Sabtu, 7 September 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan

Cekal, kreatif hadapi cabaran di universiti

September ini menyaksikan lebih 50,000 anak muda melangkah masuk mengikuti pelbagai bidang pengajian di universiti awam, sesetengahnya pula mengikutinya di kolej dan universiti swasta. Mengikuti pengajian pada peringkat kolej dan universiti bukan lagi satu pilihan, tetapi kemestian dalam dunia ilmu pengetahuan hari ini, walau pun itu bukanlah satu-satunya syarat untuk berjaya pada masa hadapan.

Banyak jalan untuk berjalan, namun menguasai ilmu adalah kewajipan yang tidak boleh dipandang ringan. Ini bermakna, jika sudah mendapat tempat di universiti, berusahalah seboleh mungkin untuk meneruskan langkah, biarpun bagi sesetengah orang bukanlah mudah.

Namun, kita perlu menerima hakikat yang isu kemiskinan dan kekurangan dana masih berlaku pada hari ini sehingga memaksa calon menarik diri dengan berat hati. Kita sangat memahami keadaan dan perasaan mereka yang dihimpit oleh kesukaran seperti ini.

Namun, selagi ada usaha, tentu ada jalan penyelesaiannya. Masyarakat kita yang prihatin, pemimpin setempat, pihak masjid dan jawatankuasa khariyah dan pelbagai pihak perlu bersama-sama memainkan peranan membantu untuk memastikan bakal pemimpin masa hadapan ini berpeluang mengasah bakat dan mencari ilmu sejauh mungkin melalui peluang yang diperolehnya.

Malah semua universiti mempunyai kaedah tersendiri dalam menangani dan membantu kumpulan ini. Ada yang mempunyai tabung kebajikan, wang zakat, yayasan dan sebagainya yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan seperti ini. Malah ada juga universiti yang mempunyai tabung tertentu yang dapat membantu golongan ini untuk mengikuti pengajian pada peringkat awal.

Universiti juga menyediakan peluang untuk pelajar mencari pendapatan tambahan. Kalau kita membaca kisah kejayaan mereka yang ada sekarang, ramai yang bermula dengan kisah kesusahan dan kesukaran ketika ingin mengikuti pengajian di universiti. Ramai yang bekerja secara sambilan.

Di Pulau Pinang pada era tujuh puluhan dan lapan puluhan, ramai pelajar USM yang bekerja kilang semasa cuti. Malah ada pelajar mengambil upah menjual ikan, sayur-sayuran dan telur di pasar basah. Ada juga yang terbabit dalam perniagaan kecil-kecilan menjual burger tepi jalan.

Ada yang menggunting rambut rakan-rakan. Sesetengahnya menggunakan bakat sebagai pengacara majlis, terbabit dalam pasukan beruniform tertentu, terbabit dalam muzik dan banyak lagi termasuk membantu pensyarah. Universiti membantu dan membenarkan selagi tidak hingga mengganggu pengajiannya. Asal saja pelajar bijak menguruskan masanya.

Pelajar juga jangan malu atau segan memaklumkan pihak universiti mengenai masalahnya untuk dibantu dengan sewajarnya. Sesetengah pelajar berasa rendah diri dan berdiam diri tanpa memberitahu pihak universiti kedudukan dan masalah dihadapinya.

Jumpalah pegawai di Bahagian Hal-Ehwal Pelajar, penggawa di desasiswa atau asrama, kaunselor universiti atau paling tidak maklumkan kepada pembantu pelajar yang membantu mereka sepanjang minggu pertama melangkah kaki ke universiti.

Ini adalah sebahagian masalah yang mesti diselesaikan dengan cara yang baik dan sama-sama berusaha untuk keluar daripada kemelut ini. Pelajar perlu tahu siapa yang perlu dihubungi apabila berhadapan dengan sesuatu masalah. Jangan simpan dan pendam seorang diri dan berhadapan dengan tekanan perasaan atau memberi kesan lebih buruk dalam menghadapi dunia kampus.

Hadapi kehidupan kampus yang menyeronokkan. Terokai dunia ilmu dengan penuh minat dan perasaan. Cari kawan-kawan baharu yang berbeza dari kita, dari kaum lain, dari negeri atau negara lain atau latar belakang yang berbeza budaya, cara hidup dan budaya.

Ini akan menjadikan seseorang pelajar lebih terdedah kepada kepelbagaian yang ada dan menghargainya untuk menghadapi masa hadapan. Pelajar yang memasuki kampus pada era ini perlu faham bahawa universiti jauh berbeza dari sekolah.

Universiti mendedahkan mereka kepada kehidupan berdikari tanpa ada keluarga menguruskan segala-galanya untuknya, yang memerlukan kebijaksanaan dalam membuat keputusan dan memerlukan kekuatan menghadapi segala cabaran.

Mereka perlu tahu bahawa Menara Ilmu fokusnya kepada ilmu, jadi kejarlah dan kuasailah ilmu. Matangkan diri dengan kehidupan kampus dan lihat universiti dari perspektif dunia yang luas terbentang. Belajarlah menguasai pelbagai bahasa dan budaya.

Ambil peluang untuk menjelajah dunia. Ilmu merentasi sempadan negara dan bangsa. Jelajahlah secara fizikal mahu pun melalui pergaulan dengan rakan-rakan. Hampir semua universiti mempunyai pelajar antarabangsa. Bergaullah dengan mereka. Dekati dan kenali mereka. Belajar dari budaya mereka dan ajar mereka mengenai budaya kita.

Gunakan masa sepenuhnya dan sasarkan untuk berjaya, untuk mematangkan diri dengan ilmu dan pergaulan dan hadapi dunia realiti yang sentiasa ada naik turunnya, bergelombang dan cabaran. Anak muda mesti kuat dan tabah, berani mencari jalan keluar untuk berjaya.

Penulis adalah Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Universiti Sains Malaysia (USM)

723 dibaca
Berita Harian X