Ahad, 29 September 2019 | 11:00am
PENGUNDI dibantu petugas SPR mencelup jari ke dalam dakwat kekal ketika mengundi. - Foto Aizuddin Saad

Mansuhkan peraturan pilihan raya tak relevan

SEJAK Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sudah lapan kali pilihan raya kecil (PRK) diadakan, tidak termasuk PRK Tanjung Piai yang dijangka diadakan akhir Oktober atau awal November ini. Semua kekosongan itu disebabkan kematian dan satu membabitkan peletakan jawatan.

Bayangkan, untuk lapan PRK itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membelanjakan RM18.29 juta dan paling tinggi untuk PRK Port Dickson RM3.6 juta. Ini belum termasuk perbelanjaan calon dan parti bertanding, selain pembabitan orang ramai serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Apakah PRK benar-benar diperlukan? Jika dimansuhkan, bermakna ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan seperti dikehendaki mengikut Perkara 54 (1), iaitu PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan. PRK hanya tidak perlu diadakan jika kekosongan itu berlaku kurang daripada dua tahun sebelum berakhir tempoh penggal pilihan raya.

Namun, Perlembagaan itu boleh diubah untuk digantikan dengan bab baharu seperti ‘tidak perlu kekosongan itu diisi dengan PRK’. Jadi siapa wakil rakyat untuk menyuarakan rungutan pengundi di Parlimen? Siapa akan menguruskan khidmat di kawasan Parlimen kosong itu?

Undang-undang atau perlembagaan dirangka manusia melalui Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bukan sesuatu yang tidak boleh dipinda jika sekiranya mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri pada peringkat negeri.

Oleh itu, mereka yang berkepentingan dan Ahli Parlimen perlu memikirkan mekanisme bagaimana untuk mengisi kekosongan itu. Contohnya, calon yang mendapat undi kedua tertinggi secara automatik jadi ‘wakil rakyat sementara’ atau parti yang menang di sesuatu kawasan itu akan memilih wakil untuk menjaga kawasan?

Pasti juga ada menyatakan tidak wajar kawasan Parlimen atau DUN diwakili mereka yang bukan dipilih rakyat.

“Seseorang ADUN atau Ahli Parlimen dipilih rakyat dan ada antara mereka memenangi pilihan raya atas faktor pengaruh calon bukan parti politik diwakilinya. Keadaan menjadi lebih rumit jika kerusi kosong itu membabitkan wakil rakyat yang memenanginya atas tiket Bebas,” kata seorang pemerhati.

PRK bukan sahaja menyebabkan kos tinggi untuk semua pihak yang terbabit, malah banyak masa terbuang. Lebih parah apabila berlaku pergaduhan, selain mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama, gara-gara ceramah politik berbentuk provokasi.

Benar, kita ada undang-undang untuk mengawal keadaan itu termasuk mengheret mereka yang mencetuskan provokasi ke mahkamah, tetapi itulah platform PRK yang sentiasa dipenuhi ceramah berapi-api selain memperkecilkan lawan masing-masing, sekali gus mendedahkan mereka kepada fitnah dan provokasi keterlaluan.

Satu lagi isu yang perlu dilihat kembali ialah had perbelanjaan calon ketika kempen pilihan raya. Mengikut Seksyen 27 (1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, penyata perbelanjaan kempen oleh setiap calon hendaklah diserahkan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri dalam tempoh 31 hari selepas keputusan diwartakan.

Jumlah perbelanjaan dibenarkan ialah RM200,000 untuk kerusi Parlimen dan RM100,000 bagi kerusi DUN. Betul ke belanja sebanyak itu? Selama mana kita harus menipu diri sendiri dengan meletakkan had itu dalam penyata perbelanjaan kempen atau Borang B lengkap dengan bukti perbelanjaan, untuk diserah kepada SPR semata-mata bagi memenuhi tuntutan undang-undang?

Sesetengah calon terutama di Sarawak dan Sabah sanggup menyewa helikopter dari Manila atau Jakarta untuk berkempen. Pernahkah resit sewa helikopter ini dimasukkan dalam penyataan perbelanjaan? Jika pernah, pasti satu kesalahan kerana berbelanja lebih daripada dibenarkan.

Jika tidak pernah, apakah pihak audit SPR terima saja penjelasan dalam penyata perbelanjaan? Oleh itu, elok dinaikkan had atau sudah tidak perlu lagi berbuat demikian apabila wujud peraturan bertulis membenarkan pembiayaan dana untuk semua parti politik?

Beberapa negara serantau sebenarnya sudah menaikkan had perbelanjaan berkempen calon ketika pilihan raya di negara masing-masing sejak 2011 lagi. Di Singapura, sejak 2011, calon hanya boleh membelanjakan S$3.50 (RM10.15) bagi setiap pengundi dalam kawasan Parlimen ditandingi.

Di India, mulai Februari 2011, Kerajaan Pusat menaikkan had belanja kempen, iaitu Rs4 juta (RM246,605) untuk kerusi Parlimen berbanding Rs2.5 juta (RM154,085) sebelum itu.

Semua ini perlu dilihat semula oleh pihak berkuasa termasuk SPR dalam usaha memantapkan lagi sistem pilihan raya negara kita. Mansuhkan segala peraturan sudah tidak relevan atau peraturan boleh memerangkap atau tidak munasabah. Misalnya, kerana silap nombor alamat rumah, pencalonan seseorang itu ditolak.

Penulis adalah Pengarang Bersekutu (Rencana/Mingguan) Berita Harian.

Berita Harian X