negara pertanian kepada perindustrian.

Perubahan ini bukan saja dilihat dari segi produk automotif yang dihasilkan Malaysia, malah kepakaran kejuruteraan yang dijana oleh sektor automotif mengalami limpahan kepada sektor pembuatan yang lain.

Sebagai contoh, sebelum industri automotif diperkenalkan di Malaysia, perusahaan yang mengguna pakai proses pembuatan seperti metal stamping, injection moulding dan kimpalan (welding) hanya bertumpu kepada teknologi dan produk asas.

Apabila industri automotif dibentuk melalui projek kereta nasional, perusahaan ini mendapat peluang bagi menghasilkan produk yang memerlukan kepakaran dan keupayaan proses lebih kompleks dan tepat.

Ini disebabkan oleh spesifikasi dan standard lebih ketat dan tepat serta produk yang perlu dihasilkan dalam pembuatan kereta.

Keperluan ini bukan hanya tertumpu kepada produk dan proses saja, malah perlu melalui pelbagai ujian makmal serta teknikal sebelum boleh dibuat di kilang dan dijual kepada pengguna.

Natijahnya, ia menjadi platform membawa syarikat tempatan ke arah suatu tahap yang lebih tinggi dan berdaya saing, yang kini dilihat di seluruh pelusuk negara, serta melimpah kepada sektor lain seperti elektronik, pembinaan dan sebagainya.

Kini, sektor automotif kian berubah, disebabkan permintaan pasaran terhadap produk yang lebih maju dan semakin kompleks. Pasaran kereta diunjurkan melalui perubahan dalam teknologi pacuan (drive train), serta teknologi pemanduan.

Pada masa hadapan, kereta yang berasaskan pacuan elektrik diunjur dapat menyaingi kenderaan berasaskan enjin. Kereta juga dapat berhubung dengan persekitarannya dan mengubah cara kita berinteraksi dengan kenderaan kita.

Sektor automotif akan berubah menjadi sektor gergasi yang dipanggil sektor mobiliti.

Bagi memastikan industri tempatan tidak ketinggalan, kepakaran di dalam bidang baharu perlu dijana, seperti sains data, kecerdasan buatan (AI), teknologi bateri dan penyimpanan tenaga, pembuatan berasaskan robotik serta banyak lagi.

Kepakaran ini tidak hanya boleh diajar secara teori, malahan perlu dipraktikkan melalui industri baharu yang dibentuk melalui sokongan kerajaan.

Sebagai contoh, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) kini menghasilkan lebih 30,000 pelatih melalui program Industry Led Professional Certificate (IPC), satu program bagi lepasan sekolah untuk meningkatkan kemahiran dalam proses pembuatan dalam sektor automotif.

Program ini memperkasakan kerjaya pelatih menerusi pengalaman secara langsung melalui latihan on-job training dalam ekosistem industri automotif, yang juga diberi pengiktirafan melalui Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Bagi menjayakan WKB 2030, kerajaan perlu membuka lebih banyak peluang bagi bakat dan usahawan tempatan menceburi bidang baharu yang disebut di atas.

Seperti dinyatakan Perdana Menteri, WKB 2030 akan menjadi asas kepada rangkuman Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang bakal dibentangkan pada tahun depan.

Melalui RMKe-12 dan belanjawan yang bakal menyusuli rancangan ini, ekosistem industri yang berteraskan teknologi tinggi perlu dijana - pertama, melalui program pembangunan modal insan yang relevan kepada kemahiran dan kepakaran yang diperlukan industri.

Kedua, program pemerkasaan perniagaan perlu dikemas kini bagi membentuk keupayaan daya saing lebih maju, spesifik kepada penyerapan teknologi, kualiti proses, analisis data, pengurusan kewangan - dan yang paling penting, pemerkasaan strategi pembangunan perniagaan berasaskan teknologi.

Kerana itu penegasan ditekankan kepada sektor automotif dan seterusnya sektor mobiliti yang mampu menjana aliran ekonomi alaf baharu bagi Malaysia, dalam membawa negara ke tahap yang lebih baik di pasaran global.

Cabaran utama bagi menjana kemakmuran bersama bermula dengan mengubah kekhuatiran dalam diri kita semua dan menceburi bidang alaf baharu dengan hala tuju yang dikongsikan bersama.

Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii)

Berita Harian X