Jumaat, 4 Oktober 2019 | 11:00am
Gambar fail/hiasan - Suasana orang ramai mula beratur sempena hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau. - Foto Adzlan Sidek

Fahami kebaikan, kekurangan sistem pilihan raya

Saya tidak pasti rasional di sebalik cadangan Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) mengesyorkan dua kaedah pilihan raya dilaksanakan di negara ini iaitu sistem perwakilan berkadar proportional representative bagi kawasan Parlimen dan sistem majoriti mudah perwakilan kawasan atau first past the post bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Seandainya alasan yang diberikan sistem majoriti mudah perlu dikekalkan pada peringkat DUN kerana rakyat masih memerlukan khidmat wakil rakyat, maka rasional yang sama juga turut terpakai bagi kawasan Parlimen kerana rakyat di kawasan itu juga masih memerlukan wakil rakyat untuk menjadi wakil suara mereka di Dewan Rakyat.

Namun, ERC sudah pasti mempunyai asas dan alasan tersendiri untuk mencadangkan kepada kerajaan dua kaedah pilihan raya berbeza di Parlimen dan DUN. Persoalan yang boleh dibincangkan ialah adakah pertukaran kaedah pilihan raya itu akan membawa kebaikan kepada negara dan rakyat secara keseluruhannya.

Dalam hal ini, menjadi tanggungjawab kepada kerajaan jika menerima syor dikemukakan ERC ini dengan matlamat menambah baik sistem pilihan raya negara dengan memberi penjelasan kepada rakyat kebaikan dan kekurangan sistem berkenaan.

Berdasarkan kepada pengalaman saya selama 17 tahun terbabit mengendalikan pilihan raya, sistem majoriti mudah perwakilan kawasan yang digunakan selama ini memberi ruang kepada rakyat khususnya pengundi untuk menilai wakil rakyat sama ada mampu berkhidmat dengan baik atau sebaliknya.

Rakyat dapat mengenali wakil rakyat mereka secara lebih dekat dan sebagai wakil rakyat, sudah tentu mereka akan menjadi lebih bertanggungjawab serta komited membela masyarakat di kawasannya, selain berusaha membawa kemajuan dan pembangunan di DUN atau Parlimen diwakilinya.

Pada masa sama, wakil rakyat DUN dan Parlimen yang berharap akan terus mendapat kepercayaan pengundi di kawasan diwakilinya pada pilihan raya akan datang, akan mempunyai obligasi yang kuat dan akan berusaha untuk mengubah nasib rakyat di kawasannya.

Seandainya wakil rakyat ini tidak menunjukkan prestasi memuaskan, tidak turun padang melawat dan membantu pengundi atau gagal memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat, maka dirinya berisiko tidak dipilih semula oleh pengundi pada pilihan raya raya berikutnya.

Atas faktor ini, boleh diakui sistem first past the post bukan saja dapat membela rakyat, bahkan membantu negara mengalami proses pembangunan dan kemajuan di antara kawasan luar bandar serta bandar yang agak seimbang berbanding negara jiran yang menggunakan sistem perwakilan berkadar.

Memang diakui sistem perwakilan berkadar atau ringkasannya PR amat popular di negara maju terutama di Eropah Barat, Amerika Syarikat (AS), Australia serta New Zealand kerana pembangunan dan kemajuan kawasannya hampir seimbang.

Namun, di beberapa negara membangun yang memilih menggunakan sistem PR, dapat dilihat proses pembangunan, kemajuan dan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat agak tidak seimbang yang mana kawasan luar bandar terus ketinggalan berbanding di kawasan bandar.

Sistem PR menetapkan pengundi hanya akan mengundi parti yang difikirkan layak untuk menjadi kerajaan. Bermakna, pengundi tidak memilih calon untuk mewakili kawasan Parlimen, sebaliknya memilih parti.

Mampukah wakil parti menjaga dan membela kebajikan pengundi di kawasan itu jika wakil rakyat tidak ada hubungan sejati dengan pengundi di kawasan berkenaan. Konflik kepentingan atau amalan pilih kasih juga mungkin tidak dapat dielakkan daripada berlaku jika kerusi Parlimen dimenangi parti kerajaan tetapi kerusi DUN di dalam kawasan Parlimen dimenangi parti pembangkang.

Sudah tentu ada perbezaan cita rasa dan kelemahan dalam membuat keputusan. Seandainya kawasan DUN dimenangi parti kerajaan yang berjaya membentuk Kerajaan Pusat, sudah tentu ‘hubungan’ pada peringkat DUN dan Parlimen akan menjadi ‘lebih rapat’, penyaluran peruntukan juga akan lebih ‘mesra’ bagi DUN dimenangi parti yang menjadi Kerajaan Pusat.

Dalam aspek yang lain juga, sistem PR pada realitinya hanya memberi kelebihan kepada pengundi dan masyarakat di bandar kerana golongan ini berada dan hidup di kawasan yang sudah membangun, menikmati kemajuan dan pemodenan yang lebih baik berbanding di luar bandar.

Inilah sebabnya sistem PR amat popular di negara maju kerana rata-rata penduduknya tinggal di bandar atau di kawasan yang mengalami pembangunan dan kemajuan hampir sama di bandar. Di negara ini, takdir sejarah menyaksikan kaum bukan Melayu lebih ramai mendiami kawasan bandar berbanding Melayu dan Bumiputera.

Justeru, adakah pertukaran sistem pilihan raya yang dicadangkan akan membawa kebaikan kepada negara dan rakyat. Dalam hal ini, menjadi tanggungjawab kepada Ahli Parlimen untuk memahami implikasi pelaksanaan dua sistem pilihan raya apabila andai tiba waktu untuk berbahas bagi meminda Perlembagaan bagi mewujudkan sistem pilihan raya baharu.

Penulis adalah bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya

Berita Harian X