Ahad, 8 September 2019 | 11:00am
BANGI 03 SEPTEMBER 2019. Gambar fail, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata sesuatu kepada penerima Program Peningkatan Pendapatan dan Sijil Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar selepas Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar Zon Tengah, di Hotel Tenera, Bangi, 3 September lalu. Turut kelihatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor, Rodziah Ismail (empat dari kanan). - Foto Azhar Ramli

Tarik minat anak muda majukan luar bandar

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, baru-baru ini berkata, kawasan luar bandar di negara ini masih banyak lagi perlu dibangunkan, meskipun kita sudah 62 tahun mencapai kemerdekaan.

Malaysia katanya, bukan sahaja perlu meningkatkan lagi infrastruktur, malah mengembangkan modal insan serta ekonomi penduduk luar bandar.

Sebagai seorang yang berasal dari kampung dan masih meluangkan masa di kampung hampir setiap bulan sejak 30 tahun yang lalu, saya bersetuju sangat dengan kenyataan beliau. Tidak dinafikan pembangunan memang ada. Mengambil contoh kampung tempat asal saya.

Jika sewaktu zaman persekolahan saya pada 1970-an, kami menonton televisyen menggunakan bateri kereta dan menggigil mandi sungai pada waktu pagi, kerana masih tiada kemudahan bekalan elektrik dan air paip tetapi semua itu kini hanya tinggal sejarah.

Sekarang infrastruktur perlu semuanya ada. Penekanan kerajaan kepada memberi peluang pendidikan terbaik kepada penduduk di luar bandar pula, membolehkan ramai anak kampung saya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

Namun, di sebalik kemajuan pembangunan infrastruktur itu, daya tarikan masih lagi di bandar. Pemikiran ‘jika mahu mengubah kehidupan perlu ke bandar’ masih utuh.

Justeru, penghijrahan anak muda luar bandar ke bandar masih berlaku, baik dalam kalangan yang berpendidikan tinggi mahupun tidak.

Tentunya anak muda ini tidak boleh dipersalahkan. Mana tidaknya, kegiatan ekonomi dan peluang pekerjaan masih lagi berpusat di bandar, manakala kampung pula terus suram.

Kegiatan pertanian yang sepatutnya menjadi sumber kegiatan ekonomi di luar bandar juga tidak serancak mana. Walaupun ada kemajuan daripada segi penggunaan teknologi, tetapi tidak meluas. Tumpuan tanaman juga masih ‘ikut-ikutan,’ tiada fokus.

Ketika harga sawit melambung tinggi, ada sahaja tanah akan ditanam dengan tanaman itu. Sekarang ini pula musim harga durian tinggi terutamanya jenis Musang King, maka ramailah yang ‘berhijrah’ ke tanaman ini pula.

Kurangnya penggunaan teknologi dan tiadanya fokus ini menyebabkan kegiatan pertanian ini tidak menjanjikan pendapatan menarik, sekali gus gagal menarik minat anak muda menyertainya.

Seperti kata Rina itu, memang banyak perlu dilakukan dalam aspek pembangunan kawasan luar bandar ini. Tetapi sesuatu yang perlu kita ingat keadaan sudah jauh berbeza.

Justeru, pendekatan pembangunan yang akan dilakukan juga perlu diubah. Membawa pembangunan ke kawasan luar bandar bukan lagi setakat membina jalan, sekolah, balai raya serta menyediakan kemudahan setanding dengan apa yang ada di bandar.

Bukan juga dengan cara menyalurkan berbilion ringgit untuk pelbagai program bantuan, semata-mata untuk memenangi hati penduduk luar bandar.

Apa yang perlu difikirkan ialah bagaimana menjadikan kawasan luar bandar tempat menarik untuk didiami.

Jika tidak pun dapat menarik anak muda dari bandar berhijrah mencari kehidupan di luar bandar, sekurang-kurangnya mengekang penghijrahan anak muda kampung ke bandar.

Dalam hal ini, kawasan luar bandar perlu dimajukan dan diubah menjadi pusat kegiatan ekonomi, yang menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan sesuai dengan taraf pendidikan rakyat kita yang semakin tinggi.

Tetapi kita juga tidak mahu kampung jadi bandar atau kawasan industri, kerana bukan semua mahukan suasana bandar yang sentiasa sesak.

Justeru, pembangunan kawasan luar bandar sebagai pusat kegiatan ekonomi mestilah sesuai dengan identiti dan persekitaran kehijauan kampung.

Paling sesuai tentunya berkaitan pertanian, terutama dalam pengeluaran makanan yang menjanjikan potensi yang amat besar.

Mengikut satu laporan firma penyelidikan New Zealand, Plant & Food Research, industri makanan dan minuman dunia berkembang pada kadar lima peratus setahun dan dianggarkan bernilai AS$20 trilion (sekitar RM83 bilion) menjelang 2030.

Negara kita sahaja mengimport bahan makanan bernilai lebih RM45.4 bilion setahun.

Potensi pasarannya besar. Kita juga ada sumbernya. Terserahlah pada Rina dan pasukannya di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, untuk merangka strategi bagaimana kawasan luar bandar kita boleh diubah menjadi pusat pengeluaran, yang boleh mengaut sebahagian daripada pasaran makanan yang amat besar itu.

Jika perlu gemblengkan idea, begitu ramai pakar yang kita ada di agensi kerajaan, universiti mahupun dari sektor swasta. Jika dapat direalisasikan, ia bukan sahaja akan melonjakkan lagi nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita, malah dapat membantu menyelesaikan masalah yang sekian lama membelenggu kita, iaitu jurang pendapatan besar antara penduduk luar bandar dan bandar.

Penulis adalah Pengarang Eksekutif Kanan Berita Harian

212 dibaca
Berita Harian X