Selasa, 10 September 2019 | 11:00am
- Foto Hiasan

Peradaban tinggi bahasa Melayu satukan bangsa

‘BAHASA Jiwa Bangsa’ - satu ungkapan hikmah menggambarkan kedudukan bahasa dalam hubungannya dengan kekuatan sesebuah bangsa atau negara.

Lebih luas daripada itu, bahasa bagi seseorang adalah cerminan alam di sekelilingnya, sebagaimana diungkapkan Ludwig Wittgenstein, the limits of my language are the limits of my world.

Kehebatan sesuatu bahasa akan lebih terserlah jika mempunyai ciri-ciri kewibawaan dan keindahan yang diiktiraf sejarah.

Bahasa berwibawa dan indah, mampu menyampaikan isi pemikiran besar dan tinggi dengan lebih menarik dan berkesan. Ia juga berkeupayaan menampung pemikiran yang sarat dengan makna halus dan rumit.

Sesuatu bahasa akan menjadi lebih unggul apabila terkait dengan peradaban besar yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa. Inilah yang alami bahasa Melayu.

Selepas kedatangan Islam ke nusantara, bahasa Melayu digunakan meluas sebagai lingua franca lebih 200 juta penduduk rantau ini. Ia berperanan sebagai bahasa perantaraan dalam perniagaan, perundingan dan perjanjian, serta bahasa pedagang Arab, Cina dan India yang datang berdagang di Kepulauan Melayu sekitar abad ke-13.

Seorang pelayar dan pedagang Inggeris, Thomas Bowrey, yang menulis kamus Bahasa Inggeris-Melayu pada 1701, membuat pemerhatian bahawa, ... in all the the islands of Sumatra, Java, Borneo, Maccassar, Balee, Cumbava, Sallayer, Bootoon, Booro, Ceram and Mollucas, the Malay language is received and generally used in all the Trading Ports of those islands.

Ringkasnya maksud Bowrey, bahasa Melayu adalah lingua franca perdagangan bagi Kepulauan Melayu.

Penggunaan bahasa Melayu bukan sekadar terbatas oleh mubaligh yang menjalankan dakwah dan guru yang mengajar di sekolah, malah menjadi alat untuk menyampaikan pemikiran intelektual tinggi seperti falsafah teologi dan tasauf Islam oleh ilmuwan Islam tersohor yang berperanan membina akal dan jiwa ilmiah masyarakat nusantara.

Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas berkata, aspek intelektual inilah yang membawa semangat rasionalisme dan akliyah dalam pemikiran agama di alam Melayu, berbanding kerangka sebelumnya yang lebih banyak dipengaruhi unsur mitos dan khayal.

Dengan bahasa Melayu sebagai pengantar, peranan menterjemah pemikiran tinggi menjadikan bahasa ini semakin kaya dari segi perbendaharaan dan istilah teknikal, sehingga mampu mengetepikan penguasaan bahasa Jawa yang lebih banyak dipengaruhi seni sastera Hindu.

Antara faktor kekuatan bahasa Melayu ialah kaitan rapat dengan peradaban Islam yang menjadi sebuah tamadun ilmu yang sedia menguasai tiga perempat dunia, ketika ia sampai ke alam Melayu dan juga maju ke hadapan dalam perkembangan ilmu pengetahuan pada pelbagai bidang melalui perantaraan bahasa Arab.

Bahasa Melayu sendiri banyak dipengaruhi perbendaharaan bahasa Arab. Ia secara tidak langsung meningkatkan keupayaannya sebagai bahasa ilmu bersifat antarabangsa, sebagaimana bahasa Arab berperanan mengembangkan pelbagai ilmu dalam tamadun Islam.

Sementara itu, wahana bagi menterjemahkan bahasa Melayu dalam bentuk penulisan ialah tulisan Jawi.

Walaupun penggunaannya secara rasmi sebagai alat penulisan bahasa Melayu hari ini agak kurang, peranan asalnya sebagai tulisan yang mampu menyampai dan menterjemah kandungan makna bahasa Melayu sehingga menjadikan ia juga tulisan lingua franca suatu ketika dulu, membuktikan Jawi juga tulisan ilmiah yang berwibawa.

Sebagaimana bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu yang mampu menghuraikan kandungan agama dan bidang ilmiah lain, tulisan Jawi yang menjadi alat penulisan bahasa Melayu juga berkongsi kewibawaan sama.

Kekuatan sesuatu bahasa dalam konteks ilmu juga membuktikan ia mampu menjadi bahasa penyatu masyarakat.

Ini jelas tercermin apabila bahasa Melayu menyatukan umat Nusantara walaupun rantau ini terdiri pelbagai bangsa dan suku kaum.

Masyarakat di rantau ini mungkin sukar disatukan atas dasar agama dan kaum disebabkan sifatnya yang majmuk akibat proses migrasi dan globalisasi, namun faktor bahasa masih mampu menjadi unsur penyatu jika benar-benar digunakan dengan baik dan berkesan.

Hari ini, keperluan bagi menyatukan masyarakat berbilang kaum yang tinggal di negara ini kekal penting seperti dahulu.

Rekod kecemerlangan bahasa Melayu sebagai lingua franca dan bahasa penyatu tidak seharusnya diketepikan, lebih-lebih lagi apabila penggunaannya diiktiraf Perlembagaan Persekutuan dan diakui sebagai jiwa kepada keutuhan bangsa.

Justeru, segala usaha memantapkan bahasa Melayu harus didukung semua pihak termasuk pengukuhan semula tulisan Jawi yang pernah dan masih menjadi penulisan ilmiah berwibawa dalam sistem pendidikan negara.

Apa sahaja bentuk penafian terhadap kepentingan bahasa Melayu hanya menyumbang kepada retaknya kesatuan bangsa yang menjadi impian setiap warganegara yang setia kepada negara ini.

Penulis adalah Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

202 dibaca
Berita Harian X