Jumaat, 27 September 2019 | 11:00am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Percepat Akta Jerebu Rentas Sempadan

CADANGAN Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) untuk mewujudkan Akta Jerebu Rentas Sempadan dilihat suatu tindakan yang sangat berpatutan pada ketika ini.

Dengan kewujudan akta ini akan dapat mewujudkan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan dan penambahbaikan pengurusan pembakaran hutan dalam sektor pertanian dan peladangan. Inisiatif mewujudkan Akta Jerebu Rentas Sempadan ini harus diwujudkan oleh negara yang terkesan akibat jerebu ini seperti Singapura, Filipina, Thailand dan Timor Leste selain Malaysia dan Indonesia.

Pun begitu, sebenarnya Singapura sudah mempunyai satu akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (2014) yang memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap entiti atau syarikat yang menyebabkan masalah jerebu di negara itu termasuk syarikat yang tidak berdaftar di Singapura dan beroperasi di luar negara.

Negara ASEAN lain boleh mengadaptasi akta ini dan menyesuaikannya dalam konteks negara masing-masing. Peruntukan dalam akta ini dapat memberi kuasa kepada mahkamah dalam negara terbabit untuk menghukum pihak yang mempunyai ladang di luar negara yang menyebabkan jerebu supaya diadili di negara itu.

Namun, jika terbukti mana-mana pihak yang menyebabkan kebakaran di Indonesia, pihak berkuasa Indonesia memiliki kuasa sepenuhnya untuk membuat siasatan dan melaksanakan hukuman terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah menyebabkan jerebu mengikut undang-undang Indonesia.

Tidak dapat dinafikan pembakaran yang berlaku di Indonesia sebahagiannya adalah dari ladang dan tanah yang dimiliki syarikat Malaysia. Walaupun beberapa syarikat besar dan ternama sebelum ini menafikan pembabitan mereka dalam isu kebakaran hutan di Indonesia, punca utama mungkin disebabkan oleh anak syarikat yang didaftarkan di Indonesia dan juga pembakaran pihak ketiga yang diupah syarikat berkenaan.

Tanpa suatu wadah untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan, pihak yang bertanggungjawab dapat melepaskan diri tanpa sebarang hukuman. Tiada bukti yang dapat dikemukakan bahawa syarikat-syarikat inilah sebenarnya penyebab kebakaran di Indonesia.

Sebaliknya rakyat di kebanyakan negara ASEAN yang menjadi mangsa dan terkesan akibat jerebu ini dari segi kesihatan, ekonomi dan pelbagai aktiviti sosial yang terpaksa dibatalkan. Bagaimanakah mekanisme dan peruntukan hukuman Akta Jerebu Rentas Sempadan ini harus dilaksanakan?

Memetik satu kajian yang dilaporkan oleh sebuah stesen swasta minggu lalu, produktiviti yang terjejas akibat jerebu di Malaysia berjumlah hampir RM378,000 setiap hari. Jika pihak yang terbabit berjaya dibuktikan bersalah, mereka harus menanggung jumlah itu bagi setiap hari berlaku kebakaran di ladang-ladang yang dimiliki.

Sebagai contoh jika ladang kepunyaan sesebuah syarikat terbakar selama 10 hari, jumlah pampasan yang harus dibayar adalah sebanyak RM3.78 juta. Bagaimanapun, akta ini tidak boleh berdiri sendirian tanpa sokongan Indonesia sebagai negara yang sering mengalami kejadian kebakaran terbuka ini.

Oleh yang demikian, Indonesia harus meningkatkan usaha penguatkuasaan pembakaran di hutan dan ladang yang berisiko tinggi. Penguatkuasaan boleh dilaksanakan dengan kerjasama bantuan penguatkuasa setiap negara ASEAN dengan menghantar pasukan keselamatan.

Usaha ini harus ditingkatkan terutama apabila tiba musim kering pada Ogos hingga November setiap tahun. Penguatkuasaan ini adalah sebagai sistem sokongan kepada pelaksanaan Akta Jerebu Rentas Sempadan yang seharusnya diwujudkan oleh setiap negara yang terjejas.

Usaha untuk membuktikan keterlibatan syarikat-syarikat yang tidak bertanggungjawab ini amatlah susah jika tiada mekanisme yang efisien diwujudkan bagi memperkukuhkan Akta Jerebu Rentas Sempadan.

Diharapkan rang undang-undang Akta Jerebu Rentas Sempadan dapat dibentangkan pada sesi sidang Parlimen yang akan datang. Semoga pada tahun hadapan tiada lagi ancaman jerebu melanda negara ini dan negara serantau ASEAN yang lain.

Namun, jika masih berlaku diharapkan akta ini dapat membantu kerajaan menangkap pesalah-pesalah ini dan apabila dibuktikan pendakwaan mereka harus dihukum dengan sewajarnya.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP)

Berita Harian X