Jumaat, 13 September 2019 | 11:01am

Pengikut Maulana Rumi merentasi sempadan agama

PERISTIWA kematian tokoh sufi, Maulana Jalaluddin al-Balkhi al-Rumi atau lebih dikenali Maulana Rumi dirakam dalam buku hagiografi atau kisah sufi, Manaqib al-Arifin karya Shamsuddin Aflaki.

Kisah itu memperlihatkan keunggulan Islam yang sekiranya diamalkan secara menyeluruh termasuk aspek kerohanian dan akhlak mulia, ia merentasi bukan sahaja sempadan wilayah dan bangsa, bahkan agama.

Aflaki mengungkapkan kisah seorang Muslim mengiringi jenazah Maulana Rumi, melihat lelaki Kristian teresak-esak, lalu bertanya: “Mengapakah saudara menangis di pengebumian tokoh Muslim?”

Lelaki itu menjawab: “Kami mengangkat beliau seperti (Nabi) Musa AS, Daud AS dan Isa AS zaman ini. Kami semua pengikut serta anak muridnya.”

Malah, Muslim, Kristian dan Yahudi di kota Konya, Turki turut menghadiri pengebumian tokoh yang menjadi pengasas Tarikat Maulawiyah yang kini terkenal dari Timur ke Barat sama ada karya Mathnawi mahupun gerakan darwish berputar.

Malah, diceritakan ketika hayatnya, majlis pengajaran Maulana Rumi turut dihadiri masyarakat bukan Islam, meskipun beliau tetap mempertahankan kebenaran Islam seperti yang dibawa Rasulullah SAW.

“Pemimpin kafilah kita adalah Mustafa, kebanggaan dunia.” Mustafa yang diungkapkan Maulana Rumi pada bait puisi dalam Diwan Shams Tabrizi ini ialah Nabi Muhammad SAW.

Justeru, Maulana Rumi bukanlah darwish palsu yang menceroboh batasan Islam hingga mengabai, menafikan atau melanggar batas syarak, sebaliknya seperti majoriti ahli sufi adalah insan memelihara semua tuntutan baik bersifat wajib mahupun sunat.

Malah, proses perjalanan kerohanian daripada satu makam ke makam lebih tinggi, menuntut sang salik melipatgandakan ibadat yang bagi orang awam adalah perkara sunat atau harus seperti solat, puasa dan zikir.

Apatah lagi tokoh sufi dan wali seperti Maulana Rumi sampai kepada satu tahap ‘al-hasanat lil abrar, sayyi’aat lil muqarrabin,’ atau ‘perkara baik bagi orang awam, dianggap buruk sekiranya dilakukan golongan yang dekat dengan Allah SWT.’

Di sebalik ajaran Maulana Rumi seperti dirakam kitab puisi sufinya, Mathnawi dan kumpulan syarahannya, Fihi Ma Fihi yang mencerminkan sifat Islam yang syumul atau menyeluruh dalam kerangka pandangan alam Islam, beliau tetap diterima masyarakat bukan Islam.

Malah, Maulana Rumi tidak hanya diterima pada zamannya, bahkan beliau dianggap penyair yang paling banyak dibaca oleh rakyat Amerika Syarikat (AS), sekali gus mengalahkan sasterawan Barat sendiri.

Memang ada sebahagian sarjana atau penggiat aliran spiritual New Age yang menafsirkan pemikiran Maulana Rumi dengan tafsiran yang longgar atau terkeluar daripada Islam.

Namun, Maulana Rumi sendiri dalam Fihi Ma Fihi mengibaratkan Islam seperti sesuatu yang mempunyai isi dan cangkerang yang kedua-dua unsur bukan saja tidak boleh dibuang, malah mustahil untuk dipisahkan.

Sebenarnya, perpaduan makna hakiki Islam ini yang menyebabkan ajaran Maulana Rumi merentas sempadan, termasuk dapat diterima baik masyarakat Kristian dan Yahudi di Konya atau bukan Muslim sepanjang zaman.

Kesepaduan itu kemudian terpancar pada seluruh kehidupan Maulana Rumi baik pemikiran, perasaan, pengucapan dan perbuatan seperti yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW hingga Baginda tidak hanya meninggalkan kesan kepada sahabat dan umat Islam, bahkan golongan kafir, Nasrani serta Yahudi.

Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak. (HR Ahmad).

Akhlak Muhammadiyah yang lahir daripada hati suci dan bersih serta terpancar pada setiap tingkah dan kata itulah yang menjadi warisan terunggul kepada ahli sufi tanpa mengira sama ada ulama, ahli kalam dan hadis, fuqaha, hatta orang biasa.

Hal itu turut diwarisi Maulana Rumi hingga menyalin keperibadian Rasulullah SAW yang difirmankan oleh Allah SWT sebagai rahmatan lil alamin atau rahmat kepada seluruh alam.

Kesempurnaan akhlak yang merangkumi tuntutan iman, Islam dan ihsan itu perlu dijadikan matlamat dalam setiap tindakan umat Islam baik yang dilakukan dalam lapangan politik, ekonomi atau sosial.

Sebarang kegiatan, persepakatan atau reaksi yang dilakukan umat Islam tidak boleh terpisah daripada maksud sebenar rahmat yang melimpah ke seluruh alam termasuk manusia tanpa mengira bangsa atau agama.

Justeru, keunggulan akhlak itu perlu dijadikan kayu ukur oleh umat Islam dalam mengambil sebarang tindakan baik atas nama politik, ekonomi atau sosial hingga sampai ke tahap seperti Maulana Rumi yang kembalinya kepada Pencipta-Nya ditangisi masyarakat tanpa mengira agama atau status sosial.

Penulis adalah Pengarang Sastera & Agama Berita Harian

Berita Harian X